Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 16 September 2013

Dadah punca utama jenayah di Kelantan

KOTA BHARU: Faktor utama perlakuan jenayah di negeri ini adalah berpunca daripada pengambilan dadah, kata Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim. Menurutnya, kecurian kenderaan termasuk motosikal merupakan kes jenayah yang sangat ketara berlaku di negeri ini.

"Kes melibatkan curi kenderaan kereta, motosikal membimbangkan masyarakat kerana hampir setiap hari kita dengar berlaku," katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap dalam forum 'Kembali Ke Pangkuan Masyarakat' dalam Program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Timur Tahun 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha dan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Mazlan berkata, kes curi kenderaan juga antara yang tertinggi dalam kes berulang berbanding samun, rompak dan lain-lain kes. Beliau berkata, jenis kereta lama menjadi sasaran utama penjenayah terbabit kerana ia dilihat berpotensi sebagai alat ganti.

"Kereta lama bermasalah dengan alat ganti tetapi masih diperlukan maka mereka guna peluang ini. Justeru, pihak polis sekarang ini memfokuskan kepada kes jenayah melibatkan harta benda," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat agar sentiasa bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha mencegah kejadian jenayah daripada terus berleluasa.

Katanya, bagi menjayakan hasrat tersebut pihak polis turut mengadakan pelbagai aktiviti melibatkan komuniti antaranya Komuniti Kepolisan dengan cara turun ke akar umbi bersama masyarakat.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 15 Sept. 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan