KOTA BHARU: Pejabat Perdagangan 
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan mengesan 
taktik terbaharu sindiket gores dan menang yang kini bergerak secara 
berkumpulan ke kawasan kampung untuk memperdaya mangsa.
Timbalan Pengarah PPDNKK negeri, Ab. Ghani Harun (gambar) 
berkata, taktik itu dikesan selepas mendapat maklumat daripada orang 
ramai serta hasil pemantauan pihaknya mengenai kegiatan tersebut. 
"Setakat ini, kedai yang terlibat dengan kegiatan ini terutamanya di 
kawasan bandar ditutup sepenuhnya menyebabkan mereka menukar taktik bagi
 mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
"Kini mereka bergerak ke kawasan kampung secara berkumpulan untuk 
mendekati penduduk dengan menawarkan pelbagai pakej hadiah," katanya di 
sini semalam. Ab. Ghani memberitahu, setakat ini sebanyak lapan kes dilaporkan 
kepada pihaknya berhubung kegiatan itu melibatkan nilai rampasan hampir 
RM251,000.
Daripada kes tersebut, tambahnya, empat kes disiasat mengikut Akta 
Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 manakala empat kes lagi di bawah 
Akta Perihal Dagangan 2011. Beliau berkata, bentuk penipuan yang dibuat golongan yang tidak 
bertanggungjawab itu adalah memerangkap pengguna dengan nilai harga yang
 cukup tinggi.
"Modus operandi yang digunakan tetap sama dengan menipu orang ramai 
melalui tawaran pelbagai hadiah lumayan menggunakan beberapa kad atau 
sampul sebagai umpan. "Pegawai PPDNKK akan sentiasa mengawasi kes penipuan ini dan kami 
akan turun ke kawasan kampung bagi menjalankan pemantauan dari semasa ke
 semasa," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pengguna lebih peka dengan poster dan 
risalah yang diedar sindiket berkenaan berhubung kegiatan penipuan 
tersebut. Dalam masa sama, beliau menyarankan masyarakat bertegas dan tidak 
mudah terpedaya dengan hadiah lumayan yang ditawarkan sindiket 
berkenaan.
"Orang ramai yang menghadapi masalah ini boleh terus berhubung dengan
 PDNKK supaya kami dapat membanteras individu yang terlibat untuk 
mengaut keuntungan dengan cara mudah," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 29 Sept. 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan