Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 1 September 2013

3 PROJEK JANJI TIDAK DITEPATI DI KELANTAN

JANJI DITEPATI itulah yang diharap-harapkan oleh seluruh rakyat Kelantan tetapi beberapa projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9: 2006 – 2010) masih belum dimulakan oleh Kerajaan Persekutuan (Kerajaan Pusat) di Kelantan walaupun kini kita sudah memasuki Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10: 2011 - 2015). Antara projek tersebut adalah projek Hospital Bachok (di Jelawat, Bachok), hotel wakaf (di Mukim Panchor, Pengkalan Chepa, Kota Bharu), dan projek zoo Kelantan (di Machang)

Perkara ini perlu diambil perhatian oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) yang beribu pejabat di Menara Perbadanan, Jalan Tengku Petra Semerak, Kota Bharu, Kelantan serta wakil-wakil rakyat di kawasan berkenaan untuk mengemukakan soalan di Dewan Rakyat nanti. Projek RMK-9 sepatutnya ditunaikan dalam tempoh RMK-9 juga dan bukan sebaliknya. Itu barulah dinamakan janji ditepati. Kalau sudah berjanji untuk bina Hospital Bachok pada tahun ini tetapi tidak dilaksanakan lagi, adakah ini dinamakan janji ditepati?

HOSPITAl BACHOK – Projek ini telah disenaraikan di bawah RMK-9 tetapi sehingga kini masih belum dimulakan walaupun Perdana Menteri sendiri memberi jaminan pada hujung tahun lepas bahawa projek ini akan dimulakan pada tahun ini. Tapak hospital ini telah dipenuhi belukar dan sebahagian tapaknya diusahakan oleh penduduk tempatan dengan aktiviti pertanian. Alasan atau jawapan Datuk Dr Awang Adek Hussien (Ketua UMNO Bahagian Bachok) melalui Berita Harian bertarikh 13 September 2012 yang berbunyi "Pembinaan hospital itu disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), namun disebabkan Barisan Nasional (BN) gagal dalam pilihan raya umum lalu, peruntukan itu terpaksa diserahkan kepada kawasan yang menang." merupakan sesuatu yang memalukan diri sendiri serta melambangkan sejauh mana kecerdikan seseorang itu. Jika begitulah jawapannya, rakyat Bachok tidak perlu mengharapkan dia lagi semata-mata untuk mendapatkan sebuah hospital. Persoalannya adakah pembinaan hospital ini menggunakan wang BN? Nota kaki: Pembinaan hospital awam di negara ini merupakah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan menurut Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan tanpa mengambil kira siapakah yang menerajui sesebuah kerajaan negeri itu. U.P.: Ahmad Marzuk Shaary, Ahli Parlimen Bachok (2013 - 2018)

HOTEL WAKAF – Projek ini juga disenaraikan di bawah RMK-9 tetapi masih belum dilaksanakan. Projek ini di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), iaitu sebuah jabatan di bawah kementerian Jabatan Perdana Menteri (JPM). Projek hotel wakaf yang dibangunkan di atas tanah wakaf yang kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa agama negeri untuk diuruskan ini merupakan antara projek yang dijanjikan tetapi tidak dilaksanakan di Kelantan. Projek-projek hotel wakaf di Tanjung Keling (Melaka), Port Dickson (Negeri Sembilan), Taiping (Perak), dan Kuala Terengganu (Terengganu) telah siap dan telah memulakan operasi perhotelan. U.P.: Dr. Izani bin Husin, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (2013 - 2018)

ZOO KELANTAN – Projek zoo yang dikatakan terbesar di Malaysia telah diwar-warkan oleh Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2006 lagi tetapi sehingga kita masih belum dilaksanakan. Ekonomi Kelantan yang banyak disumbangkan oleh industri pelancongan pastinya akan mendapat manfaat jika projek ini diteruskan. Projek ini pada asalnya dicadangkan untuk dibangunkan di Bukit Bakar, Machang, Kelantan. Kesian Pak Belang (harimau) yang dilahirkan di Kelantan ('03' ok!) yang ditangkap dihantar ke Zoo Melaka kerana Kelantan tidak mempunyai zoo. U.P.: Datuk Hj. Ahmad Jazlan Yaakub, Ahli Parlimen Machang (2013 - 2018)

Jika benar Kerajaan Persekutuan tidak pernah menganaktirikan Kelantan, maka sepatutnya semua projek ini dijalankan mengikut apa yang telah dirancang atau dijanjikan. Pihak Kerajaan Persekutuan serta UMNO Kelantan perlulah ikhlas membantu rakyat Kelantan kerana kami juga warganegara Malaysia yang bernaung di bawah Persekutuan Malaysia.

TANDAAN (TAGS): JANJI DITEPATI | JABATAN PEMBANGUNAN PERSEKUTUAN KELANTAN | RANCANGAN MALAYSIA KESEMBILAN (RMK-9) | HOSPITAL BACHOK | HOTEL WAKAF KOTA BHARU | JAWHAR | ZOO KELANTAN | AHMAD MARZUK SHAARY | DR. IZANI BIN HUSIN | DATUK HJ. AHMAD JAZLAN YAAKUB 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan