Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 9 September 2013

Kaji langkah pindah penduduk untuk menangani masalah penyeludupan di sempadan

Penempatan penduduk yang terlalu hampir dengan sungai mendedahkan mereka kepada bahaya aktiviti penyeludupan termasuk senjata api, dadah dan manusia.
KOTA BHARU: Polis Kelantan meminta kerjasama kerajaan negeri supaya mengkaji langkah memindahkan penduduk tempatan Sungai Golok dalam usaha mencegah ancaman penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand. Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, langkah itu perlu bagi memastikan aspek keselamatan di sempadan negara terus terpelihara. 

Katanya, penempatan penduduk sekarang terlalu hampir dengan sungai dan mendedahkan mereka kepada bahaya aktiviti penyeludupan termasuk senjata api, dadah serta manusia. “Timbul persepsi bahawa penduduk di situ boleh melakukan kegiatan penyeludupan berdasarkan kelebihan yang dimiliki iaitu kemudahan laluan keluar masuk ke kawasan Malaysia.

“Di sana juga ada banyak gudang dan jeti, apabila air pasang bot boleh terus berlabuh di kawasan penempatan tersebut,” katanya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, semalam. Hadir sama memeriahkan majlis, Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah.


Jalaluddin berkata, sudah wajar penduduk di kawasan itu dipindahkan ke kawasan baru, mengambil kira aspek keselamatan negara dan kemudian, laluan itu bolehlah dikira sebagai laluan keselamatan atau laluan sempadan.


“Selain itu, semua jeti yang beroperasi sebagai laluan penyeludup di sepanjang sungai itu juga perlu dirobohkan. Mereka tahu pergerakan pihak berkuasa dan memerlukan hanya dua hingga tiga minit sahaja dalam tempoh 24 jam untuk beroperasi sebelum ditutup semula.


“Saya akan usul perkara ini dalam Mesyuarat Tindakan Negeri supaya dibawa ke dalam Majlis Keselamatan Negara sebelum kertas kerja untuk dicadangkan kepada kerajaan negeri dibuat," katanya. Sementara itu, Mohamad Zaki berkata, pihak ATM masih meneruskan Ops Wawasan bagi meningkatkan kawalan di sempadan negeri itu.


“Di Kelantan, kuasa Ops Wawasan masih tanggungjawab kami dan kami tiada masalah menjalankan tugas ini kerana faham kawalan sempadan adalah tanggungjawab bersama. Keadaan di sempadan negara sekarang adalah terkawal,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 6 Sept. 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan