KOTA BHARU: Arah aliran (trend) pengemis yang lazimnya meminta sedekah di kaki lima, pasar raya dan restoran kini bertukar wajah ke jalan raya dan sasarannya adalah kawasan sekitar lampu isyarat.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, persimpangan lampu isyarat Kubang Kerian dan di pekan Melor dekat sini antara lokasi sering menjadi tumpuan pengemis terbabit meraih simpati pemandu ketika sedang berhenti dalam lampu merah.
Pengemis terbabit bergerak dari sebuah kereta ke kereta lain di persimpangan berkenaan meminta sedekah daripada pemandunya.
Seorang penduduk tempatan, Shamsulbahari Ibrahim, 45, berkata, hampir setiap hari pengemis lelaki berusia 40-an meminta sedekah daripada pemandu yang berhenti di persimpangan tersebut.
Menurutnya, masa pergerakan pengemis terbabit tidak menentu sama ada pada sebelah pagi atau petang dengan mengetuk tingkap beberapa buah kereta dan meminta sedekah.
"Kalau pemandu tidak melayan permintaannya dia akan pergi mencuba nasib ke kereta lain sementara menunggu lampu isyarat warna hijau menyala.
"Sebelum ini, tidak berlaku pengemis seperti ini di sini tetapi sejak kebelakangan ini boleh dikatakan setiap hari ada kelibat mereka," katanya ditemui di sini hari ini.
Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja mengundang bahaya kepada pengemis terbabit tetapi mengganggu lalu lintas terutamanya pada waktu puncak ketika aliran trafik sesak.
Sehubungan itu, dia menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan bagi mengatasi masalah berkenaan sebelum keadaan menjadi semakin serius.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 15 Sept. 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan