Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 1 September 2013

Muslim Best jalin kerjasama dengan TRW Station

Hasmah Mamat bersama Pengurus Operasi The Red Warrior Station, Mohd Zuki Deraman menunjukkan produk Muslim Best yang kini dijual di cafe The Red Warrior Station di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU: Pengeluar makanan sejuk beku halal, Muslim Best, meluaskan lagi perniagaannya melalui jalinan kerjasama dengan Kafe The Red Warriors Station (TRW Station) yang merupakan salah satu ikon bola sepak negeri ini.

Pengedar syarikat itu, Hasmah Mamat berkata, melalui perkongsian tersebut, TRW Station secara rasmi akan menjadi salah satu restoran yang menjadikan produk Muslim Best antara menu yang ditawarkan kepada pelanggan dengan dijual pada harga diskaun sebanyak lima peratus.

Katanya, pelanggan kini tidak hanya membeli produk sejuk beku untuk dibawa balik, tetapi mereka juga mempunyai pilihan untuk terus menikmatinya di restoran tersebut pada bila-bila masa terutama ketika menonton perlawanan bola sepak membabitkan pasukan Kelantan.

"Produk Muslim Best sudah menjadi menu biasa pegawai dan pemain bola sepak Kelantan di restoran itu, justeru kami bercadang untuk menjalin kerjasama dengan menjadikan sebahagian menu di restoran itu keluaran Muslim Best.

"Kerjasama ini juga dilakukan bagi menghargai sokongan luar biasa pelanggan di negeri ini terhadap produk kami ," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hasmah berkata, melalui kerjasama itu, Muslim Best berharap dapat mencapai sasaran jualan sehingga RM50,000 di Kelantan pada tahun ini berbanding hanya kira-kira RM30,000 pada tahun lalu. "Saya yakin kita akan mampu mencapai sasaran tersebut kerana sehingga Julai, kita sudah mencapai jualan sehingga RM30,000. Ini adalah satu pencapaian yang sangat memberangsangkan," katanya.

Mengulas perkembangan syarikat tersebut yang baru bermula beberapa tahun lalu, Hasmah berkata, Muslim Best kini mempunyai 15 peti sejuk yang diedarkan di seluruh Kelantan untuk menjual produknya manakala dua lagi peti sejuk di Terengganu.

Menurut beliau, Muslim Best merancang menambah 10 lagi peti sejuk di kedua-dua negeri hujung tahun ini, selain berhasrat menembusi pasaran di Pahang.


Sumber: Utusan Malaysia | Bisnes | 28 Ogos 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan