PASIR MAS: Kelantan sedia memberi kerjasama penuh kepada 
kerajaan Pusat bagi meningkatkan aspek keselamatan di kawasan sempadan 
Malaysia - Thailand di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah (gambar) berkata, 
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob juga pada dasarnya menyatakan 
persetujuan beliau mengenai perkara tersebut.
Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri perlu meneliti dengan lebih 
lanjut perkara itu termasuk cadangan memindahkan penempatan penduduk dan
 membina tembok di kawasan sempadan yang dicadang diwartakan sebagai 
kawasan keselamatan.
"Bagi kita, kalau tindakan (memindahkan penduduk di sempadan) untuk 
keselamatan, kita tak ada masalah, sebab yang penting keselamatan negara
 perlu diutamakan.
"Cuma, pada pandangan saya yang penting proses perpindahan itulah, 
kalau dibuat mestilah ambil kira semua aspek. Kita tengok dulu, setakat 
ini tak ada maklumat rasmi kepada kerajaan negeri lagi.
"Saya rasa itu kena bincang di peringkat negeri, sebab kita pun tak 
tahu, kita nak tengok dari segi 'detail', kaedah apa (nak digunakan), 
kesan dia, kita kena bincang dulu di peringkat negeri," katanya kepada 
pemberita.
Beliau ditemui selepas menghadiri majlis Sambutan Jubli Emas Hari 
Malaysia Ke-50 Tahun 2013 Peringkat Negeri di Stadium Mini Majlis Daerah
 Pasir Mas di sini hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi 
mencadangkan supaya kawasan tebing sungai sepanjang 121 kilometer di 
sempadan Malaysia - Thailand di negeri ini diwartakan sebagai kawasan 
keselamatan.
Malah kata Ahmad Zahid, pihaknya juga mencadangkan supaya tembok 
dibina di kawasan keselamatan itu bagi mengelak penyeludupan senjata api
 dan dadah serta penjenayah dari kedua-dua negara bolos.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman 
dilaporkan meminta kerajaan negeri mengkaji cadangan memindahkan 
penduduk di sepanjang Sungai Golok dan status penempatan di situ dalam 
usaha membanteras penyeludupan di sempadan.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, kerajaan negeri perlu meneliti 
semua cadangan itu dalam pelbagai aspek termasuk kesannya kepada 
penduduk setempat.
Mengenai pembinaan tembok atau benteng katanya, dari satu sudut 
cadangan itu adalah baik tetapi kajian perlu dibuat bagi menilai kesan 
yang mungkin berlaku pada masa hadapan.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 16 Sept. 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan