KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan 
Saliran (JPS) Kelantan mahu amalan menjaga alam sekitar dijadikan budaya
 dalam kehidupan seharian masyarakat di negeri ini.
Pengarah JPS negeri, Mat Rahim Ismail berkata, program Karnival inovasi bertemakan JPS Goes Green yang
 diadakan oleh pihaknya adalah satu program untuk memberi kesedaran 
kepada masyarakat terutama warga JPS betapa pentingnya melestarikan 
alam.
"Amalan ini akan menjadikan kita lebih mesra dan bertanggungjawab 
terhadap alam sekitar. Selain itu pembaziran tenaga juga dapat 
dikurangkan serta dapat mengekalkan keindahan suasana alam sekitar," 
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perasmian Karnival Hari Inovasi JPS Kelantan 2013 ke arah JPS Goes Green di pekarangan wisma JPS dekat sini semalam. Majlis perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri Kelantan, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim.
Menurut Mat Rahim, warga JPS telah diberi taklimat proses Goes Green untuk menggalakkan kempen kitar semula bagi barangan terpakai yang dapat memulihara dan memelihara alam sekitar.
"Program ini juga memastikan JPS Kelantan sentiasa selangkah ke 
hadapan dalam membudayakan kempen mesra alam dengan amalan yang dapat 
membantu memulihara dan memelihara alam sekitar supaya menjadi contoh 
kepada agensi lain," ujarnya.
Tambah beliau, bagi memastikan program Goes Green berjalan 
lancar, JPS menjalankan pelbagai kegiatan untuk mewujudkan kesedaran di 
peringkat jabatan mengenai kempen kitar semula.
Mat Rahim berharap karnival ini dapat menyedarkan masyarakat mengenai
 elemen penjimatan tenaga supaya generasi masa hadapan dapat merasa 
manfaatnya.
Sementara itu, pada karnival tersebut, sebanyak 35 gerai terdiri 
daripada agensi kerajaan negeri dan Pusat mempamerkan pelbagai produk 
inovasi dan jualan hasil tanaman. Turut diadakan pertandingan gubahan bunga menggunakan bahan terpakai anjuran Puspanita Negeri dan syarikat swasta.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 8 Sept. 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan