Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 2 September 2013

JANJI DITEPATI: 7 PROJEK MEGA DI KELANTAN



'Banner' yang mempromosikan program Jelajah Janji Ditepati di Kelantan pada 20 Januari 2013

PADA 20 Januari 2013 yang lepas, YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri telah mengumumkan tujuh projek mega untuk dilaksanakan di negeri Kelantan di Padang Kompleks Sekolah Kota Bharu di Jalan Long Yunus, Kota Bharu, Kelantan sempena Jelajah Janji Ditepati di Kelantan. Projek-projek tersebut merangkumi kemudahan infrastruktur utama yang diperlukan oleh negeri ini serta menaik taraf sistem pengangkutan awam di bandar raya Kota Bharu. 

Sebelum pengumuman ini dibuat, Perdana Menteri juga telah mengarahkan beberapa kementerian dan jabatan untuk membuat persediaan bagi melaksanakan tujuh projek mega di Kelantan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10: 2011 - 2015) ini. Tujuh projek tersebut adalah:- 

  1. Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai sepanjang 73 kilometer – projek ini akan dibina secara berperingkat-peringkat.  Perkembangan terkini: Tender fasa pertama dari Pasir Hor ke Kadok sejauh 7.8 kilometer telah dikeluarkan pada Mei 2013.
  2. Pembinaan sebuah stadium baharu – untuk Pasukan Bola Sepak Kelantan (TRW)
  3. Menyelesaikan masalah bekalan air – menaik taraf kemudahan loji rawatan air serta rangkaian paip air yang lebih terancang untuk kemudahan rakyat. 
  4. Projek  perumahan rakyat – sebanyak 3,000 unit sebagai permulaan terutamanya di Kota Bharu dan Machang, manakala 1,000 unit di Gua Musang sudah dilaksanakan. 
  5. Pembinaan  kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Bharu – untuk menampung kira-kira 5,000 pelajar di Lundang, Kota Bharu, Kelantan. Perkembangan terkini: Tapak gudang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Lundang telah dikenal pasti sebagai tapak kampus.
  6. Pembinaan sebuah masjid negeri yang baharu – masjid terbesar di Kelantan yang akan menjadi ikon negeri ini sama seperti Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam yang menjadi ikon negeri Selangor. Anggaran perbelanjaan untuk pembinaan masjid ini sekurang-kurangnya RM50 juta.
  7. Memperkenalkan sistem bas Rapid Kota Bharu (RapidKB) – untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya Kota Bharu dan kawasan Kota Bharu Raya (Greater Kota Bharu). Perkembangan terkini: Bas RapidKB dijangka pada dilancarkan pada suku keempat 2013 nanti.

Selain itu, terdapat satu projek penting lagi yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan dan cadangan ini telah dimasukkan dalam Manifesto Barisan Nasional Kelantan (BN Kelantan) ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 (8 Mac 2008) dan PRU Ke-13 (5 Mei 2013), iaitu projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa sekali gus berperanan sebagai hab penerbangan antarabangsa serantau terutamanya penerbangan antarabangsa ke Singapura, Indochina, dan Thailand.

TANDAAN (TAGS): LEBUH RAYA KOTA BHARU – KUALA KRAI | STADIUM BAHARU | BEKALAN AIR KELANTAN | PROJEK PERUMAHAN RAKYAT | RUMAH MAMPU MILIK | KAMPUS UiTM KOTA BHARU | GUDANG TNB LUNDANG | MASJID NEGERI TERBESAR | RAPID KOTA BHARU | RAPIDKB | JANJI DITEPATI KELANTAN | AKUJANJI BN KELANTAN | INFRASTRUKTUR KELANTAN | LTSIP | LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KOTA BHARU | LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA SULTAN ISMAIL PETRA |UMNO KELANTAN | BN KELANTAN | JABATAN PEMBANGUNAN PERSEKUTUAN KELANTAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan