Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 14 September 2013

Klinik Desa Mukim Kandis dinaik taraf kepada Klinik Kesihatan Kandis

HASBULLAH Ab. Rahman (kanan) memotong reben tanda merasmikan Klinik Kesihatan Kandis di Bachok, Kelantan, semalam.
BACHOK: Lebih 20,000 penduduk di 11 kampung dalam Mukim Kandis, dekat sini mendapat kemudahan rawatan kesihatan dan perubatan apabila Kerajaan Pusat menaik taraf klinik desa di mukim berkenaan yang beroperasi sejak 42 tahun lalu kepada Klinik Kesihatan sejak 16 Disember tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah (Kesihatan Keluarga) Dr. Hasbullah Ab. Rahman berkata, kos menaik taraf klinik terbabit adalah lebih RM400,000 yang dilaksanakan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar.

Beliau berkata, sebelum ini pesakit di kawasan terbabit terpaksa ke Klinik Kesihatan Cherang Ruku di Pasir Puteh dan Bachok yang jauh daripada penempatan mereka.

"Perkhidmatan yang disediakan merangkumi rawatan pesakit luar, kemalangan dan kecemasan, kesihatan ibu dan anak, perancang keluarga dan pusat bersalin pilihan.

"Perkhidmatan turut diperluaskan dengan penyediaan klinik diabetes dan kardiovaskular, perkhidmatan farmasi dan makmal dengan penyediaan kakitangan perubatan yang mencukupi termasuk lawatan tetap pegawai perubatan dua kali seminggu bermula Januari tahun ini," katanya.

Beliau berucap merasmikan Hari Terbuka dan Perasmian Klinik Kesihatan Kandis, dekat sini hari ini. Yang turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kesihatan (Unit Primer) Dr. Aness Abdul Hamid dan Pegawai Kesihatan Bachok, Dr. Hasniza Abdullah.

Dr. Hasbullah berkata, klinik berkenaan turut menjadi tumpuan penduduk di dua mukim berhampiran iaitu Mukim Telong dan Mukim Aman, pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pelancong pesisir Pantai Melawi dan Tok Bali.

Beliau berkata, klinik itu menerima purata kunjungan 140 orang pesakit sehari dan jumlah itu meningkat dari semasa ke semasa. "Seramai 15 orang kakitangan iaitu seorang pegawai perubatan, ketua jururawat, pembantu perubatan, jururawat kesihatan, pembantu farmasi, juruteknologi makmal, jururawat masyarakat dan lain-lain dikira mampu menampung keperluan semasa," katanya.

Beliau berkata, kewujudan klinik itu juga bertepatan dengan kepesatan urbanisasi dan pembangunan yang berasaskan eko-pelancongan dan perikanan di kawasan terbabit.

Dr. Hasbullah berkata, pengurusan pejabat Kesihatan Bachok turut menubuhkan anggota panel klinik berkenaan terdiri daripada pemimpin tempatan dalam usaha mengeratkan hubungan dua hala di antara klinik berkenaan dengan masyarakat setempat.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 13 Sept. 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan