Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 7 November 2013

35 tahun jahit kasut di Kuala Krai

Abdul Aziz membaiki kasut pelanggan.
KUALA KRAI: Kerjayanya tidak setanding golongan profesional, tetapi tanpanya ramai terpaksa menggantikan kasut atau selipar kesayangan rosak dengan yang baharu.

Atas alasan itulah seorang warga emas dari Banggol Judah, Abdul Aziz Abdullah, 54, tidak jemu berulang alik dari kampungnya ke sini kerana khidmatnya begitu diperlukan.

Minat mendalam juga membuatkan Abdul Aziz terus menyediakan perkhidmatannya kepada masyarakat di sini kerana menyedari tidak ramai mempunyai kemahiran dimilikinya.

Berbekalkan bangku kecil, pisau, gunting, gam, jarum Abdul Aziz menjalankan rutin harian tanpa jemu bermula seawal jam 8 pagi di kaki lima kedai berhampiran Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK).

Katanya, pelanggan tetapnya sudah mengetahui waktu perkhidmatannya dan akan datang pada masa kerjanya itu untuk menghantar kasut dan selipar untuk dibaiki.

“Kebanyakan yang datang menghantar selipar dan kasut untuk dibaiki, pelanggan tetap pakcik. Jadi mereka sudah tahu tempat dan waktu pakcik bekerja.

“Upah baik pulih bergantung kepada masalah dihadapi pelanggan sama ada selipar atau kasut hendak dijahit, ditukar tapak ataupun untuk ditampal gam.

“Kalau upah menjahit kasut hanya sekitar RM5, tetapi sekiranya pelanggan nak ganti tapak, saya kenakan caj sekitar RM50, bergantung kepada jenis kasut,” katanya yang sudah berpengalaman menjahit kasut selama 35 tahun.

Bapa kepada lapan anak ini berkata, dia cuba untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya kerana sedar kebanyakan mereka bukan tidak mampu membeli kasut dan selipar baharu, tetapi disebabkan selesa dengan yang lama mereka rela membaikinya
daripada menggantikannya.

Dia bangga apabila pelanggan yang datang pertama kali untuk menghantar kasut dan selipar untuk dibaik pulih kembali semula untuk berbuat demikian.

Baginya, itu merupakan satu kepercayaan dan juga tanda hasil kerjanya diterima pelanggan dan selesa dengan kasut dan selipar dibaikinya.

Abdul Aziz berkata, masa diambil untuk menyiapkan kasut dan selipar pelanggan bergantung kepada kerosakan dan adakalanya dia meminta pelanggan meninggalkan kasut rosak dan datang mengambilnya kemudian. “Sekiranya pelanggan hendak menjahit kasut atau selipar pakcik minta mereka tunggu.

“Tapi jika nak gantikan tapak, mereka terpaksa tinggal kerana masa untuk baik pulihnya agak lama,” katanya yang mampu menyiapkan kasut 10 pasang sehari.

Biarpun pendapatan bersih diperoleh sekitar RM30 setiap hari, Abdul Aziz bangga, hasil kerjanya mampu memberikan kegembiraan kepada setiap pelanggannya.

Katanya, selain kasut dan selipar, adakalanya dia juga menjahit beg pelanggannya. Tambahnya, walaupun dia mahir menjahit kasut dan selipar tetapi anak-anaknya tidak seorang pun menunjukkan minat dalam bidang itu.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 5 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan