Jambatan ke Pos Tohoi runtuh dihanyutkan arus sungai. |
GUA MUSANG: Dua jambatan yang menjadi perhubungan penting lebih 1,000
penduduk Orang Asli di dua kampung Orang Asli termasuk ke Pos Tohoidan
Tuel, dekat sini, runtuh dalam kejadian banjir kilat seminggu lalu.
Berikutan itu, mereka terputus hubungan berikutan jambatan terbabit
masih belum dibina terutama ke Pos Tohoi yang runtuh terus dihanyutkan
arus sungai manakala jambatan ke Pos Tuel runtuh sebahagian sahaja.
Mereka bimbang jika pihak terbabit tidak mengambil langkah untuk
membina jambatan baharu sudah tentu akan menghadapi masalah perhubungan
yang serius musim tengkujuh sekarang ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli
(JKKKOA) Pos Tohoi berkata, kejadian dua jambatan runtuh itu berlaku
serentak ketika hujan lebat jam 10 malam Ahad lalu menyebabkan air
sungai naik mendadak.
Bagaimanapun, katanya, kejadian banjir kilat itu tidak melanda kawasan
penempatan Orang Asli dan kejadian jambatan runtuh itu diketahui pada
keesokan harinya apabila perjalanan untuk pulang ke bandar ini terhalang
dengan situasi berkenaan.
“Jambatan balak ke Pos Tohoi itu dibina oleh syarikat pembalakan sejak
10 tahun lalu dan pertama kali berlaku dihanyutkan arus deras
menyebabkan kita terputus hubungan untuk keluar ke bandar Gua
Musang,”katanya.
Beliau berkata, keadaan hujan musim tengkujuh yang berpanjangan
sekarang ini juga menambahkan kesukaran perhubungan kerana bukan sahaja
jambatan runtuh, tetapi juga keadaan jalan becak dan berselut.
Awis Anjang, 47, pula berkata, jalan dan jambatan ke perkampungan
Orang Asli perlu dinaik taraf supaya boleh digunakan penduduk sepanjang
masa sama ada musim kemarau atau hujan tanpa berdepan dengan risiko
kejadian tidak diingini.
Beliau berkata, kebanyakan jalan dan jambatan terbabit juga pada
asalnya dibina syarikat pembalakan tanpa ada kerja-kerja selenggaraan
menyebabkan mudah berlaku kerosakan yang membahayakan pengguna.
“Jalan ke Pos Tuel dan Tohoi itu memang menjadi perhubungan penting
penduduk Orang Asli, tetapi setelah berlaku kejadian jambatan runtuh
terhalang ke mana sahaja hingga ada yang membina jejantas sementara
dengan buluh.
“Masalah jalan di kawasan kita ini bukan perkara baru, sebaliknya
telah lama berlaku dan belum ada pihak yang datang membaik pulih
kerosakan yang berlaku,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 6 Nov. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan