Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 7 November 2013

Persatuan Pemilik dan Peminat Arnab Kelantan cadang tubuh pusat arnab

Darwis (kanan) mempromosikan beberapa jenis baka arnab semasa menyertai jualan.
KOTA BHARU: Persatuan Pemilik dan Peminat Arnab Kelantan (3PAK) mengharapkan ada pihak membantu mereka dalam cadangan menubuhkan pusat pembiakan, perkembangan dan penjualan arnab di negeri ini.

Timbalan presiden persatuan itu, Darwis Ibrahim berkata, pusat arnab tersebut memudahkan peminat atau penternak haiwan berkenaan berdasarkan permintaan daripada mereka.

“Sejak hampir dua tahun menubuhkan persatuan ini, kami berhasrat memohon kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan menubuhkan pusat ternakan arnab kerana ia menjadi tarikan terkini kepada masyarakat di Kelantan.

“Kami akan mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan negeri dan berharap perkara ini mendapat perhatian bagi menyokong usaha peminat arnab,” katanya kepada Sinar Harian semasa mengadakan jualan di Dewan Jubli Perak, di sini.

Darwis berkata, setakat ini, kerajaan negeri sudah banyak membantu persatuan dengan mempelawa mereka mengadakan jualan serta pameran di mana-mana karnival.

Kata beliau, setakat ini, terdapat tempat jualan khas arnab yang beroperasi di kedai Haritum Garden Centre di Lundang, di sini, namun masih banyak kemudahan perlukan penambahbaikan.

“Arnab adalah haiwan yang mudah diternak dan cepat membiak, selain menjadi sumber bekalan daging dengan kandungan protein, mineral tinggi dan rendah kolesterol, jadi ia mempunyai permintaan yang tinggi di negeri ini.

“Antara baka arnab yang menjadi tumpuan termasuk jenis teddy bear, New Zealand White, Holland-lop, rex dan beberapa jenis lain,” katanya.

Katanya, sehingga kini, persatuan berkenaan mempunyai hampir 40 ahli daripada keseluruhan lebih 200 peminat arnab dan pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan mereka yang berminat.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 7 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan