Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 30 Jun 2014

Polis tahan adik-beradik, rampas dadah bernilai hampir RM200,000 di Kg. Khatib Ali, KB

KOTA BHARU: Polis menahan tiga lelaki termasuk dua beradik dan merampas pelbagai jenis dadah yang dianggar bernilai hampir RM200,000 di Kampung Khatib Ali di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu menyerbu sebuah rumah di kampung itu pada pukul 10.45 pagi dan menahan ketiga-tiga suspek yang berumur 20-an itu.

"Kita menemui sebotol dadah jenis heroin dan lima plastik cerah iaitu dadah jenis syabu seberat 51.2 gram di atas meja di ruang tamu rumah berkenaan.

Kemudiannya, pemeriksaan ke atas sebuah kereta milik salah seorang suspek yang diletakkan di belakang rumah berkenaan membawa kepada penemuan 90 botol mengandungi dadah jenis heroin seberat 288 gram," katanya kepada pemberita di IPD Kota Baharu di sini, Isnin.

Beliau berkata pihaknya turut menyita kenderaan milik suspek dan wang tunai sebanyak RM2,000 bagi siasatan lanjut.

Azham berkata siasatan awal mendapati mereka dipercayai mendapat bekalan dadah dari negara jiran dan diedarkan di sekitar Kota Bharu.

"Mereka dipercayai bergiat aktif sejak dua tahun lalu, kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine serta dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

"Ini merupakan rampasan terbesar kita tahun ini (tempoh Jan-Jun) selain kita percaya bekalan dadah sebanyak ini boleh digunakan oleh 20,000 penagih dan setiap satu botol berharga RM450," katanya.

Azham berkata suspek kini direman selama seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Sumber: Bernama | 30 Jun 2014

Bubur sesuai untuk keselesaan perut pada bulan puasa

PETALING JAYA: Sesetengah pihak menganggap, tidak lengkap Ramadan tanpa bubur lambuk. Oleh itu, tidak salah jika bubur lambuk disenaraikan antara juadah berbuka puasa yang paling digemari sepanjang bulan mulia ini.

Ada yang sanggup beratur panjang di masjid yang menyediakan hidangan itu, malah ia juga disajikan secara bufet di hotel.

Selain bubur lambuk, terdapat banyak lagi bubur yang menjadi sebahagian hidangan berbuka puasa, malah ia turut digemari bukan Islam.

Malahan, setiap negeri mempunyai cara penyediaan bubur nasi tersendiri, misalnya di Terengganu yang terkenal dengan bubur yang dimasak bersama pelbagai jenis ulaman dan ditambah dengan isi ikan, manakala di Pulau Pinang pula terkenal dengan bubur yang dimasak bersama daging dan rempah ratus, dengan taburan daun sup serta bawang goreng .

Menurut Naib Presiden Persatuan Chef Malaysia, Master Chef Rossham Rusli, bubur merupakan sejenis pemakanan utama dari peringkat bayi lagi, maka tidak hairanlah ia menjadi salah satu hidangan popular sepanjang Ramadan.


Chef Rossham

Katanya, dari segi kesihatan pula,  bubur  sesuai dihidangkan bagi keselesaan perut yang kosong setelah berpuasa hampir 12 jam.

Bubur adalah makanan yang membantu sistem pencernaan yang baik untuk perut, di samping menjadi amalan pemakanan sihat,” katanya kepada mStar Online.

Rossham berkata, bubur mengandungi karbohidrat yang membantu memberikan tenaga kepada orang yang berpuasa sepanjang hari.

Tambahnya, bubur yang berasaskan beras, walaupun bersantan dapat menggantikan hidangan makanan utama seperti nasi.

“Ia bukan sahaja berkhasiat, memberikan tenaga, menambahkan selera, malah mengimbangi rasa pemakanan seperti manis dan pedas,” katanya.

Selain faedahnya dari segi kesihatan, bubur turut digemari pada bulan puasa kerana cara penyediaannya yang mudah, sekali gus menjimatkan masa. 


Di negara ini, selain bubur lambuk, bubur berasaskan beras boleh dicampurkan dengan bahan utama lain seperti sumsum, daging, ayam, udang, ikan dan ketam.

Beliau menyediakan bubur pedas Sarawak, bubur ayam cincang, bubur isi ketam dan bubur sumsum  menggunakan bahan tersebut.

“Bubur berasaskan santan pula boleh digabungkan dengan biji-bijian, kekacang, nasi, sayur-sayuran, labu, kentang dan keledek,” katanya.

Berpengalaman luas dalam bidang penyediaan makanan, Rossham bagaimanapun berkata, bubur kosong juga sesuai dihidangkan bersama kuah lain walaupun jarang disediakan.

“Kita jarang mendengar atau melihat orang makan bubur kosong bersama dengan kuah seperti kuah lemak, kuah sambal dan kuah asam.

“Apapun, setiap hidangan berbuka puasa seperti bubur ini perlu dipastikan segar, berkhasiat dan berkualiti,” katanya.

Sumber: mStar Online | 30 Jun 2014

Muslimat PAS bantah penganjuran Mrs Universe di Malaysia

KUALA LUMPUR: Muslimat PAS Pusat menggesa kerajaan membatalkan pertandingan ratu cantik, Mrs Universe yang akan diadakan di negara ini pada penghujung Ogos nanti.

Pengarah Pilihan raya Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi (gambar) berkata, pertandingan itu tidak wajar diadakan selari dengan penegasan kerajaan bahawa negara ini adalah negara Islam.

"Di dalam sidang parlimen yang berakhir baru-baru ini pun rata-rata ahli parlimen Umno menegaskan negara ini adalah negara Islam," katanya kepada Harakahdaily.

Bagi membuktikan negara ini sebagai negara Islam, Athirah menegaskan sepatutnya kerajaan Umno memperuntukkan beberapa perlaksanaan dasar Islam seperti hudud dan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran termasuklah soal pertandingan ratu cantik.

"Kita perlu sedar konflik dalam negara kita, apabila berlakunya pentafsiran yang berbeza, Umno BN mentafsirkan dengan sewenang-wenangnya kononnya bahawa negara ini negara Islam.

"Akan tetapi rakan-rakan sekutunya seperti MCA, MIC dan Gerakan pula tidak mengiktiraf negara ini sebagai negara islam," tambahnya.

Tegasnya, masyarakat sentiasa berhadapan dengan persoalan agama seperti penganjuran Mrs Universe Malaysia, siri konsert liar, artis barat tidak bermoral sedangkan ia jauh daripada konsep negara Islam sebenar.

"Isu pertandingan ratu cantik bukanlah isu baharu, seperti yang kita ketahui bahawa bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Allahyarham Datuk Ishak Baharum dipecat dan ditamatkan kontraknya kerana membantah penganjuran program tersebut.

"Beliau meminta kerajaan membetulkan dasar-dasarnya, kerana strategi politik mereka tidak membantu Islam dan umat Islam, bukan hanya sekadar bercakap inginkan Islam, tetapi tidak menjalankan Islam yang sebenar," tegasnya.

Malah beliau turut mengingati kata-kata Almarhum Ustaz Fadhil Noor yang masih ragu-ragu untuk mengesahkan negara ini sebagai negara Islam, dan hanya agama rasmi setakat di persekutuan sahaja.

"Oleh sebab itu kita perlu betulkan dan bezakan negara Malaysia bukan negara islam,tetapi negara majoriti umat Islam.

Justeru, beliau meminta kerajaan BN perlu jujur untuk bertanggungjawab membuktikan bahawa negara ini adalah negara Islam.

Untuk makluman, pertandingan yang julung kalinya diadakan di Malaysia ini dianjurkan oleh SOGO (KL) Department Store Sdn Bhd yang berlangsung di Sunway Resort Hotel & Spa.

Sebanyak 40 hingga 45 negara mengambil bahagian dalam pertandingan yang berlangsung selama lapan hari ini. Pengarah Urusan Sogo, Datuk Andrew T K Lim menegaskan bahawa pertandingan ini bersesuaian untuk mempromosikan Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Nota: Penulis adalah pelajar KUIZM yang menjalani latihan amali di Harakah Daily.

Sumber: Harakah Daily | 27 Jun 2014

Ahad, 29 Jun 2014

The Red Warriors the Movie ditayangkan pada hujung tahun ini

Annuar (berdiri, tiga kiri) dan Aznil bersama peserta Empower di YKK Ketereh, semalam.
KOTA BHARU: ‘Red Warrior The Movie’ bakal menemui peminat penghujung tahun ini, menampilkan barisan pemain TRW dalam filem itu, di samping beberapa pelakon utama sebagai tarikan baharu dalam dunia bola sepak Kelantan.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, penggambaran filem tersebut telah bermula sejak dua minggu lalu dan akan berjalan dalam masa dua bulan sehingga selepas Aidilfitri ini.

“Kita harap produk terbaharu Red Warrior ini akan siap dalam masa tiga bulan dan boleh ditayangkan kepada umum pada penghujung tahun ini.

“Pada mulanya, saya tidak yakin dan tidak menyangka bola sepak boleh difilemkan, berdasarkan skripnya ia bukan menceritakan bola sepak semata-mata, malah jalan ceritanya menarik berkisarkan kepada kemasyarakatan menggunakan bola sepak sebagai latar belakang dalam kehidupan masyarakat Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower ECER di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Ketereh, di sini, semalam.

Turut serta dalam program itu, pengacara tersohor negara, Datuk Aznil Nawawi yang dibawa khas bagi menceritakan kejayaannya sebagai usahawan dalam ceramah motivasi bertajuk ‘Nak Kaya Ketahui Rahsia Usahawan’.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Annuar berkata, filem berkenaan menampilkan isu kekeluargaan, selain minat seorang anak kepada bola sepak yang memberikan kesedaran kepada ibu bapa bahawa sukan bola sepak mempunyai masa depan.

"Ia turut menyelitkan pelbagai peristiwa yang berlaku, rusuhan penyokong dan elemen kemasyarakatan yang akhirnya memberi impak positif dalam masyarakat yang menyatukan semua walaupun berbeza pangkat, darjat dan latar belakang.

“Semua pemain turut berperanan dalam filem ini dan ada juga dihantar ke kelas lakonan termasuk Wan Zack Haikal dan Zairol Fitrie yang  mengikuti kelas lakonan  dikendalikan oleh Fauziah Nawi.

“Penggambaran juga turut merakamkan perlawanan sebenar antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad V pada 13 Julai ini," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 29 Jun 2014

Sabtu, 28 Jun 2014

Malaysia pamer pelbagai makanan di New York

NEW YORK: Malaysia akan mempamerkan beraneka jenis produk makanan diproses pada New York Fancy Food Show (NYFFS) yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 29 Jun, 2014.
NYFFS, salah satu pameran makanan terbesar dalam pasaran AS, menarik ramai pelawat dari luar negara.
Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di sini, Muhd Shahrulmiza Zakaria, berkata lapan syarikat Malaysia akan mempamerkan pelbagai produk makanan.
"Penyertaan di NYFFS bertujuan mempopularkan masakan Malaysia yang, seterusnya, akan mewujudkan permintaan bagi produk makanan, bahan dan rempah ratus Malaysia, sekali gus menggalakkan eksport makanan Malaysia yang mempunyai potensi pertumbuhan yang besar dalam sebuah pasaran yang terbuka bagi produk makanan baharu," katanya.
Muhd Shahrulmiza berkata suruhanjaya perdagangan bekerjasama dengan sebilangan persatuan perdagangan dan kumpulan-kumpulan lain yang mempunyai capaian kepada bukan sahaja pembeli, malah juga pengguna.
"Kita juga menggunakan pameran perdagangan seperti NYFFS untuk memasarkan produk kita.
"Pameran perdagangan adalah alat pemasaran yang sangat baik untuk menampilkan produk kita bukan sahaja kepada kalangan perdagangan, malah juga membuat pengguna sedar tentang rangkaian produk makanan yang boleh disediakan oleh Malaysia," katanya.
Beliau berkata tujuan suruhanjaya itu bukan sahaja untuk menampung pasaran etnik, malah juga pasaran arus perdana.
"Kita dapati semakin ramai orang Amerika mengunjungi restoran Malaysia di New York. Di NYFFS kita mempamerkan satu rangkaian makanan segera yang mudah disediakan dan tidak memerlukan banyak persiapan dan kerja memasak," katanya.
Antara jenama makanan terkemuka Malaysia di NYFFS itu nanti ialah Brahim's (rempah segera dan hidangan siap untuk dimakan), Linghams, Sharifah, Julie's Biscuits dan S & P (santan).
Penyertaan Malaysia di NYFFS dianjurkan sempena Program Dapur Malaysia. 
Sumber: mStar Online | 27 Jun 2014

Lesen lebih 70 koperasi di Kelantan dibatal

KOTA BHARU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kelantan membatalkan lesen lebih 70 koperasi di negeri ini sejak 2008 disebabkan tidak aktif dan menyeleweng daripada matlamat penubuhan koperasi.
Timbalan Pengarahnya Anuar Mohamad berkata jumlah koperasi yang dibatalkan itu adalah kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan 715 koperasi yang beroperasi di negeri ini.
"Pembatalan ini dilakukan disebabkan kita dapati mereka tidak aktif dan tidak menjalankan sebarang aktiviti, selain menyeleweng daripada landasan koperasi apabila tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.
"Kita cuba untuk memulihkan koperasi yang tidak aktif, dan jika usaha tersebut tidak membawa kesan, kita batalkan koperasi berkenaan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Guru Melayu Kelantan Berhad ke-19, di sini, Sabtu.
Anuar berkata lesen koperasi yang tidak berpotensi untuk maju dan kekurangan anggota juga berdepan kemungkinan dibatalkan jika tiada tindakan segera diambil dalam menangani masalah itu.
Katanya penubuhan koperasi di setiap komuniti termasuk jabatan kerajaan, digalakkan kerana ia mampu memberi banyak manfaat kepada ahli.
Sumber: mStar Online | 28 Jun 2014

Cuaca panas dan kering bukan El Nino


KUALA LUMPUR: Cuaca panas dan kering yang melanda Malaysia ketika ini tiada kaitan langsung dengan fenomena El Nino, kata Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC) Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah.

Sebaliknya beliau berkata keadaan itu berlaku disebabkan Monsun Barat Daya yang berlangsung dari pertengahan Mei lalu dan dijangka berlarutan sehingga September ini.

"Jadi, apa yang kita hadapi sekarang ialah fenomena cuaca lazim yang seringkali dikaitkan dengan Monsun Barat Daya iaitu kita akan mengalami musim yang lebih kering daripada biasa," katanya sambil menambah El Nino belum bermula lagi dan tiada tanda-tandanya setakat ini.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu khas untuk rakaman program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di Wisma Bernama di sini, Jumaat.

Pada awal Mei lalu, Pejabat Kaji Cuaca United Kingdom meramalkan kemungkinan besar fenomena El Nino, yang mengakibatkan peningkatan suhu dan taburan hujan, akan melanda rantau Asia Tenggara pertengahan tahun ini.

El Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku dalam tempoh enam bulan berturut-turut setiap dua hingga empat tahun di timur Lautan Pasifik.

Ia boleh menyebabkan rantaian perubahan iklim berlaku di seluruh dunia dan antara kesannya ialah hujan lebat di sesetengah kawasan sementara di kawasan lain, berlaku kemarau berpanjangan.

Menurut Azizan, berdasarkan 'kitaran angin' di Malaysia, musim panas dan kering itu biasa berlaku antara Jun dan Julai setiap tahun, sebelum monsun perantaraan bermula menjelang Oktober.

Tambahnya musim hujan dan sejuk pula akan berlaku bermula November hingga Disember.

Sumber: mStar Online | 28 Jun 2014

Pengawal keselamatan: Wajib buat pengesahan kad pengenalan

Ahmad Zahid Hamidi (kiri) memeriksa barisan peserta kursus Certified Security Guards semasa hadir ke Program Tamat Latihan Certified Security Guards (CSG) di Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Kubu Baru, Sabtu. Foto: BERNAMA

KUALA KUBU BHARU: Berkuat kuasa pada 1 September ini, semua syarikat kawalan keselamatan diwajibkan membuat pengesahan kad pengenalan calon yang memohon kerja sebagai pengawal keselamatan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata calon berkenaan perlu hadir ke JPN untuk membuat pengesahan MyKad secara biometrik sebelum syarikat mengemukakan permohonan tapisan keselamatan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Langkah ini bertujuan memastikan semua pengawal keselamatan tempatan adalah warga Malaysia dan juga pemilik kad pengenalan yang sah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Latihan Pengawal Keselamatan Bertauliah (CSG) pada Sabtu.

Ahmad Zahid menarik perhatian langkah itu susulan pelbagai isu yang timbul berkaitan industri kawalan keselamatan termasuk kualiti syarikat berkenaan, penggunaan pengawal keselamatan warga asing tanpa izin serta penggunaan kad pengenalan palsu.

Ahmad Zahid berkata 659 pengawal keselamatan warga asing tanpa izin ditahan di seluruh negara sejak 1 Sept 2013 hingga 23 Jun lepas.

"Kita (KDN) turut membatalkan lesen lapan syarikat kawalan keselamatan dan memberi amaran terakhir kepada 25 syarikat kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk menggaji pengawal keselamatan warga asing haram.

"Saya ingin mengingatkan dan memberi amaran kepada mana-mana syarikat kawalan keselamatan yang masih menggaji pengawal kesalamatan warga asing haram supaya menghentikan perbuatan ini dengan serta-merta atau berdepan tindakan pembatalan lesen oleh KDN," tegasnya.

Berhubung pelaksanaan gaji minimum bagi pengawal keselamatan, Ahmad Zahid berkata ia bukan bertujuan membebankan syarikat kawalan keselamatan sebaliknya untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam kalangan pekerjanya.

"Ketika ini, kadar gaji minimum bagi gaji pokok RM900, tidak termasuk elaun dan kerja lebih masa. Purata gaji yang diperoleh sekitar RM1,200 hingga RM1,900," katanya.

"Dalam memastikan syarikat memberi perkhidmatan terbaik dan pada masa sama tidak gulung tikar disebabkan pelaksanaan gaji minimum...atas pertimbangan ini KDN menetapkan latihan secara bersijil dilakukan secara berpusat supaya kenaikan gaji ini dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan," jelas Ahmad Zahid.

Berhubung pengawal keselamatan warga Nepal, beliau berkata mereka bukan sahaja diwajibkan menghadiri latihan pengawal keselamatan di pusat-pusat latihan terpilih di negara asal malah perlu menjalani latihan lanjutan selama empat hari setiap tahun sepanjang mereka bekerja di negara ini.

Beliau berkata bagi meningkatkan imej dan keterampilan pengawal keselamatan di negara ini, KDN akan membuat penjenamaan semula pakaian seragam pengawal keselamatan sedia ada kepada tiga kategori iaitu pengawal statik, pengawal bersenjata bagi menjaga 'cash-in-transit' dan kawalan keselamatan maritim.

"Perbincangan sedang dibuat dan akan dikoordinasikan dengan PDRM serta pihak persatuan bank di negara ini sebelum tarikh penguatkuasaan diumumkan," kata Ahmad Zahid. 

Melalui program latihan CSG, kira-kira 10,000 pengawal keselamatan tempatan disasarkan dilatih sehingga akhir tahun ini dengan keutamaan bagi pengawal keselamatan sekolah.

Sumber: mStar Online | 28 Jun 2014

"Kurung yang mampu kami buat" - keluarga

TUMPAT: Anggota keluarga wanita orang kurang upaya (OKU) yang ditemui dikurung di sebuah bilik kecil di bawah rumah di Tumpat semalam menyifatkan tindakan itu jalan terbaik yang mampu mereka lakukan.
Ismail Ibrahim, 57, abang tiri kepada wanita berusia 44 tahun itu, berkata beliau dan anggota keluarga yang lain berbuat demikian kerana bimbangkan keselamatan wanita tersebut.
"Saya nak lepaskan dia tidak boleh sebab dia perempuan dan dia tidak boleh bergaul dengan orang ramai sebab dia garang, rumah pun pernah dia bakar kerana dia agresif," dakwanya.
"Pernah sekali ketika di Pulau Pinang, dia buang mangkuk dari tingkat dua ke bawah. Tidak tahu hendak buat macam mana lagi, kami dah ikhtiar," kata Ismail kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Tumpat di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis menemui Nasitah Yahya dikurung di dalam sebuah bilik berukuran 5.8 meter persegi dan setinggi lebih dua meter dan dipercayai berada dalam keadaan demikian sejak 10 tahun lalu selepas kematian ibu bapanya, di Kampung Pasir, Pekan Hulu di sini.
Ismail menjelaskan beliau tidak menyediakan bekalan air dan elektrik di bilik berkenaan kerana khuatir akan membahayakan mangsa.
"Dulu kita ada letak televisyen dan paip air tetapi dia pecahkannya. "Saya hantar makanan tiap-tiap hari dan lampu kita sediakan dari luar dan akan menyala bermula 7 malam," katanya.
Ismail berkata dia dan anggota keluarga bersyukur pihak JKM mengambil perhatian perkara itu. Sementara itu, Timbalan Pengarah JKM Kelantan Norazaman Abdul Manaf berkata pihaknya mendapati mangsa tidak didaftarkan sebagai OKU.
"Kita telah semak rekod kita dan Nasitah belum berdaftar sebagai OKU dan kita akan ambil tindakan segera. Untuk tindakan awal, kita luluskan bantuan segera RM300 dengan harapan dapat beli keperluan yang perlu," kata Norazaman.
Beliau berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada hospital bagi menentukan tindakan yang akan diambil selanjutnya termasuk menempatkannya di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
Pengarah Hospital Tumpat Dr Norlaili Sabariah Mohd Ghazali berkata pemeriksaan awal mendapati mangsa pernah mengalami sakit mental.
"Mangsa dah stabil dan kita dapati sebelum ini dia telah didiagnos sebagai pesakit mental tetapi kita perlu pengesahan pakar"Bagaimanapun, dia tidak kronik dan masih boleh menerima rawatan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed mahu masyarakat lebih aktif menyalurkan maklumat mengenai mereka yang kurang bernasib baik di kawasan masing-masing kepada pihak berkuasa untuk diberi pembelaan.
Sumber: mStar Online | 28 Jun 2014

Syabab Point pusat sehenti dua agensi penting Kerajaan Negeri Kelantan

Ahmad menandatangani plat sempena perasmian bangunan baharu tersebut.
KOTA BHARU: Syabab Point kini berperanan sebagai pusat sehenti dua agensi penting kerajaan negeri bagi memudahkan urusan pemimpin berkaitan Tabung Amanah Tok Kenali dan Majlis Penghulu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yacob berkata, dua agensi tersebut juga penting dalam pembangunan ummah dan menyebar dasar-dasar membangun bersama Islam kerajaan negeri.

“Ini bukti pengurusan pentadbiran penting dan ia mencerminkan tahap profesional yang diamalkan oleh pihak yang bertanggungjawab menguruskan kepentingan rakyat.

“Terletak di lokasi strategik dan mudah diakses ia bakal jadi pusat tumpuan pada masa depan. Bangunan sudah lama dibeli daripada biarkan begitu sahaja lebih baik digunakan untuk manfaat bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pejabat baharu Tabung Amanah Tok Kenali dan Majlis Penghulu Negeri di Bangunan Syabab Point di sini, kelmarin.

Bangunan Syabab Point yang dibeli dengan nilai RM4.5 juta pada awalnya hanya menempatkan Pejabat Pemuda Pas yang beroperasi pada 2011, dan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) negeri pada Februari lalu, dan terbaru Tabung Amanah Tok Kenali dan Majlis Penghulu.

Tambahnya, ia bukti tahap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan mereka dan juga meletakkan nilai-nilai Islam sebagai agenda pentadbiran.

“Tabung Amanah Tok Kenali menjalankan program pembangunan insan, bukti kita serius melaksanakan agenda pembangun berasaskan kepada syariat Islam.

“Majlis Penghulu turut berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan. Mereka perlu aktif menyebar dasar-dasar kerajaan dan  sebarang isu yang berlaku. Saya yakin jika ia dilaksanakan sebagai mungkin isu-isu semasa akan difahami lebih pantas oleh rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Jun 2014

231 kompaun kepada penjaja, perokok di Kelantan

Ahmad Razin (empat, kanan) bersama Adnan (kiri) menyalakan replika rokok sebagai gimik pelancaran majlis sambutan tanpa tembakau sedunia dan pelancaran kempen cara hidup sihat
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan mengeluarkan 231 kompaun kepada penjaja yang menjual rokok batang dan perokok yang merokok di tempat larangan di negeri ini dengan nilai kompaun berjumlah RM 24,655 dari Januari hingga Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata kompaun terbabit kenakan ke atas mereka yang tidak mengikut arahan yang ditetapkan sebagai satu peringatan bahawa pihaknya tidak memandang enteng soal perokok yang merokok di kawasan larangan.

“Kompaun ini bukan sahaja dikenakan kepada perokok yang melanggar arahan malah kepada penjaja yang menjual rokok dalam bentuk batang tidak seperti kebiasaannya yang dijual dalam kotak.

“Jika perkara ini tidak dipandang serius maka akan menyebabkan bertambahnya perokok malah turut merugikan diri dan boleh mengundang pelbagai jenis penyakit berbahaya termasuk serangan jantung, kanser paru-paru dan penyakit paru-paru kronik,” katanya kepada sidang media.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan hari tanpa tembakau sedunia dan pelancaran kempen cara hidup sihat peringkat negeri Kelantan di dataran Pasar Siti Khadijah di sini, baru-baru ini.

Turut hadir merasmikan majlis, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Adnan Hussin.

Sementara itu Ahmad Razin berkata sepanjang tahun lalu, pihaknya mengeluarkan 699 kompaun bernilai RM63,720.

“Dengan jumlah kompaun itu kami turut berjaya merampas produk tembakau bernilai RM566 daripada perokok dan penjual rokok batang di tempat awam serta di premis perniagaan," katanya.

Ahmad Razin berkata, pihaknya turut mewartakan beberapa lagi kawasan awam yang dijadikan sebagai kawasan larangan merokok yang membolehkan pihak berkuasa mengenakan kompaun terhadap mereka yang ingkar.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Jun 2014

Kerajaan Kelantan serius cegah ponteng puasa dan peniaga menjual makanan lebih awal

Ahmad menghulurkan derma ketika perasmian Tabung Ihya Ramadan, semalam. 
KOTA BHARU: Sempena Ramadan, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga  yang menjual makanan lebih awal dari waktu ditetapkan, termasuk individu tidak berpuasa.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab terbabit sebenarnya menggalakkan umat Islam di negeri ini tidak berpuasa dan ia amat memalukan.

Amat mendukacitakan kerana ramai lagi rakyat Kelantan tidak berpuasa. Saya tahu kedai-kedai dibuka jam 10 pagi lagi dan makanan diambil ikut pintu belakang.

“Ini negeri di bawah pentadbiran Islam. Mereka ini tidak malu kepada anak-anak muda belasan tahun (golongan lebih muda). Lagi memalukan apabila anak berpuasa tetapi bapa tidak berpuasa,” katanya ketika pelancaran Tabung Ihya Ramadan di Medan Ilmu, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Adnan Hussin.

Sehubungan itu, Ahmad meminta pihak berkuasa tempatan untuk memerangi gejala tidak sihat itu habis-habisan sebagai menghormati tuntutan rukun Islam ketiga.

Sebagaimana ditetapkan MPKB-BRI, waktu menjual makanan di premis sepanjang Ramadan adalah bermula jam 3 petang.

Bagi mengimarahkan Ramadan, kerajaan negeri meneruskan solat Tarawih berjemaah di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV dan kali ini berkonsepkan Madinah Ramadan yang turut diadakan pameran buku agama dan tulisan khat.

Katanya, program-program keagamaan seperti itu diteruskan di negeri ini sebagai usaha meningkatkan sahsiah dan jati diri orang Kelantan.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan umat Islam berlumba-lumba untuk mendapatkan keberkatan bulan Ramadan dan menghayati kemuliaannya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Jun 2014

Felixia Yeap peluk Islam pada 5 Ramadan 1435H

"SAYA akan mengucap pada 5 Ramadan ini, iaitu pada 3 Julai ini (Khamis)," kata model pakaian Muslimah, Felixia Yeap (gambar), ketika menjadi panel  jemputan di Program Semarak Ramadan anjuran kerajaan Negeri Selangor di Dataran Shah Alam malam ini.

Felixia berkata, tarikh 5 Ramadan dipilih kerana ia jatuh pada hari ulang tahun kelahirannya.

"...5 Ramadan iaitu jatuh pada  3 Julai ini iaitu pada hari 'birthday' saya, hari itu juga merupakan hari kegemaran Nabi Muhammad," katanya.

Ketika berbicara mengenai puasa, Felixia berpesan supaya umat Islam Malaysia tidak meninggalkan puasa.

Sementara bercakap mengenai ciri-ciri suami idamannya, Felixia berharap lelaki itu seorang yang mampu membawanya ke jalan syurga.

"Biarlah beliau seorang yang mampu membimbing saya ke jalan jannah," katanya.

Sumber: Sinar Harian | 27 Jun 2014

Seorang wanita ditemui dikurung di sebuah bilik di Kg. Pasir Pekan Hulu, Tumpat

Nazitah (tengah) dipercayai dikurung lebih 10 tahun.

TUMPAT: Satu lagi kes kecuaian dan penderaan dilaporkan apabila seorang wanita yang mengalami Sindrom Down ditemui dikurung dalam sebuah bilik kecil dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan.

Wanita yang dipercayai berusia 30-an itu diselamatkan oleh polis dan Jabatan Kebajikan Daerah pada Khamis berikutan laporan orang awam.

Dipercayai mangsa dipaksa hidup di bilik kecil di sebuah rumah sejak 10 tahun lalu di Kampung Pasir Pekan Hulu.

Mangsa dikenali sebagai Nazitah diselamatkan dalam keadaan terbiar dipenuhi dengan najis dan air kencing selepas pihak berkuasa terpaksa memotong jeriji pintu masuk sebelum menjumpai bilik yang terselindung itu.

Ketua Polis Daerah Supritendan Zaharuddin Rasip berkata, polis sedang mencari lelaki yang dipercayai abang mangsa untuk mendapatkan maklumat mengenai perkara ini selepas jiran memaklumkan kepada polis dan jabatan kebajikan pada pukul 3.30 petang.

"Apabila polis dan pegawai  jabatan tiba di rumah itu, kami mendapati wanita itu dalam keadaan yang menyedihkan dan tidak bermaya.

"Keadaan bilik tersebut gelap dan hasil siasatan mendapati mangsa bertahan untuk hidup dengan meminum air daripada sumber luaran," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

"Siasatan kami juga menunjukkan bahawa saudara mangsa tinggal berhampiran," kata Supt Zaharudin.

"Kami cuba untuk mengesan saudara mangsa untuk mengetahui mengapa wanita itu dikurung. "Menurut jiran, mangsa dikurung kerana tidak mahu dia berkeliaran.

"Tetapi bilik terlalu kecil dan  mangsa telah dibiarkan untuk menyara diri sendiri," kata beliau sambil menambah bahawa mangsa telah dihantar ke hospital daerah untuk rawatan.

Seorang penduduk, Rubiah Abdullah, 54, berkata dia sedih melihat wanita itu dikurung seperti itu dan percaya bahawa mangsa telah dikunci untuk kebaikan sendiri.

Kes Nazitah ini ditemui  seminggu selepas seorang remaja orang kurang upaya Muhammad Firdaus Dullah ditemui dalam keadaan menyedihkan di sebuah rumah yang kotor.

Sumber: mStar Online | 28 Jun 2014

Jumaat, 27 Jun 2014

Usia 95 tahun masih gigih kayuh beca demi impian tunai haji

Omar masih mengayuh beca biarpun sudah berusia 95 tahun. Foto: Sinar Harian
KOTA BHARU: Meskipun mencecah usia 95 tahun, Omar Osman tetap meneruskan rutin harian mengayuh beca yang menjadi punca rezekinya membesarkan sembilan anak sejak 40 tahun lepas.
   
Warga emas ini tetap bersemangat meneruskan pekerjaan bermandikan keringat itu demi impian untuk mengerjakan haji dengan hasil mengayuh beca.
   
Pengayuh beca tertua di Kelantan ini bersyukur dengan kesihatan baik hasil daripada pekerjaannya itu yang menurutnya merupakan senaman semula jadi.
   
"Sepatutnya pada usia emas ini pakcik dah boleh berhenti memandangkan duit bulanan anak-anak dah sediakan, tetapi disebabkan hasrat pakcik untuk ke tanah suci dengan hasil duit mengayuh, jadi pakcik lebih bersemangat.
   
"Anak-anak turut membantu menyediakan duit untuk tujuan tersebut dan pakcik harap ada pihak dapat membantu mempercepatkan hasrat pakcik ini," katanya ketika ditemui di perkarangan Pasar Siti Khadijah, di sini.

Masih menggunakan beca usang dan berkarat yang dibelinya pada harga RM1,200 pada 40 tahun lalu itu, Omar berkata beca itu banyak berjasa kepadanya dalam menyara keluarga dan memberi pelajaran kepada anak-anaknya.
   
"Kayuh beca ini adalah senaman semulajadi, menyihatkan dan memberi pendapatan.
   
"Rugi anak-anak muda yang mengganggur dan masih banyak tenaga tidak menjadikan pekerjaan kayuh beca sebagai kerjaya...jadi pengayuh beca bergantung kepada rezeki," katanya yang kini tinggal di Kampung Sungai Keladi di sini.
   
Menurutnya, tiga daripada anaknya telah meninggal dunia manakala isterinya telah kembali ke rahmahtullah beberapa tahun lepas.
   
Katanya keadaan sekarang adalah amat jauh berbeza berbanding ketika mula menjadi pengayuh pada tahun 1970-an.

"Kalau dahulu pakcik mengayuh dengan jarak jauh tetapi belum tentu untuk dapat RM3, tetapi kini dengan jarak yang dekat pakcik dah dibayar sebanyak RM3.
   
"Ada juga pelanggan memberikan upah antara RM3 hingga RM10 sekali perjalanan di bandar Kota Baharu, selain RM50 sebagai tanda penghargaan dalam jarak yang dekat," katanya.
   
Omar berharap hasratnya untuk mengerjakan haji akan tercapai dan berdoa agar diberikan kesihatan baik untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Sumber: Bernama | 27 Jun 2014

Wanita sindrom down dikurung bawah rumah di Kg. Pasir Pekan Hulu, Tumpat

TUMPAT: Seorang wanita yang menghidap sindrom down ditemui dikurung di sebuah bilik kecil di bawah rumah keluarganya di Kampung Pasir Pekan Hulu di sini.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharuddin Rasip berkata, mangsa yang berusia 30-an itu dipercayai dikurung adik-beradiknya dalam sebuah bilik berukuran 5.8 meter persegi dan setinggi lebih dua meter sejak 10 tahun yang lalu selepas kematian ibu bapa mereka.

"Pihak polis terpaksa memotong jeriji besi bilik berkenaan untuk mengeluarkan mangsa setelah menerima maklumat dari orang ramai pada pukul 3.30 petang tadi," katanya kepada pemberita di rumah berkenaan.

Beliau berkata, ketika ditemui anggota keluarga mangsa tidak berada di rumah itu dan maklumat awal yang diperoleh, mangsa dijaga oleh abangnya yang tinggal berdekatan rumah berkenaan.

"Kita ingin siasat kenapa dia dikurung dan maklumat awal kita dapati mangsa dikurung kerana bimbang mangsa merayau di tempat awam," katanya.

Zaharuddin berkata, wanita itu telah dihantar ke Hospital Tumpat. Seorang penduduk Rubiah Abdullah, 54, berkata anggota keluarga mangsa mengurung mangsa dipercayai kerana tidak mahu dia keluar merayau-rayau.

Sumber: Bernama | 27 Jun 2014

MDPP bangun bandar baharu di Tok Bali

KOTA BHARU: Tok Bali yang kini merupakan pelabuhan perikanan utama di Pantai Timur bakal berubah wajah tidak lama lagi apabila kawasan seluas 2.5 ekar dibangun sebagai bandar baharu.

Majlis Daerah Pasir Puteh dengan Syarikat Pingat Harmoni Sdn Bhd akan membina 13 kedai dua tingkat dan 27 rumah teres dua tingkat.

Hasil kerjasama tersebut MDPP akan mendapat dua unit kedai dan enam unit rumah teres, di mana kesemuanya bernilai RM2.5 juta.

Perjanjian kerjasama projek berkenaan ditandatangani antara MDPP dengan Pingat Harmoni disaksikan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah di sebuah hotel di sini, semalam.

Pada perjanjian terbabit MDPP diwakili Yang Dipertuanya, Mat Jusoh Hussin, Setiausaha MDPP, Mohd Shargowi Derahman dan Ketua Whip, Che Bisi Hassan, manakala syarikat berkenaan pula diwakili Ketua Pengarah Eksekutifnya, Md Rasid Mohamad.

Mohd Amar ketika berucap pada majlis itu berkata, majlis-majlis daerah di Kelantan digalakkan mencari pelaburan baru bagi membangunkan kawasan di bawah pentadbiran mereka.

“Projek pembangunan baharu rumah kedai dan perumahan wajar dilaksanakan di tempat-tempat yang berpotensi menjadi tarikan ramai.

“Selain mendapat manfaat kepada majlis-majlis daerah, masyarakat setempat juga mendapat limpahan pembangunan,” ujarnya.

Pelabuhan juga sedang dibina di Tok Bali. Selain itu terdapat banyak jeti pendaratan ikan di sepanjang Terusan Tok Bali termasuk dimiliki Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia .

Sumber: Harakah Daily | 27 Jun 2014

Penagihan dadah: Pencegahan lebih penting

Hamidah (tengah) bersama Ilias (dua, kanan), Ibrahim Abd Ghani (kanan) selepas menandatangani plak sempena lawatan ke bangunan baharu bengkel pembuatan roti CCRC Bachok, kelmarin.
BACHOK: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menganggap aspek pencegahan lebih penting berbanding rawatan yang menelan kos lebih tinggi dalam usaha mengekang penagihan dadah di negara ini.

Ketua Pengarah AADK, Suhaimi Abdullah berkata, dari 1988 sehingga kini, terdapat 345,000 penagih dadah direkodkan di seluruh negara dan jumlah itu menunjukkan peningkatan setiap tahun sama ada melibatkan kes berulang atau kes baharu.

"Kini terdapat 5,000 penagih ditempatkan di 18 pusat pemulihan atau Cure and Care Rehab Centre (CCRC). Untuk pulih sepenuhnya agak sukar dan perlu kos tinggi setiap tahun bagi membiayai mereka di pusat. Setiap tahun kerajaan peruntukan RM280 juta untuk kos pengurusan.

"Saya rasa tidak praktikal untuk kita buat ceramah beramai-ramai mengenai dadah. "Lebih baik kita dapatkan data, fokus lokasi strategik dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah, penghulu, imam dan pemimpin tempatan untuk langkah pencegahan lebih efektif," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Lawatan Bersama Isteri Menteri Dalam Negeri, Datin Seri Hamidah Khamis ke CCRC Bachok, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah AADK Kelantan, Ibrahim Abd Ghani; Pengarah CCRC Bachok, Siti Rugayah Ismail dan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat CCRC, Datuk Dr Ilias Husain.

Mengulas pecahan negeri utama yang mempunyai kadar penagihan dadah paling tinggi, beliau memaklumkan, antara negeri tertinggi ialah Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Katanya, Kelantan mempunyai kira-kira 2,500 penagih di bawah pengawasan dan jumlah itu berpotensi untuk meningkat disebabkan faktor negeri ini berhampiran sempadan negara jiran yang didominasi pil kuda.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 27 Jun 2014

Lebuh raya bantu ekonomi Kelantan

Mohd Amar (dua, kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Yang Dipertua MDPP, Mat Jusoh Hussin (kanan) dengan Ketua Pengarah Eksekutif Pingat Harmoni Sdn Bhd, Md Rasid Mohamad.
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berharap pembinaan jajaran lebuh raya baharu menghubungkan Singapura dan negara Indo-China dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya, lebuh raya yang akan melalui Kelantan itu membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

“Saya sudah mendapat maklumat awal mengenai pembinaan lebuh raya yang akan dilaksanakan Kerajaan Persekutuan itu dan yang menariknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhasrat memulakan pembinaannya di negeri ini.

“Saya difahamkan lebuh raya itu bermula di Sungai Ris, Singapura iaitu lokasi jambatan kedua negara itu dan ia bersambung dengan Lebuh Raya Pantai Timur," katanya.

Mohd Amar berkata, ia memasuki Kelantan melalui Tok Bali, Pasir Puteh, Bachok serta Pengkalan Kubor, Tumpat dan memasuki Thailand sehingga ke Vietnam dan mungkin ke China.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Di Antara Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) Dengan Syarikat Pingat Harmoni Bagi Projek Pembangunan Bercampur Di Mukim Semerak, Pasir Puteh di Hotel Perdana, di sini, semalam.

Menurutnya, jika lebuh raya itu menjadi kenyataan, ia semestinya membantu pertumbuhan ekonomi negeri ini dan menarik kedatangan lebih ramai pelancong.

“Sebahagiannya akan melibatkan pengambilan tanah, manakala sebahagian hanya membabitkan penggunaan tanah untuk tiang kerana lebuh raya itu nanti lebih banyak menggunakan jalan atas.

“Saya membayangkan lokasi jalan susur keluar dari lebuh raya itu akan membangun sekali gus menjadikan negeri ini lebih padat kegiatan ekonominya.

“Kita amat bersetuju pembinaan lebuh raya ini dan kerajaan negeri tunggu taklimat rasmi dan maklumat terperinci mengenainya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 27 Jun 2014