Sebahagian pemilik tanah di Seksyen 10, Jalan Sultanah Zainab membantah hasrat kerajaan negeri untuk mengambil tanah mereka di Kota Bharu, baru-baru ini. |
KOTA BHARU: Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Itu mungkin gambaran nasib 42 pemilik tanah apabila kerajaan Pas Kelantan meluluskan pengambilan tanah seluas 7.6 ekar (kira-kira tiga hektar) bagi tujuan pembangunan komersial di Seksyen 10, Jalan Sultanah Zainab di sini.
Sudahlah tidak mempunyai pilihan selain menyerahkan tanah masing-masing, pemilik terbabit mendakwa kerajaan negeri mahupun pihak pemaju mengambil kesempatan dengan menawarkan bayaran pampasan jauh lebih rendah daripada harga pasaran.
Ahli Jawatankuasa Bertindak Pemilik Tanah Seksyen 10, Kuay Teow Ann, 61, berkata, kerajaan Pas Kelantan menerusi sepucuk surat maklum balas pada Disember 2012 telah menyatakan persetujuan untuk menangguhkan pengambilan tanah di kawasan itu.
Tanpa pemberitahuan awal, katanya, pemilik tanah pada 8 Mei lalu menerima notis bahawa cadangan pengambilan tanah di kawasan Seksyen 10 bagi tujuan pembangunan akan diteruskan tidak lama lagi.
"Jika benar kami sudah tidak mempunyai pilihan selain berpindah, cuma kami harap pihak kerajaan negeri dapat bersikap adil dan bertimbang rasa kepada pemilik tanah di sini.
"Kami berasa begitu teraniaya kerana bukan mudah untuk memiliki tanah di bandar sebegini. Biarpun tanah kami miliki mempunyai nilai tinggi tetapi harga yang ditawarkan tidak setimpal.
"Malah, pihak terbabit sama sekali tidak pernah datang berbincang tentang isu pengambilan tanah ini dan secara tiba-tiba kami diberikan notis," katanya kepada pemberita kelmarin.
Dalam masa sama, Teow Ann turut meminta kerajaan Pas Kelantan lebih telus dan mengadakan tender terbuka bagi projek pembangunan di kawasan tersebut.
Ujarnya, langkah itu dilihat mampu memberi manfaat kepada pemilik tanah kerana berkemungkinan memperoleh jumlah pampasan lebih tinggi.
Sementara itu, seorang penduduk, Kamariah Mat Daud, 51, berkata, dia berasa sedih kerana perlu berpindah sedangkan rumah tersebut adalah peninggalan suaminya.
Katanya, sehingga kini dia masih buntu tentang arah tujunya selepas ini jika tanah di kawasan penempatan itu diambil kerajaan Pas Kelantan bagi tujuan pembangunan.
"Sebagai penduduk, kami tidak mempunyai pilihan selain menjual tanah di sini. Bagaimanapun saya berharap pihak terbabit dapat menimbang semula harga yang ditawarkan kepada kami. Harga yang ditawarkan ternyata jauh lebih rendah daripada harga pasaran.
"Setelah dihitung jumlah yang bakal diperoleh ternyata saya masih tidak mampu untuk memiliki tanah (rumah) baharu. Apatah lagi, saya perlu membahagikan hasil jualan tanah pusaka ini dengan anak-anak seperti diwasiatkan ayah mereka," katanya yang menyara kehidupan dengan hasil wang pencen arwah suaminya.
Sementara itu, menurut Zakaria Said, 68, dia dan isterinya terpaksa menyewa rumah sebagai persediaan awal setelah mengetahui tentang pengambilan tanah di kawasan itu diluluskan kerajaan Pas Kelantan.
"Apabila tahu bahawa tanah kami akan diambil, saya segera mencari rumah sewa kerana bimbang tiada tempat tinggal di kemudian hari. Saya tidak menyangka pada usia begini kami terpaksa menyewa rumah lagi, sedangkan masing-masing sudah tidak bekerja.
"Saya tidak mempunyai pilihan lain kerana ini satu-satunya tanah (rumah) yang saya miliki," katanya yang menetap di perkampungan tersebut sejak lebih 60 tahun lalu.
Tambah bapa kepada empat anak itu, dia amat berharap kerajaan Pas Kelantan mahupun pihak pemaju dapat memberikan tawaran harga yang setimpal untuk penduduk terlibat meneruskan kelangsungan hidup.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Jun 2014 | Terbitan 3 Jun 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan