GUA MUSANG: Projek Agropolitan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dijalankan di Rantau Manis di sini mampu meningkatkan pendapatan setempat selaras dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Nor Azma Abdul Rahman berkata, projek tersebut diyakini mampu mengubah nasib peserta berikutan terdapat pelbagai peluang pekerjaan baharu untuk kumpulan sasar iaitu golongan miskin tegar.
Katanya, projek yang menekankan pertumbuhan ekonomi luar bandar melalui aktiviti pertanian dan industri asas tani itu memberi peluang kepada peserta bekerja di ladang kelapa sawit dan pusat semaian koko selain menjana pendapatan sampingan dengan mengusahakan kebun dapur berhampiran rumah.
"Peserta digalak memaksimumkan penggunaan tanah di sekitar laman rumah dengan menjalankan aktiviti pertanian bagi menambah pendapatan seharian.
"Dengan bekerja di ladang kita (ECER), peserta mampu memperoleh pendapatan sekitar RM1,300 hingga RM2,000 sebulan termasuk jika kebun dapur membuahkan hasil," katanya kepada pemberita ketika sesi lawatan media ke Projek Agropolitan ECER Rantau Manis di sini baru-baru ini.
Projek Agropolitan ECER yang bermula pada 2009 kini mempunyai 325 peserta iaitu 266 dari Gua Musang, Kuala Krai (54 peserta) dan Jeli (lima peserta). Manakala 300 buah rumah lagi sedang dibina dan dijangka siap menjelang tahun depan.
Selain memberi kemudahan perumahan dan peluang pekerjaan, projek ini turut menyediakan kemudahan infrastruktur seperti rumah pekerja, rumah kedai, tadika, surau, dewan orang ramai, gelanggang futsal dan sebuah sekolah yang sedang dibina.
Sementara itu, rata-rata peserta yang terpilih mengikuti projek ECER terbabit mengakui pendapatan dan kehidupan mereka lebih teratur berbanding dahulu.
Menurut peserta, Saadiah Saamah, 50, dahulu kehidupannya terumbang-ambing namun semuanya baik setelah dia mengikuti program tersebut.
Ibu tunggal kepada tujuh anak itu berkata, kebun koko yang diusahakan di belakang rumah yang mula mengeluarkan hasil sejak setahun lalu juga banyak mengubah nasib mereka sekeluarga.
"Pada waktu pagi, saya bekerja di pusat semaian koko dan sebelah petang saya menumpukan tanaman sampingan koko yang mampu mengeluarkan hasil sehingga 30 kilogram setiap kali jualan," katanya.
Bagi seorang lagi peserta, Naemah Naim, 33, kehidupan sebelum ini yang diibaratkan seperti kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang itu telah berubah dan kehidupannya kini lebih terjamin.
"Jika dahulu saya sering memikirkan bagaimana mahu bayar sewa rumah dan menyara kehidupan kami anak-beranak setiap hari, namun kini tidak lagi.
"Bukan sahaja memberi peluang pekerjaan, malah pihak pengurusan juga turut memberi tempat kediaman yang mempunyai tanah lapang untuk mengusahakan kebun sendiri bagi meningkatkan pendapatan sekeluarga," katanya.
Seorang lagi peserta, Che Zahar Che Mamat, 39, turut mengucapkan terima kasih kepada agensi kerajaan seperti pihak ECER dan Kesedar yang membantu mereka yang rata-ratanya terdiri daripada golongan miskin tegar.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 30 Mei 2014 | Terbitan 31 Mei 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan