Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 3 Jun 2014

Kelantan pengeluar sarang burung walet

KOTA BHARU: Kelantan mempunyai potensi untuk membangun sebagai pusat memproses sarang burung walet pertama dan terbesar di negara ini dengan jangkaan pengeluaran bernilai RM100 juta.

Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Kumpulan Swiftlet Eco Park, Ahmad Tarmize Mohd. Yusoff berkata, keyakinan itu kerana sarang burung walet yang dihasilkan di negeri ini mempunyai kualiti terbaik di Malaysia.

"Kelantan mempunyai potensi besar dalam industri ini kerana menghasilkan sarang burung walet paling bermutu berikutan persekitarannya masih terpelihara selain iklim dan topografi yang sangat sesuai.

"Selain itu kita juga mempunyai keyakinan untuk melabur di Kelantan kerana negeri ini pernah menjadi pengeluar kedua terbesar di Malaysia selepas Perak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagi menjalin kerjasama strategik program pembangunan industri sarang burung walet peringkat global antara kerajaan negeri dan Kumpulan Syarikat Swiftlet Eco Park di Kompleks Kota Darul Naim di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Swiftlet Eco Park, Datuk Seri Dr. Abdullah Fadzil Che Wan; Pengarah Eksekutif Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swiftlet Eco Park, CH Tan dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Swiftlet Eco Park, Tan Soon Yong.

Ahmad Tarmize memberitahu, syarikat tersebut berhasrat mewujudkan satu subpemprosesan sarang burung walet di setiap daerah di negeri ini.

Katanya, projek itu nanti bakal mewujudkan 500 hingga 1,000 peluang pekerjaan baharu untuk penduduk setempat.

"Pelaksanaan projek ini adalah sebahagian usaha syarikat untuk membantu golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan graduan untuk mendapat pekerjaan.

"Kerjasama ini juga membolehkan Kelantan wujud sebagai Pusat Latihan dan Pembangunan Usahawan Bumiputera Industri Sarang Burung Walet," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 29 Mei 2014 | Terbitan 30 Mei 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan