Sebahagian pengunjung dan peserta yang hadir pada Pesta Wau Antarabangsa Kelantan di Pantai Geting, Tumpat baru-baru ini. |
TUMPAT: Kejayaan penganjuran Pesta Wau Antarabangsa Kelantan
kali-32 yang berjaya menarik lebih 300 penyertaan dari dalam dan luar
negara menunjukkan permainan tradisional ini masih diminati segenap
lapisan masyarakat.
Pengerusi Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md.
Anizam Ab. Rahman berkata, perkembangan itu sekali gus menunjukkan usaha
untuk memperkenal dan mempertahan seni budaya tempatan membuahkan hasil
apabila lebih ramai generasi muda turut serta dalam pesta tersebut.
"Dalam penganjuran kali ini, kita dapat melihat peserta dari dalam
dan luar melakukan pelbagai inovasi dalam teknik pembuatan wau atau
layang-layang.
"Biarpun begitu, kita berharap dapat mengetengahkan dan
memperkenalkan wau tradisional Kelantan jenis bulan dan puyuh dalam
kalangan masyarakat terutama generasi muda," katanya ketika ditemui
Utusan Malaysia pada Majlis Penutup Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2014
di Pantai Geting, di sini semalam. Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Sebanyak 18 buah negara luar yang turut serta dalam pesta terbabit ialah Australia, Brunei, Belgium, China, Indonesia, Itali, India,
Jerman, Kemboja, Korea, Macau, Nepal, New Zealand, Filipina, Sweden,
Amerika Syarikat, Thailand dan United Kingdom (UK).
Pesta yang berlangsung selama empat hari itu mempertandingkan 22
kategori termasuk acara menaikkan dan membuat beberapa jenis wau seperti
wau bulan dan wau puyuh peringkat kebangsaan serta pertandingan
layang-layang cabaran 'rokakku' dan 'train' antarabangsa.
Md. Anizam memberitahu, dianggarkan lebih 100,000 orang pengunjung
telah hadir sepanjang festival tersebut berlangsung selama empat hari
sejak Rabu lalu.
Dalam pada itu, Md. Anizam mengesyorkan setiap daerah di negeri ini
menganjurkan festival wau di tempat masing-masing untuk mencungkil
bakat-bakat baharu dalam permainan tradisional itu.
"Bagi memastikan golongan muda di negeri ini dapat mewarisi permainan
wau, lebih banyak festival seperti ini perlu dianjurkan di setiap
daerah di negeri ini.
"Dengan itu, bakat-bakat baharu akan dapat dicungkil selain memberi
lebih banyak peluang serta pendedahan kepada orang ramai tentang
permainan tradisional ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelayang Kelantan, Nik Arif Nik
Hassan berkata, saingan yang diterima pada festival kali ini amat sengit
namun beliau bersyukur dan gembira atas kejayaan berkenaan.
"Kemenangan tahun ini amat manis kerana sekali lagi dapat
mempertahankan kejuaraan keseluruhan buat kali keempat berturut-turut
sejak 2011," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 1 Jun 2014 | Terbitan 2 Jun 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan