Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 4 Jun 2014

Projek pembinaan Jambatan Pengkalan Kubor - Tak Bai kini dalam proses menentukan lokasi

KOTA BHARU: Pembinaan jambatan yang menghubungkan Pengkalan Kubor di Tumpat ke Tak Bai di Narathiwat kini dalam proses menentukan lokasi pembinaan, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata jambatan sepanjang satu kilometer yang akan merentasi Sungai Golok itu telah diluluskan Kerajaan Persekutuan dan juga sedang dalam proses perincian yang lain termasuk kos.

"Jambatan itu merupakan projek kerajaan Persekutuan...saya dimaklumkan sudah diluluskan cuma sekarang ini dalam proses perbincangan untuk menentukan lokasi sebenar pembinaannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perdagangan Kelantan di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini, Rabu.

Pada 28 April 2011, Gabenor Wilayah Narathiwat Tenung Vejkorm Kanon berkata Thailand merancang membina jambatan ketiga menghubungkan negara itu dengan Malaysia membabitkan laluan sepanjang satu kilometer dari Tak Bai ke Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan.

Gabenor itu berkata pelan dan reka bentuk jambatan itu telah siap dan pembinaannya akan dimulakan di Mukim Kok Sekon iaitu sebuah penempatan di Tak Bai yang paling hampir dengan sempadan kedua-dua negara.

Sementara itu, pada 20 Mei 2013, anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata jambatan yang dianggarkan bernilai lebih 100 juta itu akan dibina secara usaha-sama dengan kerajaan Thailand.

Ketika ini dua buah jambatan yang telah menjadi simbol hubungan persahabatan antara rakyat kedua-dua negara adalah Jambatan Persahabatan di Bukit Bunga Jeli, Kelantan dengan Ban Buketa serta Jambatan Muhibah antara pekan Sungai Golok dan Rantau Panjang.

Sementara itu, Mohd Amar berkata pihaknya merancang untuk melibatkan Kelantan dalam Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang akan dilaksanakan 2015 dengan menjadikan negeri ini sebagai negeri hab pelaburan global.

Beliau berkata pelbagai persiapan perlu dijalankan bagi mencapai sasaran tersebut iaitu dengan meningkatkan infastruktur di Kelantan selain menjaga hubungan baik antara negeri di negara ini.

"Banyak yang perlu dipersiapkan terutama dari segi infrastruktur seperti kemudahan jalan raya, menaik taraf lapangan terbang dan pelabuhan sebab inilah antara masalah infrastruktur yang kita hadapi," katanya.

Seminar anjuran Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) itu dihadiri kira-kira 300 usahawan.

Ia bertujuan membuka laluan dua hala bagi membolehkan usahawan tempatan menerokai peluang pelaburan di negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Thailand selain menjemput pelabur ke negeri ini.

Sumber: Bernama | 4 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan