Sebahagian peniaga yang membuat bantahan dalam demonstrasi aman petang kelmarin. |
KOTA BHARU: Hampir 70 peniaga Pasar Malam Parit Dalam, di sini menggesa Kerajaan Negeri supaya campur tangan bagi membela nasib dan hak mereka sebagai peniaga di kawasan terbabit yang diarahkan menutup operasi perniagaan atas dakwaan mengganggu lalu lintas sejak Mei lalu.
Ekoran itu, mereka mengadakan demonstrasi bantahan aman di sini petang kelmarin, memandangkan perniagaan mereka terjejas dan ada di antara mereka sudah lebih 20 tahun berniaga di kawasan itu namun terpaksa menutup perniagaan mereka ekoran diarahkan menghentikan operasi niaga oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
Wakil peniaga, Mohd Shukri Ismail, 47, berkata, mereka hanya mengharapkan sumber rezeki dengan berniaga bagi menampung kehidupan seharian dan arahan dari PBT untuk menutup operasi perniagaan secara serta-merta tanpa sebarang notis merupakan penganiayaan terhadap mereka.
“Kami juga buntu apabila PBT mengarahkan kami menghentikan operasi perniagaan hanya atas alasan mengganggu lalu lintas.
“Di mana hak kami sebagai peniaga di sini? Sedangkan kami hanya mencari rezeki dengan berniaga, maka kami mahu menuntut hak kami yang seolah-olah 'dianaktirikan’,” dakwanya.
Mohd Shukri berkata, pihak PBT juga tidak menjelaskan sebab sebenar mereka perlu berpindah malah tidak juga menyediakan ruang niaga baharu untuk mereka.
Sementara itu seorang lagi peniaga, Mohd Rozan Deraman, 43, berkata, mereka mahukan tapak yang baharu untuk meneruskan perniagaan mereka, namun sehingga kelmarin masih lagi tiada jawapan dari pihak terbabit.
“Sebelum ini kita ada melakukan rundingan dengan pihak PBT, namun dalam perbincangan itu, hanya separuh peniaga sahaja yang mendapat tapak asal mereka semula, manakala kami tidak mendapat tapak lama malahan juga tapak baharu.
“Kita kalau berniaga sudah semestinya inginkan kawasan yang mempunyai ramai pelanggan, jadi kami harap pihak terbabit dapat menyelesaikan masalah dan rungutan yang timbul ekoran masalah itu.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima aduan terbabit dan akan mengusulkan kepada pihak atasan berhubung isu berkenaan bagi menyelesaikan masalah itu dengan segera.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 5 Jun 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan