Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 2 Mac 2017

Agong berangkat hadiri majlis bacaan Yasin dan tahlil di Masjid Kampung Hulu

BANDAR RAYA MELAKA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin dan tahlil di Masjid Kampung Hulu di sini, malam ini sempena lawatan rasmi tiga hari Seri Paduka ke Melaka.

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada kira-kira 7.30 malam disambut oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Sultan Muhammad V yang memakai jubah atau dikenali sebagai 'baju gumbang' dan berkopiah putih menunaikan solat Maghrib, solat sunat Hajat dan solat Isyak yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri Datuk Mohamad Hashim Al-Hafiz, bersama-sama lebih 1,000 jemaah lelaki dan wanita.

Majlis bacaan Yasin dan tahlil pula dipimpin oleh Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil.

Seri Paduka kemudian berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan para jemaah.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis kira-kira 9.15 malam, Seri Paduka berkenan menyampaikan sumbangan kepada pihak masjid.

Ini merupakan lawatan pertama Sultan Muhammad V ke Melaka sejak menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Dis lepas.

Esok, Seri Paduka dijadual menunaikan solat Jumaat dan merasmikan Masjid Sultan Muhammad V di Sungai Udang sebelum berkenan menghadiri santapan bersama rakyat di masjid itu.

Sumber: Bernama | 2 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan