BANDAR RAYA MELAKA: "Seumur hidup pakcik ini adalah pertama kali berpeluang dapat bertemu dan bersalam dengan Yang di-Pertuan Agong," kata Abdul Rahim Zainal Abidin, seorang penduduk dari Sungai Udang di sini.
Pesara kerajaan berusia 71 tahun itu menyifatkan Sultan Muhammad V sebagai seorang raja yang tinggi budi pekerti serta langsung tidak kekok berdampingan dengan rakyat jelata.
"Memang teruja kerana bukan hanya dapat bertemu dan bersalam tetapi juga berpeluang menunaikan solat Jumaat bersama baginda," katanya kepada Bernama Jumaat.
Abdul Rahim adalah antara penduduk kawasan Sungai Udang yang menunaikan solat Jumaat bersama Yang di-Pertuan Agong di Masjid Sultan Muhammad V di Kompleks Penjara Sungai Udang di sini.
Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Udang Mohd Zainal Abdullah pula kagum dengan penampilan Sultan Muhammad V yang sederhana dan menunjukkan baginda seorang yang berjiwa rakyat.
"Keperibadian baginda mendekatkan baginda dengan rakyat tanpa protokol yang ketat dan ini akan setiasa diingati rakyat seterusnya menjadi contoh yang baik kepada rakyat," katanya.
Sultan Muhammad V hari ini berkenan berangkat merasmikan masjid itu.
Keberangkatan tiba Seri Paduka pada kira-kira 1.10 petang disambut oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Sultan Muhammad V yang sekadar berjubah atau 'baju gumbang' serta berkopiah putih menunaikan solat Jumaat bersama rakyat yang diimamkan Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil.
Baginda dalam rangka lawatan tiga hari ke Melaka sehingga esok dan ini merupakan lawatan pertama Seri Paduka ke negeri ini sejak dilantik Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Disember lepas.
Sumber: Bernama | 3 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan