Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 3 Mac 2017

Lebih 3,700 penduduk luar bandar Kelantan nikmati bekalan air bersih

MACHANG: Lebih 3,700 penduduk di beberapa kawasan luar bandar di Kelantan, kini dapat menikmati bekalan air bersih hasil pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar bernilai RM6.7 juta.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata penduduk terbabit adalah di Jajahan Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Pasir Puteh dan Machang.

"Sejak berpuluh tahun lepas, mereka terpaksa menggunakan bekalan air yang tidak dirawat yang diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk air tadahan dari bukit, sungai dan telaga.

"Kini mereka dapat menggunakan bekalan air bersih ini secukupnya, 24 jam sehari, tanpa merasa ragu kebersihannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Bekalan Air Luar Bandar Negeri Kelantan di sini Jumaat.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Setiausaha KKLW Datuk Dr Ahmad Jailani Mohamed yang mewakili kerajaan persekutuan menyerahkan projek berkenaan kepada Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd, Ir Wan Zamri Wan Ismail sebagai mewakili kerajaan negeri.

Ahmad Jazlan berkata projek itu dapat meringankan beban penduduk di kawasan luar bandar untuk mendapatkan air bersih yang bekalannya terjamin.

"Tanpa peruntukan daripada kerajaan persekutuan bagi membangunkan projek berkenaan, mereka (penduduk) tidak mungkin mampu menampung kos pemasangan paip yang dikenakan antara RM5,000 hingga RM6,000 bagi setiap rumah oleh pihak kontraktor," katanya.

Beliau berkata penduduk terbabit kini hanya perlu membelanjakan RM75 bagi bayaran deposit meter air dan keperluan lain untuk sesebuah rumah.

Ahmad Jazlan berharap kerajaan negeri melalui AKSB akan terus memberi kerjasama kepada kementeriannya agar lebih ramai lagi penduduk di kawasan luar bandar mendapat manfaat di bawah Projek Bekalan Air Luar Bandar itu.

Sumber: Bernama | 3 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan