Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 2 Mac 2017

Jangan salahkan negara jiran jadi penyumbang HIV di Kelantan - Ahmad Jazlan

KOTA BHARU: Jangan salahkan negara jiran sebagai punca peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan pengamal seks heteroseksual dan homoseksual di Kelantan, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Anggota Parlimen Machang itu turut menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung perkara tersebut sebagai retorik dan tidak berasas.

"Saya nak tanya satulah Timbalan Menteri Besar, kalau dia (seseorang itu) berjiran dengan perompak, kalau anak dia mencuri, adakah dia nak salahkan jiran dia atau dia yang tak tahu mengajar anak?

"Jadi janganlah kita nampak alim, ulama, akhirnya apabila ditanya soalan kita putar belit (jawapan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Asrama Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu dan Program Outreach Pendidikan Kesihatan di Lembah Sireh, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah KPTM Kota Bharu Mohd Sahidi Yaakob dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir.

Semalam, Mohd Amar dilaporkan berkata peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan pengamal seks heteroseksual dan homoseksual di Kelantan antara lain disebabkan kedudukan negeri itu yang dekat dengan Thailand.

Selasa lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri II Masir Kujat dipetik berkata penghidap HIV hasil hubungan heteroseksual di Kelantan yang berjumlah 40 orang pada 2015 meningkat kepada 50 orang pada tahun lepas.

Jangkitan HIV akibat hubungan homoseksual di negeri itu yang berjumlah 10 orang pada 2015 meningkat kepada 20 orang pada tahun lepas.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata kerajaan negeri mesti bertanggungjawab dalam perkara itu dan tidak hanya menyerahkannya kepada kerajaan persekutuan bagi mengekang masalah daripada terus berleluasa.

"Kita (kerajaan persekutuan) dah melakukan banyak program kesedaran dan bermacam-macam pendekatan yang kita buat, tetapi kerajaan negeri mesti dilihat biar jelas dalam tindakan mereka dan bukan sekadar retorik atau bercakap sahaja," katanya.

Sumber: Bernama | 2 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan