Pemain Kelantan, Mohamad Ghaddar cuba melepasi benteng pertahanan T-Team FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV , Kota Bharu di sini hari ini. |
KOTA BHARU: Kelantan akhirnya menamatkan badi kekalahan digelanggang sendiri musim ini apabila menumpaskan T-Team 4-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Dalam perlawanan itu, Kelantan tidak menunggu lama untuk memecahkan kebuntuan jaringan menerusi Mohamed Ghaddar pada minit keenam selepas tenang menolak masuk hantaran Fakrul Zaman Abdullah Zawawi.
Tersentak dengan jaringan awal tuan rumah, pelawat cuba bangkit untuk merapatakan jurang jaringan namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah menyaksikan keputusan itu kekal hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, T-Team berjaya merapatkan jurang jaringan pada minit ke-46 menerusi rembatan kencang Mohd. Nor Hakim Hassan dalam kotak penalti yang melepasi jangkauan Mohd. Ramdhan Abd. Hamid di pintu gol Kelantan.
Jaringan itu telah menyuntik semangat juang T-Team yang selepas itu sibuk melancarkan serangan bertali-arus menyebabkan Mohd. Ramdhan terpaksa bertungkus-lumus menyelamatkan keadaan.
Ghaddar terus menjadi duri dalam daging buat T-Team apabila menanduk masuk gol kedua Kelantan pada minit ke-68, selepas menerima hantaran Indra Putra Mahayuddin.
Pemain gantian, Khairul Izuan Rosli menggamatkan suasana di Stadium Sultan Muhammad IV apabila meledakan jaringan ketiga tuan rumah pada minit ke-75.
Ghaddar terus mempamerkan ketajaman penyudah dengan melengkapkan hatrik pada minit ke-83, bagaimapun Farhod Tadjiev menghukum kealpaan benteng pertahanan Kelantan dengan meledak gol kedua T-Team minit ke-90.
Sumber: Utusan Online | Sukan Bola Sepak | 4 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan