Affendey Yaacob menunjukkan gambar seorang lelaki berkopiah merosakkan pokok hiasan di luar premis perniagaanya di Jalan Bayam, Kampung Bayam, Kota Bharu, Kelantan semalam. |
KOTA BHARU: Siapa sangka seorang lelaki berkopiah putih dengan imej warak tergamak melakukan perbuatan khianat merosakkan pokok hiasan sebuah restoran di Jalan Bayam, di sini semalam.
Kejadian pada pukul 4.46 pagi itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar restoran berkenaan yang menjual makanan Barat, Korea dan Vietnam.
Pemilik restoran, Affendey Yaacob, 27, berkata, kejadian tersebut disedari kira-kira pukul 3 petang hari sama ketika dia dan pekerja mahu membuka premis berkenaan yang beroperasi sejak sebulan lalu.
“Pada mulanya saya menyangka ini perbuatan budak-budak nakal melakukan vandalisme terhadap kedai, namun melalui rakaman CCTV saya terkejut apabila perbuatan itu dilakukan oleh lelaki berkopiah.
“Suspek menaiki motosikal jenis Modenas membaling sebatang kayu sepanjang semeter ke arah pintu sebelum mengambil semula kayu itu dan memukul pokok hiasan di hadapan kedai sehingga rosak,” katanya.
Menurut Affendy, itu merupakan kejadian kali kedua restoran miliknya menjadi mangsa khianat individu tidak dikenali.
“Sebelum ini saya terjumpa sebuah kotak berisi bangkai ayam masih berbulu di bahagian belakang kedai. Kejadian itu berlaku selepas empat hari saya membuka restoran ini.
“Saya tidak bermusuhan dengan sesiapa. Saya cuma mahu mencari rezeki halal,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Setapa Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan pihaknya sedang mengesan suspek berkenaan.
Rakaman CCTV memaparkan gelagat lelaki berkopiah tersebut kini menjadi tular selepas dimuat naik ke laman Facebook milik Affendey hari ini.
Sumber: Utusan Malaysia | Jenayah | 4 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan