Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 30 September 2013

Penumpang buka pintu kecemasan pesawat kerana kepanasan

JAKARTA: Seorang penumpang pesawat milik syarikat penerbangan Lion Air bertindak membuka pintu kecemasan pesawat itu ketika ia sedang bersedia untuk berlepas di landasan sebuah lapangan terbang di Manado, Sulawesi Utara pada Isnin, dengan alasan penyaman udara tidak dingin.

Kejadian berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi ketika pesawat berkenaan sedang bersiap sedia untuk berlepas bagi perjalanan Manado - Jakarta pagi ini.

Perbuatan penumpang itu menyebabkan juruterbang mengembalikan pesawat ke tempat letak pesawatnya, serta menurunkan semua penumpang, lapor portal berita kompas.com pada Isnin. 

Penumpang berkenaan dilapor bertindak membuka pintu kecemasan kerana bantahan para penumpang mengenai keadaan panas dalam kabin pesawat yang telah mereka dilaporkan kepada pramugari dan juruterbang, tidak ditangani.

Waktu berlepas penerbangan itu yang tertunda selama hampir sejam menyebabkan para penumpang tidak tahan berada dalam kabin pesawat itu, dan mereka memohon supaya diturunkan daripada pesawat itu.

"Kira-kira 30 minit kami histeria dengan suasana itu. Bukannya melayani bantahan kami, juruterbang malah menggerakkan pesawat ke kedudukan take-off (kedudukan bersedia untuk berlepas)," seorang penumpang dilaporkan berkata.

Ketika itulah seorang daripada penumpang bertindak membuka pintu kecemasan pesawat. Sehingga pukul 1 petang ini, semua penumpang masih berada di lapangan terbang itu dan mereka tidak dimaklumkan sama ada akan mendapat pesawat ganti atau tidak, lapor portal berita itu.

Sumber: BERNAMA | 30 Sept. 2013 |

UMK buka klinik veterinar termoden di Pantai Timur bernilai RM7 juta

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melakar sejarah selepas berjaya membuka klinik veterinar termoden di Pantai Timur bernilai hampir RM7 juta.

Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, penubuhan klinik yang dilengkapi fasiliti terkini itu bertujuan memberi perkhidmatan kesihatan dan rawatan haiwan terbaik khususnya kepada penduduk negeri ini selain negeri jiran seperti Pahang dan Terengganu.

Raduan berkata, selain menjadi pusat rujukan yang ditunjangi barisan pakar perunding veterinar daripada tenaga akademik UMK, klinik itu juga berfungsi memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran siswa Fakulti Perubatan Veterinar (FBV) universiti itu sebagaimana syarat ditetapkan Majlis Veterinar Malaysia (MVC).

"Klinik pengajaran adalah komponen penting bagi sesebuah fakulti veterinar kerana selain menangani kes-kes perubatan, kewujudannya perlu untuk program latihan praktikal pelajar.

"Namun, berbeza dengan klinik veterinar biasa, kami membuka akses untuk masyarakat kepada kepakaran 17 tenaga akademik FPV UMK yang sentiasa bersedia jika timbul kes-kes yang memerlukan rujukan mereka selain dua orang pegawai perubatan veterinar yang bertugas sepenuh masa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Veterinar UMK di Jalan Padang Tembak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pendaftar UMK, Prof. Dr. Razli Che Razak; Dekan FPV UMK, Prof. Dr. Mohd Azam Khan Goriman Khan dan Ketua Jabatan Klinik Veterinar UMK, Prof. Datin Dr. Kalthum Hashim.

Menurut Raduan, klinik yang mula beroperasi sejak awal Julai lalu itu dibuka dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari bekerja dan menawarkan rawatan kepada pelbagai spesies haiwan termasuk haiwan kesayangan, haiwan besar, ternakan serta haiwan eksotik.

Katanya, klinik itu dilengkapi peralatan canggih bernilai RM4.08 juta termasuk bilik bedah yang mampu mengendalikan prosedur kecil dan besar serta perkhidmatan pengimejan diagnostik bagi pemeriksaan radiologi seperti sinar-X, ultrabunyi, ekokardiogram dan endoskopi.

"Setakat ini walaupun belum mempunyai ambulans sendiri kami sudah memulakan perkhidmatan klinik bergerak menggunakan kenderaan yang disewa khas selepas terdapat permintaan merawat haiwan di ladang. "Kami kini dalam perancangan membuka sebuah lagi klinik veterinar di Kampus Bachok khusus untuk haiwan ternakan," katanya.

Tambah Raduan, FPV UMK kini mempunyai kira-kira 200 penuntut yang mana 37 daripadanya adalah mahasiswa tahun lima yang bakal menjadi graduan sulung FPV UMK tahun hadapan.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 29 Sept. 2013 |

Orang kampung sasaran sindiket gores dan menang di Kelantan

KOTA BHARU: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan mengesan taktik terbaharu sindiket gores dan menang yang kini bergerak secara berkumpulan ke kawasan kampung untuk memperdaya mangsa.

Timbalan Pengarah PPDNKK negeri, Ab. Ghani Harun (gambar) berkata, taktik itu dikesan selepas mendapat maklumat daripada orang ramai serta hasil pemantauan pihaknya mengenai kegiatan tersebut. 

"Setakat ini, kedai yang terlibat dengan kegiatan ini terutamanya di kawasan bandar ditutup sepenuhnya menyebabkan mereka menukar taktik bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

"Kini mereka bergerak ke kawasan kampung secara berkumpulan untuk mendekati penduduk dengan menawarkan pelbagai pakej hadiah," katanya di sini semalam. Ab. Ghani memberitahu, setakat ini sebanyak lapan kes dilaporkan kepada pihaknya berhubung kegiatan itu melibatkan nilai rampasan hampir RM251,000.

Daripada kes tersebut, tambahnya, empat kes disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 manakala empat kes lagi di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. Beliau berkata, bentuk penipuan yang dibuat golongan yang tidak bertanggungjawab itu adalah memerangkap pengguna dengan nilai harga yang cukup tinggi.

"Modus operandi yang digunakan tetap sama dengan menipu orang ramai melalui tawaran pelbagai hadiah lumayan menggunakan beberapa kad atau sampul sebagai umpan. "Pegawai PPDNKK akan sentiasa mengawasi kes penipuan ini dan kami akan turun ke kawasan kampung bagi menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pengguna lebih peka dengan poster dan risalah yang diedar sindiket berkenaan berhubung kegiatan penipuan tersebut. Dalam masa sama, beliau menyarankan masyarakat bertegas dan tidak mudah terpedaya dengan hadiah lumayan yang ditawarkan sindiket berkenaan.

"Orang ramai yang menghadapi masalah ini boleh terus berhubung dengan PDNKK supaya kami dapat membanteras individu yang terlibat untuk mengaut keuntungan dengan cara mudah," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 29 Sept. 2013 |

Ahad, 29 September 2013

Lagi bumbung runtuh di Terengganu

Siling dan bumbung Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal di Kuala Terengganu runtuh dalam kejadian yang berlaku sekitar 4 pagi Ahad. Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Satu lagi bumbung di Terengganu runtuh, kali ini di sebuah masjid di Kampung Tebauk, Bukit Tunggal. Bilal masjid, Mat Man, yang datang untuk membuka masjid pada jam 5 pagi Ahad terkejut apabila mendapati siling ruang legar masjid runtuh.
"Saya tiba di masjid, membuka pintu dan lampu, kerana orang akan datang tidak lama lagi untuk solat Subuh. Saya tidak mengesyaki apa-apa. "Hanya bila saya masuk ke ruang legar saya nampak ada runtuhan. Saya melihat ke atas dan sedar siling dah runtuh," kata Mat, 61, yang tinggal berdekatan.
Mat berkata, siling masih bertahan malam sebelum itu dan dia mengesyaki bumbung runtuh pada awal pagi. Tiada kecederaan dilaporkan. Jabatan Kerja Raya ketika dihubungi berkata, ia akan menyiasat perkara itu terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.
Masjid tersebut siap dibina pada tahun 2010 dan hanya dibuka untuk digunakan dua tahun lalu. Kejadian runtuhan itu sama dengan satu di masjid Kampung Binjai Kertas, di mana siling pintu masuk runtuh pada Mei lalu.
Pada Oktober 2009, bumbung pintu masuk sebuah masjid di Kampung Batu Putih di Kertih, Kemaman runtuh dan mencederakan tiga pekerja Indonesia. Kejadian berlaku hanya beberapa bulan selepas bumbung stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bernilai RM300 juta runtuh.
Sumber: mStar Online | 29 Sept. 2013 |

Sabtu, 28 September 2013

Insiden isteri Mat Yo, penjelasan Azman


SUBANG JAYA: Nama Azman Mohd Nayan (gambar) tiba-tiba menjadi popular sejurus tersebarnya insiden pertengkaran antara beliau dengan isteri Norshahrul Idlan Talaha di laman sosial dan Youtube sejak Selasa lalu.


Azman, 49, seorang pengawal keselamatan di Terminal Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) menjadi individu terbaharu yang menjadi topik perbualan di laman sosial ekoran rakaman itu. 

Dalam rakaman video selama 54 saat itu, Siti Aisya Adam iaitu isteri Nor Shahrul dirakam sedang berperang mulut dengan Azman. 

Rakaman itu turut menampakkan wajah Nor Shahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, yang dilihat menyaksikan pertengkaran itu. Ketika ditemui Harakahdaily hari ini, Azman berkata beliau hanya menjalankan tugas sebagai seorang pengawal dan tiada niat langsung untuk berbalah dengan sesiapa.

"Ikut pada masa berlaku itu memang rasa nak hilang sabar, tapi fikir sebab saya menjalankan tugas, maka saya buat yang terbaik, saya cakap baik-baik," katanya. Mengimbas kembali insiden itu, Azman berkata beliau paling sedih apabila dikatakan beliau akan disaman oleh pihak terbabit.

"Bila saya kena macam itu dan kata nak saman saya, saya sedih dan termenung, saya bukan orang senang, nak bayar dengan apa," katanya. Menurut Azman yang berkerja di sini baru 10 bulan, beliau hanya mengetahui video tersebut selepas diberitahu oleh anaknya.

Tidak lama selepas itu katanya, ramai yang datang menyatakan simpati dan memberikan semangat kepadanya. Ia termasuk tawaran guaman percuma dari peguam-peguam yang bersimpati terhadapnya.

"Saya terharu dan sedih, ramai yang menyokong tindakan saya malah pihak majikan sentiasa bersama saya dalam hal ini," ujarnya. Tambahnya, selain itu ada juga yang datang ke lapangan terbang tersebut mencarinya semata-mata untuk bergambar kenangan.

"Kepada orang di luar, kita kena kerjasama, jangan pandang hina kami yang bekerja seperti ini. "Jangan menjatuhkan martabat kami, kami menjalan tugas untuk kesenangan semua, hormatilah kami sebagai pengawal," tegasnya.

Sumber: Harakah Daily | 27 Sept. 2013 |

Negeri pengeluar petroleum ramai rakyat miskin


KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan mewujudkan mekanisme bagi menentukan keberkesanan peruntukan yang dibelanjakan kepada rakyat.


Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah (PAS-Kuala Terengganu) berkata, kerajaan harus memberikan perhatian kepada peningkatan taraf hidup rakyat di luar bandar dengan bantuan yang diberikan.



"Sepatutnya laporan bajet diukur mengikut jumlah peruntukan dan juga jumlah yang dibelanjakan iaitu laporan mesti mengukur keberkesanan untuk mengurangkan dan menghapuskan kemiskinan.



"Oleh itu perlu satu mekanisme diwujudkan supaya menyentuh bagaimana berkesannya peruntukan yang telah dibelanjakan dan bukan hanya melibatkan statistik iaitu berapa ribu kilometer jalan yang telah dibina tetapi berapa berkesankan jalan telah dibina itu untuk manaikkan taraf hidup kemiskinan di kawasan luar bandar," kata beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.



Beliau juga berkata, Majlis Penasihat Petroleum Negara perlu dihidupkan semula seperti dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974. Hal ini kerana katanya, negeri-negeri pengeluar utama petroleum seperti Terengganu, Sabah, dan Sarawak masih menunjukkan kadar kemiskinan tertinggi.



"Dari segi pengeluaran kekayaan hasil bumi iaitu negeri pengeluar minyak dan gas terutama Terenganu, Sabah, dan Sarawak walaupun selepas 35 tahun menerima royalti tetapi masih di antara negeri yang mempunyai rakyat termiskin selepas 35 tahun diberi royalti.



"Di sinilah perlu diukur sampaikah matlamat atau sumber pendapatan daripada peruntukan kepada rakyat yang dihajatkan. "Mungkin satu cara dengan mewujudkan majlis penasihat petroleum seperti yang diperuntukkan dalam Akta Petroleum 1974 supaya negeri ini dapat berbincang dengan Kerajaan Pusat untuk menaikkan taraf hidup rakyat," katanya.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasin dalam jawapannya berkata, soal keberkesanan bantuan yang diberikan kerajaan kepada rakyat harus dibuat kajian. "Antara kesannya kesan langsung dan tidak langsung. Kesan langsungnya ialah orang menghargai program yang dibuat kerajaan BN tapi secara tak langsung pihak pembangkang di kawasan yang kita bantu dapat keuntungan.



"Banyak di kalangan orang miskin lebih mudah menyokong pembangkang sebab pembangkang ni pandai. Dia datang hari akhir (kempen), BN datang awal," katanya. Beliau juga mendakwa, terdapat rakyat miskin yang juga 'miskin minda' kerana tidak bersyukur dengan bantuan yang diberikan kerajaan.



"Kalau orang miskin mempunyai minda yang kuat dan diajar bersyukur sudah pasti dia menyokong BN," katanya. Raja Kamarul dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan Malaysia mempunyai mekanisme untuk mengukur keberkesanan bajet-bajet tahunan setiap tahun untuk menaikkan taraf hidup serta menghapuskan kemiskinan di negeri-negeri termiskin tertentu di Malaysia.



Sumber: Harakah Daily | 26 Sept. 2013 |

Kelantan garap teknologi mikrob Thailand

Zamakhshari (kanan) membuat pertukaran memorandum dengan syarikat pertanian dari Thailand yang turut disaksikan Ahmad (dua dari kiri).
KOTA BHARU: Kelantan mengambil inisiatif mengembangkan pembangunan dalam pertanian dengan menggarap teknologi mikrob melalui usaha sama syarikat pertanian dari Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi berkata, satu pertukaran memorandum persefahaman (MoU) diadakan di antara Kelantan Biotech Corporation (KBCSB) Sdn Bhd dengan Poothon Agricultural Industrial Co. Ltd (Thailand).

“Pertukaran MoU ini memfokuskan kepada pemindahan teknologi mikrob, khususnya bagi tujuan pertanian di negeri ini. “Kerjasama ini dalam jangka masa panjang kerana ia merupakan koloborasi ke arah penubuhan Pusat Latihan dan Penyelidikan Bioteknologi untuk pertanian tanah tinggi Lojing,” katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari

Peladang, Penternak dan Nelayan di Dewan Jubli Perak, di sini. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob. Pengurus Besar KBCSB, Zamakhshari Muhamad berkata, usaha sama projek tersebut akan dilaksanakan di atas tanah seliaan KBCSB seluas empat hektar.

“Kerjasama ini mahukan pembinaan sebuah makmal bioteknologi dan pejabat di atas tanah KBCSB dan penyediaan serta pelaksanaan plot penamaan contoh sebagai uji kaji serta penyelidikan ke atas keberkesanan produk yang dihasilkan.

“Selain itu, ia mencakupi proses pemindahan teknologi, penyelidikan dan pengkomersilan ‘Microbial Fermentation Tekchnology’ bagi menghasilkan produk penjagaan tanaman seperti baja organik dan bio kawalan,” katanya. Katanya, latihan dan kemahiran penghasilan produk berasaskan teknologi mikrob dan aplikasi pertanian organik kepada pegawai KBCSB.

Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di Dewan Jubli Perak diadakan selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad ini yang menawarkan pelbagai produk melibatkan 35 gerai dari jabatan dan agensi kerajaan, selain 61 gerai dari pihak swasta.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Sept. 2013 |

Skypark cadang beri penghargaan kepada pengawal keselamatan

Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Shah Alam, Selangor.
KUALA LUMPUR: Pengendali Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang SkyPark Sdn. Bhd. (Skypark) merancang untuk memberi penghargaan kepada pengawal keselamatan, Azman Md. Nayan kerana telah menjalankan tugas dengan profesional.

Naib Presiden Kanannya, Francis Anthony berkata, selain penghargaan, Skypark juga akan mempertahan Azman daripada sebarang tindakan memandangkan beliau menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) walaupun dimaki dan dikasari oleh pelanggan.

"Ekoran kejadian itu, saya sendiri telah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati Azman memang tidak bersalah , sebaliknya bertindak profesional.

"Pengurusan akan mengadakan mesyuarat pada Isnin nanti bagi membincangkan bentuk penghargaan serta imbuhan yang difikirkan sesuai," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kisah Azman menjadi sensasi setelah rakaman video berdurasi 54 saat memaparkan dia dicerca oleh seorang wanita dipercayai isteri pemain bola sepak Johor Darul Takzim Nor Shahrul Idlan Talaha atau Mat Yo di Terminal Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) tersebar luar dalam media sosial baru-baru ini.

Dalam kejadian itu Azman mendakwa wanita itu turut menendangnya. Kejadian itu dipercayai berpunca apabila pengawal keselamatan berkenaan meminta pasangan tersebut mengalihkan kenderaan yang dinaiki mereka kerana berada di kawasan yang tidak dibenarkan.

Malah, Azman telah mendapat simpati daripada semua pihak yang menyatakan sokongan kepada beliau sama ada dengan bertemu dengannya ataupun di laman media sosial. Sementara itu, Pengurus Cawangan Valiant Force Sdn. Bhd., Mukhveer Singh Gill pula memberitahu, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Siti Aisya.

Tegas beliau, pihak pengurusan syarikat sentiasa prihatin terhadap kebajikan kakitangan termasuk Azman yang dikasari semasa bertugas. "Kita ada saksi serta rakaman CCTV yang boleh dijadikan bukti supaya tindakan undang-undang boleh diambil.

"Keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang akan diputuskan pada Isnin nanti," katanya. Mengulas tentang permohonan maaf yang dibuat Siti Aisya dalam sebuah akhbar tempatan, Mukhveer Singh berpendapat permohonan itu sepatutnya dilakukan dengan berjumpa dengan Azman dan bukannya secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

Sumber: Utusan Malaysia | Dalam Negeri | 27 Sept. 2013 |

Jumaat, 27 September 2013

Kerajaan Persekutuan sedia peruntukan RM243,000 bagi program baiki rumah

GUA MUSANG: Sebanyak RM243,000 disediakan Kerajaan Persekutuan bagi membaiki 81 rumah warga miskin sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sepanjang tahun ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas Ab Aziz Yusof berkata setiap rakyat miskin terlibat memperoleh RM3,000 untuk membaiki rumah masing-masing bergantung kepada keadaan rumah mereka.

"Kerja membaiki rumah itu akan diserah kepada kontraktor kecil supaya ia dapat diselaraskan dengan peruntukan yang disediakan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Cek Bantuan Baiki Rumah di Pejabat Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) Cawangan Gua Musang, di sini Jumaat.

Sumber: BERNAMA | 27 Sept. 2013 |

Kelantan meterai MoU dengan Thailand untuk kerjasama dalam bidang pertanian

KOTA BHARU: Kelantan memperluaskan pembangunan dalam bidang pertanian dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat pertanian dari Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi berkata kerjasama itu melibatkan Kelantan Biotech Corporation (KBCSB) Sdn Bhd dengan Poothon Agriculture Industrial Co Ltd (Thailand).

"Kerjasama itu lebih menumpukan kepada pemindahan teknologi mikrob khususnya bagi meningkatkan penghasilan dalam sektor pertanian di negeri ini.

"MoU ini dijangka berlaku dalam tempoh masa yang panjang kerana ia merupakan koloborasi ke arah penubuhan Pusat Latihan dan Penyelidikan Bioteknologi untuk tujuan pertanian di Tanah Tinggi Lojing," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2013 di sini, Jumaat.

Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. Che Abdullah berkata sambutan empat hari bermula 26 Sept itu menawarkan pelbagai produk pertanian kepada pengunjung.

"Sebanyak 96 gerai terlibat dalam sambutan ini yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan serta pihak swasta bagi mempamerkan produk mahupun penemuan mereka semasa membuat penyelidikan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar KBCSB, Zamakhshari Muhamad berkata jalinan kerjasama tersebut dilaksanakan melalui pembinaan sebuah makmal bioteknologi bagi membuat ujikaji serta penyelidikan ke atas keberkesanan produk yang dihasilkan. "Ia akan dilaksanakan di atas tanah seliaan KBCSB seluas empat hektar," katanya. 

Beliau berkata kerjasama tersebut turut melibatkan proses pemindahan teknologi, penyelidikan dan pengkomersilan teknologi fermentasi mikrob bagi menghasilkan produk penjagaan tanaman seperti baja organik dan bio kawalan.

Katanya, latihan dan kemahiran penghasilan produk berasaskan teknologi mikrob serta aplikasi pertanian organik turut diberikan kepada pegawai KBCSB.

Sumber: BERNAMA | 27 Sept. 2013 |

Terengganu rancang pengangkutan udara ke Pulau Redang

Lapangan Terbang Pulau Redang, Terengganu
SETIU: Kerajaan Terengganu merancang mengadakan perkhidmatan penerbangan dari tanah besar ke Pulau Redang bagi memenuhi permintaan pelancong.

Exco Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Mohd Jidin Shafee berkata kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan perkhidmatan pesawat ringan yang akan berlepas sama ada dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Lapangan Terbang Kerteh atau Lapangan Terbang Gong Kedak (Kelantan).

"Setelah siap lapangan terbang kecil di Pulau Redang, kita harap dapat menyediakan pengangkutan udara melalui pesawat ringan termasuk menggunakan helikopter ke pulau itu. Ini kerana kita lihat tarikan pelancong terutama dari China sangat menggalakkan.

"Pelancong China tidak gemar menaiki bot atau feri untuk ke Pulau Redang kerana mengambil masa yang lama selain risiko keselamatan," katanya selepas menyampaikan Insentif Perkahwinan Ibu dan Bapa Tunggal bagi kawasan Parlimen Setiu, di sini Khamis.

Menurut Mohd Jidin, berdasarkan tempahan penginapan, kira-kira 40,000 pelancong China mahu ke pulau itu namun yang benar-benar datang hanya 4,000 kerana mereka tidak mahu menghabiskan masa yang lama di laut. Selain itu katanya, Pulau Redang juga mula menerima kehadiran pelawat dari India.

Mengulas perkara berkaitan, beliau berkata sasaran empat juta pelancong ke Terengganu tahun ini dijangka dapat dicapai kerana setakat ini lebih tiga juta sudah mengunjungi negeri itu.

Sekalipun Terengganu menghampiri musim tengkujuh, kita masih ada beberapa acara yang diyakini dapat menarik pelancong antaranya pertunjukan gamelan antarabangsa, pertandingan bot berhias dan pelancongan sukan, katanya.

Sumber: BERNAMA | 26 Sept: 2013 |

Khamis, 26 September 2013

Tujuh kes pembunuhan membabitkan senjata api di Kelantan dianggap selesai

KOTA BHARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menganggap tujuh kes pembunuhan yang membabitkan penggunaan senjata api yang berlaku di Kelantan tahun ini selesai apabila kesemua suspek yang terbabit telah dikenal pasti.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata suspek yang sudah dikenal pasti itu kini masih diburu berikutan ada antaranya melarikan diri ke negara jiran selepas melakukan jenayah terbabit. "Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) ada tanya kenapa tak menggunakan mekanisme Interpol. Ini memakan masa kerana proses, prosedur dan undang-undang Interpol memakan masa yang panjang.

"Tapi pokoknya kita mengetahui kes ini dan dalam istilah lain ia telah selesai kerana kita tahu siapa orangnya, bagaimana ia berlaku, ada saksi... sudah mencukupi," katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata hasil siasatan mendapati antara motif utama beberapa siri kejadian tembakan tersebut disebabkan perniagaan dan balas dendam serta suspek yang terlibat juga dikenali oleh mangsa.

Mengenai kawalan sempadan Malaysia - Thailand yang bakal diambil alih oleh Polis Diraja Malaysia daripada Angkatan Tentera Malaysia, beliau berkata proses peralihan tugas itu mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan.

"Proses peralihan tugas ini bukan semudah yang kita fikirkan. Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) dan KDN akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertahanan. "Perbincangan ini akan dilaksanakan kerana pengumuman telah dibuat. Maknanya ada persetujuan daripada pihak atasan," katanya.
 
Sumber: BERNAMA | 20 Ogos 2013 |

Hot Burger Malaysia memulakan operasi di Kelantan Disember ini

KOTA BHARU: Usahawan wanita tidak dipinggirkan oleh Hot Burger Malaysia untuk memasarkan produk mereka di negeri ini, bagi membantu golongan berkenaan menjana pendapatan lumayan.

Pengurusnya Wan Hafizol Wan Omar berkata untuk itu 10 daripada 25 gerainya akan dikhususkan kepada usahawan wanita.

"Ini merupakan projek pertama yang melibatkan wanita dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Kelantan bagi membantu mereka melibatkan diri dalam perniagaan.

Mereka terdiri daripada peserta Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT) dan Inkubator Keusahawanan Wanita (I-keuNITA)," katanya kepada pemberita selepas Program Usahanita Hot Burger di Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Kelantan di sini, Selasa.

Beliau berkata melalui kerjasama ini peserta akan menghadiri kursus selama seminggu bagi memberi pendedahan mengenai penghasilan produk itu. "Selepas kursus itu, peserta akan diberi modal dan peralatan menjual, termasuk gerai jualan," katanya.

Beliau berkata antara lokasi dipilih ialah Kota Bharu, Kubang Kerian, Kok Lanas dan Ketereh, yang dijangka memulakan operasi Disember ini. "Gerai peserta berkenaan akan dipantau selama tiga bulan bagi memastikan kualiti produk terjamin," katanya.

Wan Hafizol berkata setakat ini 40 gerai dibuka di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak dua tahun penubuhan Hot Burger Malaysia. "Selepas ini kami akan dapatkan usahawan dari negeri lain seperti Johor untuk menjalankan perniagaan ini," katanya.

Sumber: BERNAMA | 24 Sept. 2013 |

Selasa, 24 September 2013

Perairan berhampiran Johor dan Melaka sarang lanun terkemuka dunia

PETALING JAYA: Perairan Somalia pernah menjadi laluan laut yang paling berbahaya di dunia. Namun gelaran itu kini berpindah ke lokasi yang lebih dekat apabila perairan berhampiran Johor dan Melaka kini melepasi Somalia sebagai sarang lanun terkemuka, demikian menurut Biro Maritim Antarabangsa.

Laporan itu menyebut peningkatan aktiviti pelanunan di Indonesia iaitu Tanjung Priok, Dumai, Belawan, Taboneo dan Muara Jawa - kini ditandakan sebagai kawasan panas.

Walaupun Selat Melaka masih selamat untuk laluan perkapalan antarabangsa, badan itu bagaimanapun memberi amaran kepada pelaut untuk mengambil langkah berjaga-jaga apabila berulang-alik antara Malaysia, Indonesia, dan Singapura.

Kebimbangan utama adalah peningkatan jumlah serangan di perairan Indonesia, iaitu perjalanan yang memakan masa antara 45 minit dan dua jam perjalanan melalui laut dari Melaka dan Johor.

Dengan jumlah pulau kecil yang banyak dan muara sungai yang diliputi hutan bakau, kawasan pantai Indonesia adalah sesuai untuk lanun menyembunyikan dan mengelak daripada tangkap. Kumpulan lanun yang beroperasi di perairan Indonesia menggunakan senjata api, pisau dan parang.

Daripada 138 insiden lanun dicatatkan di seluruh dunia dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, 48 adalah di Indonesia, lapor IMB. Walaupun sindiket pelanunan global mencatatkan penurunan dengan ketara, iaitu turun daripada 439 kes pada tahun 2011, trend di Indonesia bagaimanapun menunjukkan peningkatan.

Menurut IMB, kes rompakan di Selat Melaka dilaporkan menurun berikutan rondaan agresif oleh negara-negara pesisir. Ketua Unit Laporan IMB, Noel Choong berkata penguatkuasaan pemantauan aktiviti laut di Indonesia oleh agensi penguatkuasaan berjaya menghalang kes berkenaan daripada merebak.

Beliau berkata pihaknya memaklumkan kepada agensi yang bertanggungjawab di Indonesia supaya mengambil tindakan agar krisis ini tidak merebak. "Walaupun kes yang dilaporkan adalah kecurian kecil, namun ia membahayakan pelaut, " katanya.

Sumber: mStar Online | 24 Sept. 2013 |

Menteri tidak jawab adakah filem Tanda Putera kisah benar

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Program Penerbitan Filem Kenegaraan dan Warisan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk pembikinan filem Tanda Putera.

Jumlah tersebut diberikan dalam bentuk peruntukan tunai manakala RM700,000 lagi diperuntukkan dalam bentuk penggunaan produksi.

Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) pula memperuntukkan sebanyak RM2 juta melalui geran pembangunan kandungan (BCi2) untuk pembikinan filem yang ditayangkan bermula 29 Ogos lalu itu.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata hasil kutipan tayangan filem tersebut akan disalurkan semula ke dalam dana program bagi membangun dan memberi peluang kepada lebih banyak filem kenegaraan seperti Tanda Putera dihasilkan.

Bagaimanapun, selepas seminggu ditayangkan, filem penuh kontroversi itu gagal mencapai sasaran pecah panggung menyebabkan ia terpaksa dipindahkan ke pawagam lebih kecil. Seminggu tayangan, Tanda Putera hanya berjaya mengutip RM500,000 daripada penjualan tiket di 70 pawagam seluruh negara dari hari bermula tayangan.

Pengerusi Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Mustapha Maarof menyifatkan perkara tersebut sebagai sangat memalukan dan menyedihkan. Kutipan 'box office' Tanda Putera disifatkan sangat menyedihkan jika dibandingkan dengan filem KL Zombie yang mendapat kutipan RM3 juta bagi tempoh sama.

Lim dalam soalannya meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan sama ada filem Tanda Putera tersebut berdasarkan kisah benar punca peristiwa berdarah 13 Mei, dan sekiranya tidak, beliau ingin tahu sebab agansi-agensi kerajaan terlibat dan duit rakyat RM4.8 juta digunakan dalam penerbitan ini.

Menteri dalam jawapannya bagaimanapun tidak menjawab sama ada Tanda Putera berdasarkan kisah benar punca peristiwa berdarah 13 Mei atau tidak.

Beliau sebaliknya hanya memberitahu bahawa Tanda Putera adalah filem kenegaraan yang mengangkat kisah persahabatan dan pengorbanan dua negarawan iatu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

"Ia digarap dengan menarik serta mengupas dengan jelas kemelut yang terpaksa diharungi kedua tokoh negarawan ini dalam menangani cabaran peristiwa 13 Mei," kata Ahmad Shabery.

Sumber: Harakah Daily | 23 Sept. 2013 |

Malindo Air terima dua pesawat baharu

Pesawat ATR72-600 yang digunakan Malindo Air
SEPANG: Syarikat penerbangan hibrid, Malindo Air menerima dua pesawat baharu Boeing 737-900ER, sekali gus melengkapkan sembilan pesawat termasuk tiga pesawat ATR 72-600. Pesawat baharu itu tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dari kilang di Seattle, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata, pesawat baru itu adalah sebahagian daripada strategi pertumbuhan syarikatnya untuk mengendalikan jenama baru pesawat sehingga 2015 seiring dengan arus permintaan pasaran penerbangan.


"Penerimaan pesawat baharu ini adalah satu peristiwa penting untuk kami. Kami telah menyaksikan pertumbuhan beransur-ansur dalam industri penerbangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini didorong oleh peningkatan berterusan dari segi keyakinan dan perbelanjaan pengguna.


"Pada 2012, pertumbuhan trafik penumpang di Malaysia adalah lima peratus. Manakala, pertumbuhan trafik 2013 dijangka meningkat 10 peratus," katanya.


Menurutnya, Malindo Air yakin penerimaan pesawat moden ini akan membantu memenuhi rancangan pertumbuhan syarikat. Sehingga kini, syarikat itu menerima enam Boeing 737 - 900ERs sejak pelancaran rasmi pada 22 Mac 2013.


Katanya, setiap pesawat akan melalui kajian oleh pasukan Malindo Air dan pengeluar, yang mana proses meliputi penyesuaian pesawat, tinjauan standard dan pemeriksaan kualiti yang ketat pada bahagian-bahagian pesawat dan komponen, yang akan disahkan oleh Malindo Air, Pemeriksa Jabatan Penerbangan Awam Malaysia dan pengeluar.

Sumber: Sinar Harian | Bisnes | 24 Sept. 2013 |

Lebih RM100,000 cukai bandar dikutip oleh MPKB-BRI

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) berjaya mengutip sebanyak RM108,207 tunggakan cukai bandar dalam operasi di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Fauzi Mat berkata, jumlah tersebut hasil operasi yang dijalankan ke atas 97 premis bermula 4 September lalu sehingga semalam. Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 28 pemilik premis telah menjelaskan tunggakan cukai bandar semasa operasi berkenaan dijalankan.

"Sebanyak lapan buah premis telah disita, manakala 24 lagi telah dibayar oleh penyewa melalui perjanjian potong sewa iaitu sewa bulanan dipotong kepada MPKB-BRI sebanyak mana amaun tunggakan.

"Selebihnya, dikeluarkan Tali Kuning kerana pemilik atau penyewa tiada di rumah semasa operasi dan hampir 50 peratus telah datang ke pejabat untuk buat bayaran," katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.
 
Fauzi memberitahu, operasi itu dijalankan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk tampil menunaikan kewajipan membayar cukai bandar.

"Dengan cara ini juga kita dapat menggalakkan mereka yang masih mempunyai tunggakan cukai bandar supaya segera membuat pembayaran sebelum tindakan tegas diambil," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan cukai bandar dan cara pembayarannya, boleh terus menghubungi bahagian cukai bandar MPKB-BRI menerusi talian 09-7402121.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 23 Sept. 2013 |

Isnin, 23 September 2013

Limbungan kapal akan dibina di Pelabuhan Tok Bali tahun depan

Rusli Zaman
KUALA LUMPUR: Dubaiz International Shipping Sdn. Bhd. (Dubaiz Shipping), syarikat tempatan yang terlibat dalam pembinaan, pembaikan dan menjual kapal mahu membina limbungan kapal di Tok Bali, Kelantan bermula tahun depan.

Limbungan seluas 16 hektar dengan kos pelaburan RM130 juta itu dijangka menjadi pesaing terbesar kepada negara-negara serantau yang terlibat dalam industri limbungan komersial.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Rusli Zaman berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat dari Jepun, Japan Planning Co. Ltd. bagi membina limbungan kapal tersebut.

Katanya, pada waktu ini, terdapat dua limbungan kapal komersial di rantau Asia Tenggara iaitu Batam di Indonesia dan juga di Singapura.

"Kita mahu menjadi limbungan kapal komersial ketiga di Asia Tenggara yang mampu memberi saingan hebat kepada pengendali limbungan kapal komersial yang lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Rusli, pihaknya akan membina kapal sebesar 7,000 tan metrik sehingga 27,000 tan metrik di Tok Bali. Katanya, pihaknya akan menggunakan tenaga mahir seramai 400 hingga 700 orang untuk melaksanakan projek itu.

Ketika ditanya mengenai tempahan Dubaiz Shipping pada waktu ini, beliau berkata, pihaknya telah bersetuju untuk membuat tiga buah kapal yang dijangka siap pada Oktober 2014 dengan nilai RM31 juta.

Ketiga-tiga buah kapal itu dibuat untuk pelanggannya dari Jepun iaitu Kowa Kisen Co. Ltd."Kami sedang membina kapal kargo dan kapal pengangkut untuk syarikat Kowa Kisen yang merupakan pelanggan setia kami sejak dari dulu.

"Selain tiga buah kapal yang sedang dibina, kami juga berjaya menarik minat pelanggan untuk membina empat buah kapal berupa kapal kargo dan kapal pengangkut yang kini masih dalam peringkat rundingan," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia | 22 Sept. 2013 |

Cuti-cuti Malaysia: Jom ke Sabah bah!

SELAMAT DATANG

Bandar raya Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia Timur.
Selamat datang negeri Sabah, Malaysia! Negeri Sabah terletak di sebelah utara Pulau Borneo, iaitu pulau terbesar di Asia dan yang ketiga di dunia. Ibu negeri Sabah ialah Kota Kinabalu (KK) yang terletak di Bahagian Pantai Barat, Sabah dan dahulunya dikenali sebagai Jesselton. Ibu negeri Sabah ini telah mencapai status bandar raya pada 1 Februari 2000 dan merupakan gerbang utama utama ke Sabah dan Malaysia Timur melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar raya.

KKIA menjadi pintu masuk utama untuk ke Gunung Kinabalu, iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara. Dalam pada itu, Kota Kinabalu juga biasa menjadi tuan rumah beberapa acara sukan, pelancongan, dan persidangan antarabangsa kerana keindahan dan tarikannya yang tersendiri. Sebagai contoh dalam tempoh enam tahun lepas, Kota Kinabalu sudah dua kali menjadi tuan rumah Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan bagi merebut gelaran Mr. Malaysia, iaitu pada tahun 2007 dan 2012.


TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI SABAH

Menara Tun Mustapha di Teluk Likas
Pusat Bandar Raya Kota Kinabalu – Antara tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di pusat bandar raya Kota Kinabalu ialah Tebingan Kota Kinabalu (Kota Kinabalu Waterfront), dan Pasar Kraftangan Kota Kinabalu (juga dikenali sebagai Pasar Filipina oleh penduduk tempatan dan pelancong). Antara kompleks beli-belah moden yang boleh anda kunjungi ialah Centre Point Sabah, Wisma Merdeka, KK Plaza, Warisan Square, dan Suria Sabah.

Luar Pusat Bandar Raya Kota Kinabalu – Antara tempat-tempat menarik di luar pusat bandar raya Kota Kinabalu ialah Masjid Negeri Sabah, Muzium Sabah, Menara Tun Mustapha (dahulunya dikenali sebagai Menara Yayasan Sabah di Teluk Likas), Masjid Bandar Raya Kota Kinabalu (Teluk Likas), Pantai Tanjung Aru (berdekatan KKIA), dan Taman Tunku Abdul Rahman.

Lain-lain – Taman Kinabalu (Gunung Kinabalu), Kolam Air Panas Poring (Ranau), Pusat Santuari Orang Utan Sepilok (Sandakan), Pulau Sipadan (Semporna), Pulau Mabul (Semporna), Pulau Tiga (Kuala Penyu), Pulau Penyu dan Kundasang. Untuk informasi lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Sabah Tourism: www.sabahtourism.com


TAMAN TUNKU ABDUL RAHMAN
Peta Taman Tunku Abdul Rahman yang terdiri daripada Pulau Gaya, Pulau Manukan, Pulau Sapi, Pulau Sulug, dan Pulau Mamutik

Kunjungan ke Kota Kinabalu tidak sah jika tidak ke Taman Tunku Abdul Rahman yang hanya terletak di perairan Kota Kinabalu, Sabah. Taman negeri ini terdiri daripada lima buah pulau, iaitu Pulau Gaya, Pulau Manukan, Pulau Sapi, Pulau Sulug, dan Pulau Mamutik. Pulau Sapi merupakan antara tarikan utama di taman negeri ini dan merupakan lokasi perkelahan dan snorkeling yang sungguh mempersonakan. Di Pulau Sapi juga anda akan menemui biawak bersaiz besar di kawasan kemudahan awam di pinggir hutan di pulau ini. Untuk ke sini, anda boleh menaiki bot dari Jeti Jesselton Point di pusat bandar raya Kota Kinabalu atau dari Jeti Sutera Harbour Resort. Setiap pembelian tiket merupakan tiket pergi balik dan tidak perlu risau untuk kembali semula ke bandar raya Kota Kinabalu. Untuk maklumat lanjut tentang taman negeri ini, sila layari: www.sabahparks.org.my.
 
Pulau Sapi di Taman Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu

MAKANAN LAUT

Restoran Kampung Nelayan di Taman Tun Fuad, KK
Bandar raya Kota Kinabalu semenangnya begitu sinonim dengan makanan laut seperti udang, ketam, dan sebagainya. Kebanyakan restoran terutamanya di pusat bandar raya menawarkan hidangan makanan laut terutamanya di kawasan Kampung Air, Asia City, dan Tebingan Kota Kinabalu. Makanan laut boleh dianggap tarikan utama di bandar raya ini. Hidangan makanan laut ini biasanya dihidangkan pada waktu malam dan alaminya keseronokan bercuti di bandar raya ini. Restoran Kampung Nelayan di Taman Tun Fuad, Bukit Padang, Kota Kinabalu merupakan antara tempat makan menarik di bandar raya ini pada waktu malam. Nikmati hidangan makan malam anda dengan diiringi persembahan kebudayaan Sabah oleh anak Sabah di restoran terapung ini. 


OLE-OLE

Pasar Kraftangan. Foto ihsan: onggon.com
Hasil Laut – Jika ke Kota Kinabalu, kebiasaannya pelancong domestik membawa pulang hasil laut seperti ikan masin, ikan kering, udang kering, ikan masing, sotong kering, dan sebagainya yang boleh dibeli di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu dan Pasar Kraftangan Kota Kinabalu (juga dikenali sebagai Pasar Filipina), dan Pasar Besar Kota Kinabalu. Ketiga-tiga buah pasar ini terletak di tepi laut dan berdekatan antara satu sama lain. Ada sesetengah peniaga di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu ini menyediakan perkhidmatan pembungkusan percuma supaya barangan yang anda beli mudah dibawa pulang dengan pesawat. Mereka amat mesra  dan anda boleh tawar menawar sehingga anda berpuas hati dengan harga yang diputuskan.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                   

Pasar Ikan Masin.. Foto ihsan: hassan1663.blogspot.com
Kuih Cincin – Kuih cincin merupakan kuih tradisional masyarakat Melayu Brunei di Sabah dan menjadi makanan istimewa bagi semua etnik di Sabah. Kuih ini diperbuat daripada gula, gula nipah (gula apong), tepung beras, minyak masak, air dan gula Melaka. Adunan ini akan dibentuk seperti bunga cincin sebelum dicelup dengan adunan tepung beras dan digoreng. Ia kemudiannya akan dicelup dalam adunan tepung beras sekali lagi sebelum digoreng kali kediua bagi menjadikannya lebih rangup. Kuih ini boleh didapati di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu yang terletak berhampiran Hotel Le Meridien Kota Kinabalu.


KEMUDAHAN PENGINAPAN

Hotel The Pacific Sutera di Sutera Harbour Resort, KK
Hotel Bertaraf Bintang – Jika anda mempunyai peruntukan yang besar untuk penginapan, anda boleh menginap di hotel-hotel bertaraf bintang seperti Hotel Hyatt Regency Kinabalu, Hotel Le Meridien Kota Kinabalu, Hotel Cititel Express Kota Kinabalu, Hotel Shangri-La Kota Kinabalu, Hotel Promenade, dan sebagainya. Manakala hotel terbaik di Kota Kinabalu, iaitu Hotel The Pacific Sutera dan Hotel Magellan Sutera terletak di Sutera Harbour Resort, iaitu kira-kira 2km dari pusat bandar raya.  Hotel-hotel lain ialah Nexus Resort & Spa Karambunai dan Shangri-La's Tanjung Aru Resort & Spa.

Hotel Bajet & Sederhana – Hotel bajet (budget hotel) dan hotel bertaraf sederhana juga mudah didapati di pusat bandar raya Kota Kinabalu terutamanya di sekitar Kampung Air. Antaranya Hotel Rafflesia, Le Hotel, Hotel Hii-5, Lavender Lodge, Hotel Traveller, Hotel Sri Iskandar, Hotel Ruby, Hotel Islamic, dan sebagainya. Nota: Anda boleh membuat tempahan hotel dengan menghubungi hotel tersebut atau membuat tempahan melalui Agoda (www.agoda.com.my). Ia sungguh mudah! 


PERKHIDMATAN SEWAAN KERETA

Jika anda tiba di KKIA dan ingin melakukan  perjalanan ke beberapa tempat menarik di negeri ini seperti Taman Kinabalu, Kundasang, Ranau, Sandakan, dan sebagainya, anda bolehlah menyewa kereta sepanjang berada di negeri ini. Beberapa syarikat sewaan kereta ada menyediakan perkhidmatan sewaan kereta di KKIA (Terminal 1 & 2) seperti Borneo Express Rent A Car & Tour Sdn. Bhd dan Hertz.



CARA KE SANA

Syarikat penerbangan AirAsia menawarkan penerbangan tiga kali seminggu bagi laluan Kota Kinabalu – Kota Bharu (mulai 16 November 2013). Penerbangan dari Kota Bharu ke Kota Kinabalu mengambil masa kira-kira 2 jam 40 minit sahaja melintasi Laut China Selatan. Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket, sila layari laman sesawang AirAsia: www.airasia.com. Setibanya di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), anda boleh mengambil perkhidmatan teksi berkupon untuk ke pusat bandar raya Kota Kinabalu dengan tambang sekitar RM30.00 sehala. 

Manakala dari pusat bandar raya ke KKIA, anda boleh mengambil teksi dari Stesen Teksi Kampung Air atau mana-mana tempat lain di pusat bandar raya dengan tambang sekitar RM30.00 sehala. Nota: Perkhidmatan penerbangan terus dari Malaysia Barat (Semenanjung Malaysia) ke Kota Kinabalu juga boleh didapati dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor Bahru, manakala warga Terengganu, Narathiwat, Pattani dan Yala (selatan Thailand) boleh mengambil penerbangan terus ke Kota Kinabalu dari Lapangan Terbang Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

URUSAN IMIGRESEN

Warga Malaysia Barat (Semenanjung Malaysia) yang ingin memasuki Sabah hanya perlu mengemukakan kad pengenalan MyKad sahaja dan akan diberikan resit imigresen yang perlu disimpan dan mesti dikembalikan semula ketika ingin meninggalkan Sabah. Anda juga boleh mengemukakan pasport antarabangsa Malaysia untuk memasuki Sabah sama seperti memasuki mana-mana negara asing lain.

Bandar raya Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia Timur.

CADANGAN & NOTA PERJALANAN

  • Sebaik-baiknya cari kemudahan penginapan di kawasan pusat bandar raya supaya senang untuk anda bergerak ke semua tempat menarik di pusat bandar raya seperti Tebingan Kota Kinabalu (Kota Kinabalu Waterfront) dan kompleks-kompleks beli-belah dengan hanya berjalan kaki.
  • Kemudahan penginapan bajet banyak didapati di kawasan Kampung Air dan Asia City di pusat bandar raya Kota Kinabalu.
  • Jika menginap di Kampung Air, anda boleh makan di sebuah restoran India Muslim dengan nama Restoran Islamic atau berjalan kaki sahaja ke Asia City.
  • Perkhidmatan teksi untuk ke KKIA boleh didapati dari Kampung Air dengan tambang sekitar RM30.00 sahaja.
  • Kampung Air bukanlah sebuah kampung di atas air. Ia hanyalah nama tempat yang mempunyai sejarah tersendiri. Kampung Air merupakan kawasan perniagaan dan banyak hotel bajet mudah didapati di kawasan ini.
  • KKIA mempunyai dua buah bangunan terminal, iaitu Terminal 1 (Penerbangan Malaysia, MASwings & Malindo Air) dan Terminal 2 (AirAsia). 
  • Setibanya di KKIA, anda bolehlah mendapatkan peta dan informasi pelancongan di kiosk Tourism Malaysia secara percuma supaya mudah untuk anda menganggar jarak dan lokasi sesuatu tempat yang ingin dikunjungi. 
  • Jika anda ingin menyewa kereta, kaunter perkhidmatan sewaan kereta ada disediakan di Terminal 1 dan 2, KKIA.