KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan 
diminta menubuhkan badan khas yang berperanan mengkaji setiap syarikat 
yang mahu melabur di negeri ini untuk memastikan perjanjian yang 
dimeterai dapat dilaksana bukan sekadar persetujuan di atas kertas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz
 Derashid (gambar) berkata, perkara itu perlu dilaksana kerana terlalu banyak 
memorandum persefahaman (MoU) yang termeterai sebelum ini tidak 
terlaksana malah ada syarikat yang sudah beroperasi terpaksa ditutup.
"Sudah ratusan MoU yang dimeterai tetapi berapa jumlahnya yang 
berjaya, saya rasa lima peratus daripada jumlah itu atau pun mungkin 
tidak sampai langsung.
"Kita kena ada satu badan yang mengkaji setiap syarikat ini, jangan 
hanya menipu mahu buat MoU tetapi selepas itu lari, inilah yang perlu 
kita elakkan dan perlu ada kajian," katanya ketika membahas Bajet 2014 
pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Menurut Abdul Aziz, kegagalan berterusan itu tidak dapat dielakkan 
sekiranya Kerajaan Pas Kelantan gagal memprofailkan setiap syarikat yang
 mahu melabur di Kelantan terutama perniagaan sedia ada oleh syarikat 
berkenaan atau kemampuan mereka.
Sementara itu, beliau turut menggesa kerajaan negeri memberi fokus 
kepada pembanguan kawasan perindustrian di Padang Tembak, Pengkalan 
Chepa yang semakin ketinggalan untuk memastikan kelangsungan beberapa 
kilang yang masih beroperasi di situ.
"Tujuan asal kita bangunkan adalah untuk dijadikan kawasan industri 
bukannya pasar malam kerana banyak kilang yang beroperasi di situ telah 
ditutup. "Saya harap kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan Kementerian 
Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk memastikan kawasan itu maju 
kerana banyak kilang yang beroperasi boleh membantu peluang pekerjaan 
kepada rakyat," katanya.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kenyataan Pejabat 
Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kelantan lebih 200 kilang yang 
beroperasi di negeri ini ditutup sejak tahun 1990 kerana tiada sokongan 
daripada kerajaan negeri.
Pengarahnya, Azran Deraman seperti dilaporkan berkata, kerajaan 
negeri gagal menyediakan kemudahan infrastruktur yang lengkap di kawasan
 tersebut seperti jalan, air dan sebagainya sehingga mendorong penutupan
 setiap syarikat berkenaan.
Beliau berkata, kebanyakan syarikat yang ditutup berpindah ke 
Terengganu dan Melaka kerana mendapat sokongan kerajaan negeri berkenaan
 selain pembukaan beberapa kawasan perindustrian baharu.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 8 Okt. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan