KOTA BHARU: Seorang wakil rakyat Pas 
membidas tindakan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri yang 
disifatkan hanya memikirkan keuntungan dalam pembinaan rumah mampu milik
 bagi membantu rakyat berpendapatan rendah mempunyai kediaman sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohamad Zaki Ibrahim (gambar) berkata,
 syarikat milik kerajaan negeri seperti Perbadanan Menteri Besar 
Kelantan (PMBK) dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) 
melalui anak syarikatnya, sepatutnya membina lebih banyak rumah mampu 
milik termasuk melalui projek Rumah Awam Kos Rendah.
Mohamad Zaki turut menarik perhatian janji kerajaan Pas Kelantan 
untuk membina kira-kira 2,000 unit rumah seumpama itu di kawasan 
Parlimen Tumpat namun sehingga kini masih belum dilaksanakan. Malah, katanya, di kawasan beliau sendiri dalam tempoh lima tahun lalu tidak ada sebuah pun rumah jenis tersebut dibina.
"Kena tune balik pemikiran pegawai PKINK, PMBK, jangan fikir 
nak untung," katanya ketika membahaskan Bajet 2014 pada Sidang Dewan 
Undangan Negeri hari ini. 
Bajet tersebut dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob 
dengan menyaksikan defisit sebanyak RM10.39 juta dan turut memasukkan 
royalti minyak sebanyak kira-kira RM200 juta atau 36.41 peratus daripada
 anggaran keseluruhan hasil negeri sebanyak RM549.26 juta pada tahun 
depan.
Mengulas lanjut, Mohamad Zaki berkata, matlamat kerajaan negeri 
menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat tidak mungkin 
tercapai apabila syarikat-syarikat milik kerajaan lebih ghairah mencari 
keuntungan dengan menjualnya pada harga lebih tinggi sekitar RM100,000 
berbanding jenis sama yang dibina swasta.
Beliau dalam masa sama menyarankan syarikat milik kerajaan lebih 
menumpukan usaha kepada pembinaan lebih banyak rumah awam kos rendah 
berharga sekitar RM45,000 sebuah bagi membantu rakyat berpendapatan 
rendah memiliki rumah sendiri.
Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan negeri menambah baik 
kemudahan di Pelabuhan Tok Bali yang ketika ini disifatkan tidak mesra 
pelanggan, seterusnya boleh menjejaskan pendapatan kerajaan.
Beliau berkata, berdasarkan rungutan yang diterima kemudahan yang ada
 kurang memuaskan menyebabkan syarikat-syarikat lebih berminat 
menggunakan kemudahan di Pelabuhan Kemaman dan Kuantan untuk tujuan 
operasi mereka.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 8 Okt. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan