Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 9 Oktober 2013

Bil air 43 peratus pengguna di Kelantan turun

KOTA BHARU: Pelarasan tarif baharu sebenarnya memberi impak kepada penurunan bil air bagi 79,216 pemegang akaun atau 43 peratus dari jumlah pengguna domestik di seluruh Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Hanifa Ahmad (gambar) berkata, penurunan jumlah bil air berlaku disebabkan pemansuhan caj sewa meter kepada semua akaun pengguna.

“Ia selaras dengan peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Bagi pengguna yang saiz meternya ¾ inci dan 1 inci pengurangan bil air akan berlaku sehingga 20 dan 25 meter padu. “Pengurangan bil lebih besar disebabkan perbezaan caj sewa meternya yang masing-masing sebelum ini RM1.25 dan RM2.50,” katanya di sini.

Oleh itu beliau berkata, peningkatan bil hanya berlaku bagi penggunaan lebih 50m3 dengan kenaikan sehingga 32 peratus sedangkan katanya, jumlah pemegang akaun lebih 50 meter padu hanya 20,923 daripada 181,024 pengguna di seluruh Kelantan.

“Piawaian penggunaan air domestik di Malaysia secara puratanya sebanyak 1m3 sehari atau 30 meter padu sebulan. Di Kelantan 77 peratus pengguna domestik menggunakan bawah 35 meter padu,” ujarnya.

Hanifa juga berkata, kenaikan tarif air terakhir pada 1 Januari 2001 dan penyelarasan baharu dibuat bermula 1 September lalu. Menurutnya, kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan pelarasan tarif baharu pada 2010.

Kata beliau kenaikan tarif juga diambil ekoran kenaikan tarif elektrik sebanyak 45 peratus iaitu tiga kali sepanjang tempoh 13 tahun. Menurutnya, AKSB terpaksa menanggung kos elektrik sebanyak RM2.1 juta sebulan.

Pada masa yang sama berlaku kenaikan Indeks Harga Pengguna (CPI)  sebanyak 28.6 peratus pada 2001 - 2013 menyebabkan kenaikan kos operasi termasuk bahan kimia dan kos lain. Beliau juga berkata, Air Kelantan Sdn Bhd masih mengekalkan caj percuma penggunaan sehingga 35m3 bagi masjid dan sekolah agama rakyat.

Katanya juga Kelantan berada pada kedudukan keempat terendah bagi penggunaan air bawah 20 meter padu. “Kenaikan tarif telah dilaksanakan di Pulau Pinang, Kedah, Melaka dan Johor pada 1 Oktober 2010,” ujarnya.

Sumber: Harakah Daily | 9 Okt. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan