PETALING JAYA: Pelakon Fahrin Ahmad (gambar) membuat keputusan mencari
wanita yang bekerja sebagai seorang guru untuk dijadikan calon isteri
berbanding memilih mereka di kalangan selebriti.
Fahrin, 34, berkata, dia membuat keputusan itu kerana merasakan lebih
sesuai untuk mendampingi wanita golongan berkenaan apatah lagi ahli
keluarganya yang lain turut bergelar pendidik.
"Saya bukan serik untuk bercinta dengan golongan artis tetapi wanita
dalam kerjaya tersebut tidak sesuai dengan saya dan saya ingin mencari
calon isteri di kalangan orang biasa sahaja.
"Saya ingin mencari wanita yang bergelar guru kerana lebih mudah saya
menyesuaikan diri tambahan pula ibu, bapa dan kakak saya turut bergelar
pendidik sebelum ini, jadi ia lebih praktikal," jelasnya kepada mStar Online.
Dalam perkembangan sama, kata Fahrin dia kini masih sendirian dan
selesa dengan kehidupan itu selepas keinginan untuk berkahwin semakin
terhakis.
"Saya sarankan sesiapa yang masih solo supaya segera berkahwin dan
jangan tunggu usia sudah mencecah 30-an baru hendak fikir tentang soal
berumah tangga."
"Apabila usia semakin lanjut, kita mula rasa selesa dengan kedudukan
kita dan keinginan untuk berkahwin semakin terhakis," jelasnya.
Bagaimanapun kata Fahrin, itu bukan bererti dia tidak mahu berkahwin
sebaliknya sudah berusaha mencari calon isteri namun jodoh masih belum
menyebelahinya buat masa ini.
"Apa-apa pun saya tetap akan berkahwin dan usaha pun telah saya lakukan tetapi tinggal lagi jodoh masih belum sampai," katanya.
Sementara itu, Fahrin memberitahu, ibu bapanya ingin mencari calon
isteri untuknya namun dia menolak kerana lebih selesa menemui buah hati
atas pilihan sendiri.
"Keluarga ada beritahu ingin memperkenalkan saya seseorang tapi saya
menolak kerana ingin pilih sendiri teman hidup dan bukannya atas
kehendak orang lain.
"Saya faham mereka risau dengan faktor umur saya yang semakin
meningkat tetapi mereka faham cinta itu tidak boleh dipaksa," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Fahrin berkata, dia bakal berangkat ke
Cardiff, Wales, United Kingdom pada 20 November depan untuk menyaksikan
perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Kelab Cardiff City menentang
Manchaster United yang akan berlangsung pada 25 November 2013.
Selain Fahrin, tiga lagi artis lelaki iaitu Fizo Omar, Fizz Fairuz dan Iqram Dinzly akan turut menyertai rombongan itu.
Sumber: mStar Online | 9 Okt. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan