![]()  | 
| Pegawai PPDNKK melakukan pemeriksaan mengejut ke sebuah restoran di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan selepas menerima banyak aduan daripada orang ramai kerana tidak meletakkan tanda harga. | 
KOTA BHARU:  Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan 
Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan mengingatkan semua pemilik restoran di 
negeri itu supaya meletakkan tanda harga untuk kemudahan pelanggan atau 
berdepan dengan kompaun sehingga RM100,000.
Timbalan Pengarah PPDNKK negeri, Ab. Ghani Harun berkata, ia adalah 
peraturan yang perlu dipatuhi setiap pemilik restoran dan kegagalan 
melakukannya membolehkan mereka didakwa di bawah Perintah 3(1) Perintah 
Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.
"Jika disabitkan kesalahan, mereka yang terlibat boleh dikenakan 
denda sebanyak RM100,000 dan kompaun justeru saya mengingatkan mereka 
supaya lakukan tanggungjawab yang diberikan," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan 
mengejut di sebuah restoran di Pengkalan Chepa di sini yang menerima 
banyak aduan daripada orang ramai kerana tidak meletakkan tanda harga.
Menurut Ab. Ghani, hasil pemeriksaan di restoran tersebut mendapati 
beberapa aduan yang diterima terbukti benar apabila lauk yang dijual 
tidak diletakkan tanda harga selain harga makanan yang dijual terlalu 
mahal.
Sehubungan itu, katanya, surat amaran telah dikeluarkan terhadap 
pemiliknya dan kertas siasatan turut dibuka dan jika didapati bersalah 
pemilik restoran itu bakal didenda sehingga RM100,000.
"Perbuatan pemilik restoran ini tidak mengikuti peraturan selain 
tidak beretika apabila dia didapati mengambil kesempatan meletakkan 
harga yang mahal apabila mendapati pelanggannya ramai pada waktu 
tertentu," tegas beliau.
Sementara itu, Ab. Ghani berkata, Operasi Harga telah dijalankan 
sejak Jun lalu dan sehingga kini sebanyak 300 kes telah dilaporkan 
kepada pihaknya berhubung kegiatan terbabit.
"Pihak PPDNKK akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke 
semasa bagi mengesan mana-mana premis yang gagal meletakkan tanda harga.
 Saya nasihatkan kepada peniaga agar mematuhi arahan yang dibuat 
manakala pengguna pula diminta memberikan kerjasama dengan membuat 
aduan," katanya.
Dalam pada itu, mengulas isu berlainan, beliau memberi jaminan PPDNKK
 tidak akan berhenti melakukan kawalan di sempadan untuk memastikan 
kegiatan penyeludupan barang subsidi seperti petrol dapat dibendung.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 7 Okt. 2013  

Tiada ulasan:
Catat Ulasan