Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 30 Oktober 2013

BELANJAWAN 2014: KERAJAAN PUSAT ABAIKAN KELANTAN – TIADA PERUNTUKKAN UNTUK NAIK TARAF LTSIP

PENGENALAN

PEMBENTANGAN Belanjawan Negara 2014 (Belanjawan 2014) pada 25 Oktober 2013 oleh Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia di Dewan Rakyat langsung tidak memberikan apa-apa berita gembira kepada rakyat Kelantan. 

Hal ini kerana sebesar-besar negeri Kelantan hanya diberikan dengan dua projek kecil sahaja seperti yang disebut di dalam ucapan Belanjawan 2014, iaitu (1) projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas yang baharu; (2) dan  pembinaan bangunan blok baharu di kompleks Hospital Jeli di sebelah Kelantan Barat. 

Belanjawan 2014 memperutukkan lebih RM1 bilion untuk projek naik taraf kemudahan infrastruktur lapangan terbang dan sistem kawalan penerbangan awam. Daripada jumlah tersebut, RM312 juta diperuntukkan untuk menaik taraf beberapa buah lapangan terbang di Malaysia Timur, iaitu di Kota Kinabalu dan Sandakan di Sabah serta di Miri, Sibu, dan juga Mukah di Sarawak. Bangunan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (Kedah) dan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah Kuantan (Pahang) juga akan dinaik taraf demi keselesaan penumpang.

Dalam pada itu, sebuah Pusat Pengurusan Trafik Udara baharu dengan kos sebanyak RM700 juta akan dibina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Sistem baharu ini akan dapat meningkatkan pergerakan trafik udara dari 68 kepada 108 pergerakan setiap jam melalui tiga landasan dan kapasiti pengendaliannya adalah antara yang tertinggi di dunia.

PERSOALAN UTAMA

Persoalan utama di sini adalah di manakah peruntukkan untuk projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu, Kelantan? Di manakah letaknya nilai jaminan dan sokongan Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (merangkap ADUN Ayer Lanas, Ahli Parlimen Jeli, dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan) pada pertengahan Jun 2013 lepas di Dewan Undangan Negeri Kelantan bahawa beliau menyokong penuh dan memberi jaminan untuk memastikan cadangan Kerajaan Negeri Kelantan supaya LTSIP dapat dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa dapat direalisasikan. 

Cadangan untuk menaik taraf LTSIP kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa bukanlah suatu cadangan baharu. Kerajaan Pusat telah membuat pengambilan tanah ratusan ekar di hujung landasan No. 28 sejak Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5: 1986 - 1990) lagi dan tanah rezab tersebut masih belum dibangunkan sepenuhnya sehingga ke hari ini.  Setiap kali adanya pilihan raya umum, parti yang menerajui Kerajaan Pusat (iaitu Barisan Nasional) pastinya akan memasukkan cadangan untuk menaik taraf LTSIP kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa ke dalam manifesto mereka terutamanya di peringkat negeri Kelantan oleh UMNO dan Barisan Nasional Kelantan. 

Walaupun UMNO dan Barisan Nasional berjaya mengekalkan penguasaan di peringkat Kerajaan Pusat sehingga ke hari ini, LTSIP tidak juga dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa sedangkan tanggungjawab dalam menyedia atau membangunkan kemudahan lapangan terbang merupakan tanggungjawab Kerajaan Pusat menurut Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.  

KEPERLUAN NAIK TARAF LAPANGAN TERBANG

Terdapat beberapa perkara berkaitan LTSIP yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Antaranya adalah:- 
  1. Bangunan terminal yang semakin sesak - Pada tahun 2012 misalnya, LTSIP mengendalikan 1.29 juta penumpang dan jumlah pengendalian penumpang di lapangan terbang ini dijangka mencapai kapasiti maksimum 1.5 juta penumpang setahun pada tahun 2014. Bangunan terminal LTSIP sedia ada bukan sahaja menjadi semakin sempit tetapi semakin kurang selesa kerana peningkatan ketara jumlah penumpang setiap tahun berbanding lapangan-lapangan terbang di negeri-negeri jiran. Jika peruntukkan untuk lapangan terbang lain boleh diberikan untuk keselesaan penumpang dan mengapa tidak peruntukkan juga diberikan untuk keselesaan penumpang di LTSIP untuk membesarkan bangunan terminal?
  2. Tempat letak pesawat tidak mencukupi - Hanya lima buah pesawat boleh diletakkan di tempat letak pesawat di LTSIP dalam satu-satu masa. Waktu pagi dan lewat petang dikira waktu puncak yang menyaksikan kesesakan di tempat letak pesawat. 
  3. Landasan yang pendek - Landasan LTSIP patut dipanjangkan lagi kepada sekurang-kurangnya 3,200 meter, iaitu keperluan panjang minimum untuk membolehkan pesawat jenis B747-400 mendarat. Rezab tanah lapangan terbang yang sedia ada membolehkan landasan LTSIP dapat dipanjangkan sehingga 3,800 meter.
  4. Jalan rayap selari (parallel taxiway) tidak lengkap - Walaupun LTSIP merupakan sebuah lapangan terbang yang sudah dilengkapi dengan jalan rayap selari, semua pesawat masih terpaksa menggunakan landasan dan membuat pusingan U di hujung landasan No. 10 untuk berlepas. Sepatutnya jika jalan rayap selari turut dibina sehingga ke hujung landasan No. 10, ia pastinya dapat meningkatkan kecekapan operasi di lapangan terbang ini.
Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9: 2006 - 2010), hanya RM45.5 juta diperuntukkan atau dibelanja untuk memanjangkan landasan LTSIP dari 1,981 meter kepada 2,400 meter termasuk pembinaan jalan rayap selari (parallel taxiway) berbanding cadangan asal untuk memanjangkan landasan LTSIP dari 1,981 meter kepada 3,200 meter di bawah RMK-9. Manakala lapangan-lapangan terbang lain menerima peruntukan jauh lebih besar berbanding untuk LTSIP di bawah RMK-9 seperti projek naik taraf lapangan-lapangan terbang di Kota Kinabalu (RM1.5 bilion), Kuala Terengganu (RM882.2 juta), Kuching (RM620 juta), Labuan (RM365 juta), Pulau Pinang (RM250 juta), dan Melaka (RM188.2 juta).

Adakah atas nama demi keselesaan penumpang kurang daripada 35,000 penumpang setahun (statistik pengendalian penumpang pada tahun 2012 bagi Lapangan Terbang Melaka), Kerajaan Pusat sanggup membelanjakan RM188.2 juta semata-mata untuk menaik taraf Lapangan Terbang Melaka (LTM) yang langsung tidak mempunyai potensi untuk menarik syarikat penerbangan untuk beroperasi di LTM? LTM sebenarnya kurang strategik untuk dibangunkan kerana kedudukan geografinya yang dikira sudah dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Tambahan pula, majoriti warga Melaka boleh mengambil penerbangan terus dari KLIA.

LTSIP memerlukan landasan yang lebih panjang untuk membolehkan lapangan terbang ini mengendalikan pesawat berbadan lebar terutamanya A330-300, B777-200, dan B747-400 yang memerlukan landasan yang lebih panjang untuk mendarat dengan selamat. LTSIP mempunyai potensi besar untuk menjadi hab penerbangan antarabangsa serantau dengan menawarkan perkhidmatan penerbangan terus antarabangsa ke Medan (Indonesia), Singapura, Bandar Raya Ho Chi Minh (Vietnam), Bangkok (Thailand), dan Phnom Penh (Kemboja) serta penerbangan haji terus ke Madinah dan Jeddah (Arab Saudi).

WILAYAH PANTAI TIMUR TIADA LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA

Wilayah Pantai Timur merupakan satu-satunya wilayah di negara ini yang belum dilengkapi dengan kemudahan lapangan terbang antarabangsa. Di wilayah Utara terdapat dua buah lapangan terbang antarabangsa, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala masing-masing sebuah lapangan lapangan terbang antarabangsa di wilayah Tengah dan Selatan, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor Bahru. Dalam pada itu, masing-masing terdapat sebuah lapangan terbang antarabangsa di wilayah Sabah dan Sarawak, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. 

Walaupun Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu, Terengganu telah dicadangkan untuk menjadi sebuah lapangan terbang antarabangsa untuk wilayah Pantai Timur, ia hanyalah suatu perancangan yang tidak berdaya maju tanpa mengambil kira faktor demografi, geografi, dan juga kedudukan strategik sesebuah lapangan terbang. Dalam perkara ini, LTSIP lebih berdaya maju untuk dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa dengan mengambil kira kedudukan geografinya yang berdekatan dengan selatan Thailand dan Indochina serta jumlah penduduk yang padat di sebelah utara Pantai Timur dan selatan Thailand yang menyediakan pasaran untuk syarikat penerbangan.

KESIMPULAN DAN HARAPAN

Kerajaan Pusat harus menunjukkan komitmennya  dalam perkara ini dan tidak ada gunanya mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa Kerajaan Pusat tidak pernah menganaktirikan atau mengabaikan pembangunan Kelantan sedangkan rakyat Kelantan boleh menilai sendiri bagaimana layanan Kerajaan Pusat terhadap Kelantan. Penangguhan demi penangguhan projek naik taraf LTSIP kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa merupakan contoh paling jelas dan ketara bagaimana rakyat Kelantan dilayan oleh Kerajaan Pusat. Dalam perkara ini, Kerajaan Pusat perlu buktikan keikhlasannya dan bukan sekadar bercakap sahaja untuk mengambil hati rakyat Kelantan tetapi sebenarnya rakyat dan negeri Kelantan dipinggirkan. 

Oleh itu, Kerajaan Pusat diharap dapat menyegerakan projek naik taraf LTSIP kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa dengan menaik taraf kemudahan utama di LTSIP termasuk memanjangkan landasan kepada sekurang-kurangnya 3,200 meter atau lebih panjang daripada ini untuk kemudahan rakyat Kelantan. Bukankah penaiktarafan dan pembangunan semula LTSIP kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa akan memberi pulangan jangka panjang kepada Kerajaan Pusat dari segi kutipan cukai lapangan terbang dan caj penggunaan landasan dan kemudahan lapangan terbang yang dikenakan kepada syarikat-syarikat penerbangan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan