![]()  | 
| Nurul Husna Zainal Abidin | 
PADA usia 21 tahun, Nurul Husna Zainal Abidin dari Kuala 
Kangsar menjadi wakil pertama dari Malaysia ke 'World Muslimah 
Competition 2013' (Pertandingan Muslimah Dunia 2013) di Jakarta.
Sebelum ini, pertandingan ini hanya terbuka kepada rakyat Indonesia 
tetapi tahun ini turut melibatkan peserta dari seluruh dunia, menarik 
perhatian peserta muda dari Malaysia, Brunei, Bangladesh, Iran dan 
Nigeria.
Dengan 'tema keislaman', antara yang pertama seumpamanya, 
pertandingan ini memberikan perspektif yang berbeza dengan pertandingan 
ratu konvensional. Untuk satu perkara, kecantikan fizikal bukanlah menjadi kriteria pemilihan. "Ia bukan pertandingan ratu cantik kerana tumpuan diberikan terhadap kecantikan dalaman, bukan tarikan fizikal," kata Husna. 
"Penekanan diberikan terhadap pembentukan peranan wanita Islam dan 
sebagai 'role model' di seluruh dunia. Dalam aktiviti selama sepuluh 
hari ini, kami bangun awal pagi untuk solat sunat Tahajud berjemaah, 
diikuti dengan bacaan dan hafazan al-Quran serta mendengar ceramah 
agama."
Katanya, ceramah dan perbincangan menekankan istimewanya kedudukan wanita dalam Islam. "Apabila saya menyertainya, saya mendapat ilmu bukan sahaja mengenai 
Islam tetapi juga tentang bagaimana kehidupan wanita Islam lain di 
dunia. Saya menganggap peluang ini sebagai hadiah yang bernilai," kata 
Husna yang pertama kali mendengar tentang pertandingan ini daripada 
seorang rakan di Indonesia melalui Twitter.
Walaupun para peserta telah diberi pendidikan agama secara intensif, 
adakalanya mereka juga diperuntukkan masa untuk belajar tentang fesyen 
dan kecantikan. "Kami telah diajar untuk menjadi bijak, solehah dan bergaya. Bergaya 
dalam konteks ini bermaksud mempersembahkan diri anda dengan cara yang 
baik dengan pakaian yang sesuai," katanya.
Dalam acara itu, Husna muncul sebagai salah seorang daripada 10 
finalis teratas dan memenangi hadiah 'World Muslim Woman Netizen 2013', 
salah satu daripada enam anugerah yang diberikan semasa majlis di 
peringkat final.
Bagi anugerah tersebut, peserta dinilai berdasarkan populariti 
peserta di laman internet seperti Twitter, Facebook dan melalui 'hastag'
 mereka. "Acara ini adalah sesuatu yang baharu bagi saya kerana saya tidak 
pernah mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa sebelum ini," 
kata Husna yang menambah beliau banyak belajar mengenai kehidupan di 
Indonesia.
Di Indonesia, diskriminasi terhadap wanita bertudung adalah biasa berbanding di Malaysia, kata Husna. Pengasas pertandingan, Eka Shanti, kehilangan kerja sebagai penyampai berita kerana keengganan beliau untuk menanggalkan tudung.
"Kami mahu mencuba menyebarkan berita dan perubahan. Kami ingin 
menunjukkan bahawa memakai tudung juga boleh berkuasa," kata Husna. "Kita sering mendengar kes-kes di mana wanita ditindas dan didera. 
Malah di Malaysia, kenyataan 'seksi' sudah menjadi perkara biasa. 
Program ini diharap dapat menyebarkan mesej bahawa wanita mempunyai 
kedudukan yang istimewa dalam Islam," kata Husna.
Walaupun niat penganjur adalah murni, penglibatan Husna tetap mendapat kritikan. Husna berkata walaupun menerima banyak komen positif dan menggalakkan
 daripada peminat melalui media sosial, terdapat juga mereka yang tidak 
bersetuju dengan pertandingan ini.
Walaupun sesetengah memuji idea menggalakkan pemakaian tudung dan 
pakaian menutup aurat, ada juga yang mengatakan bahawa 'mempamerkan 
wanita' bukanlah sesuatu yang perlu digalakkan dalam agama. Pengkritik memberi contoh bersolek dan berhias dalam pertandingan itu
 tidak berjalan seiring dengan idea Islam yang merendah diri dan 
bersederhana walaupun unsur-unsur Islam seperti bacaan Al-Quran dan doa 
turut dimasukkan.
Apabila ditanya bagaimana acara itu diharap dapat menilai sejauh mana
 ketakwaan seorang peserta, yang mana ia tidak dapat diukur, juri dari 
Malaysia, Jameyah Sheriff , berkata proses adjudikasi melihat bagaimana 
seorang wanita Muslim membawa dirinya secara ideal.
"Hakim memerhatikan sikap, personaliti, tingkah laku dan kefahaman 
Islam," katanya mengenai peserta yang ditanya soalan mengenai asas-asas 
Islam, kewangan dan IT di peringkat akhir. Jameyah, seorang aktivis sosial untuk wanita dan kanak-kanak berkata,
 pertandingan akan mengajar anak-anak gadis Islam untuk menyumbang dan 
melibatkan diri dalam projek-projek komuniti.
"Kami mahu semua mereka membantu dalam komuniti masing-masing," 
katanya, sambil menambah Husna merancang untuk melibatkan diri dalam 
program-program kebajikan kanak-kanak yang turut dianjurkan Jameyah. "Matlamat kami adalah untuk membina Muslimah dihormati dan pintar yang boleh menjadi pemimpin."
"Pada mulanya, saya tidak percaya tetapi apabila saya pergi ke sana, 
saya menyedari bahawa ia bukan tentang kecantikan fizikal. Sebaliknya, 
kepentingan diletakkan pada sesi soal dan jawab, personaliti peserta dan
 kesedaran awam.
"Apa yang paling penting adalah kebimbangan mereka dalam kemanusiaan,
 keamanan dan berdedikasi dengan peranan sebagai role model," katanya 
sambil memberitahu pertandingan dijalankan dengan nasihat Majlis Ulama 
Indonesia.
Pemenang keseluruhan acara itu, Obabiyi Aishah Ajibola dari Nigeria, 
telah dipilih secara undian oleh 100 tetamu anak yatim dan menerima 
hadiah wang tunai sebanyak 25 juta rupiah (RM7,000) dan trip ke Mekah 
dan India.
Sumber: mStar Online | 2 Okt. 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan