KOTA BHARU: Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDK-PI) 
mengambil langkah menjalankan operasi kitar semula dengan mewujudkan 
pusat kitar semula yang pertama di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim 
berkata, pusat kitar semula itu dijadikan pusat pengumpulan dan 
pengasingan bahan buangan yang boleh dikitar semula untuk penduduk di 
daerah terbabit.
Menurut beliau, pusat kitar semula yang beroperasi secara sistematik 
itu adalah yang pertama di negeri ini dalam usaha pihak berkuasa 
tempatan (PBT) mengurangkan kadar pembuangan sampah.
"Dengan adanya pusat kitar semula ini, pelbagai program akan dapat 
dilaksana bagi menarik orang ramai mengitar semula barangan buangan," 
katanya berucap dalam Majlis Pelancaran Pusat Kitar Semula di Dataran 
Usahawan Kok Lanas di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua MDK-PI, Serpudin Mohamad dan Pengarah
 Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) 
Kelantan, Datuk Afandi Hamzah.
Turut diadakan dalam majlis itu adalah pertandingan gubahan barangan 
kitar semula melibatkan kategori sekolah rendah, menengah dan PBT.
Zainuddin berkata, sampah adalah masalah yang cukup besar dan memberi
 ancaman kepada kesihatan manusia sekiranya tidak diurus dengan 
sempurna.
"Kita perlu mencari jalan mengurus sampah dengan baik dengan 
menekankan beberapa aspek penting seperti mengurangkan sampah dengan 
mengitar semula barang buangan," katanya.
Beliau turut berharap penduduk setempat dapat menggunakan kemudahan tersebut semaksima mungkin bagi memelihara alam sekitar.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Okt. 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan