KOTA BHARU: Jabatan Pembangunan 
Persekutuan (JPP) Kelantan sedang mengenal pasti lokasi bagi pembinaan 
Kampus Kota Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk 
Makhtar Mustapha berkata, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti 
lokasi di kawasan Lundang untuk pembinaan kampus itu dan masih dalam 
proses perbincangan. 
''Jika lokasi tersebut sesuai dan dipersetujui, pihak kementerian 
akan bertindak menyediakan peruntukan bagi pembinaan kampus berkenaan," 
katanya selepas Majlis Hi-Tea Alumni-Sahabat UiTM cawangan Kelantan 2013
 di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kelantan (JKKNNK) di 
Tanjung Chat dekat sini semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan 
Industri (MITI) Kelantan, Azran Deraman; Pengarah Urusan Tegas Venture 
Sdn. Bhd., Datuk Dr. Mohd. Kaisan Ab. Rahman dan Ketua UMNO Bahagian 
Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar.
Pada majlis tersebut, seramai 150 Alumni UiTM cawangan Kelantan 
berkumpul bersama-sama Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof Madya Dr. 
Mohd. Shukri Omar.
Pembinaan kampus bandar UiTM itu merupakan satu daripada tujuh projek
 besar yang hendak dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) bagi 
membangunkan Kelantan dalam Pilihan Raya Umum lalu.
Makhtar berkata, pihaknya akan berusaha agar projek itu dapat dicapai
 bagi memberi keselesaan kepada pelajar meneruskan pengajian mereka di 
kampus itu.
Katanya, keperluan terhadap kampus baharu itu sangat mendesak 
memandangkan bilangan pelajar UiTM yang semakin meningkat setiap tahun.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 29 Okt. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan