Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 9 Oktober 2013

Wakil BN cadang anak syarikat Kerajaan Kelantan diaudit badan luar

KOTA BHARU: Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Nozula Mat Diah mencadangkan agar semua anak syarikat milik kerajaan Kelantan diaudit oleh badan luar bagi memastikan tiada sebarang ketirisan dan salah guna kuasa berlaku.

Nozula (BN-Paloh) ketika membahaskan Belanjawan 2014 kerajaan Kelantan di Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, berkata audit luar itu perlu dipanggil segera bagi membuat siasatan terperinci.

Selain itu, Nozula juga turut menyentuh mengenai program Ladang Rakyat yang didakwanya tidak memberi sebarang keuntungan kepada rakyat dan mahukan kerajaan negeri memberikan laporan telus kepada rakyat yang ingin mengetahui status sebenar program berkenaan.

Seorang lagi wakil BN, Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) meminta penjelasan mengenai projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat yang tidak dimasukkan di dalam penyata Belanjawan berkenaan.

"Satu dunia dah tahu mengenai cadangan pembinaan lebuh raya ini. Tak kan tidak ada peruntukan untuk projek ini dalam Belanjawan," katanya.

Beliau berkata kerajaan Kelantan telah banyak kali menandatangani memorandum persefahaman (MoU) namun hanya kira-kira lima peratus perjanjian itu dilaksanakan dan ini membuktikan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.

Abdul Aziz turut membidas kerajaan negeri yang tidak mengumumkan tarif baharu air yang dikenakan kepada pengguna, berkuat kuasa Ogos lepas. "Kenapa takut mahu umumkannya. Perlu beranilah berdepan dengan rakyat," katanya.

Sementara itu penyokong kerajaan, Mohd Zaki Ibrahim (PAS-Kelaboran) mahu kerajaan negeri menyegerakan pembinaan rumah mampu milik kepada rakyat dan mencadangkan satu pasukan khas ditubuhkan bagi merealisasikan pembinaannya.

"Saya mahukan agar pembinaannya perlu bermula sebelum PRU14. Buat pagar pun tak apa dahulu," katanya.

Sumber: BERNAMA | 8 Okt. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan