![]()  | 
| Kompleks Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). Foto ihsan: www.come2kelantan.my | 
KOTA BHARU: Kebanjiran tikus yang menyerang Hospital Universiti
 Sains Malaysia (HUSM)  di sini menyebabkan pihak pengurusan tidak dapat 
berbuat apa-apa akibat dengan masalah tersebut. Pesakit bercakap kepada The Star mengenai pengalaman mereka mengenai 
haiwan yang sering dijumpai di dalam bangunan dan wad 12 di Kubang Kerian di 
sini.
Haiwan ini sering dilihat mencari makanan di bilik makanan, bawah 
katil tanpa menghiraukan kehadiran manusia di sekeliling mereka. Hospital yang dibina pada 1983 ini, mengalami masalah kebanjiran haiwan perosak ini sejak 10 tahun lalu.
Kedai makanan yang terletak kira-kira 30 meter menjadi tempat 
pembiakan tikus yang kemudian berhijrah ke hospital melalui laluan bawah
 tanah dan paip kumbahan. Yang menjadi persoalannya adalah mengapa sejak sekian lama masalah 
itu timbul pihak pengurusan hospital masih belum dapat mengatasinya.
Bagi seorang ibu yang mempunyai anak yang mengalami masalah kerosakan
 otak dia menyifatkan masalah tersebut tiada berpenghujungnya. "Saya meninggalkan keropok di meja sebelah katil anak saya ketika 
hendak pergi ke tandas dan sebaik sahaja saya kembali, ia telah tiada.
"Pada mulanya saya fikir ada orang lain telah mengambilnya namun pada
 waktu malam saya nampak tikus bergerak aktif di bawah katil. "Saya telah memaklumkan perkara ini kepada jururawat dan doktor namun
 saya diberitahu masalah tersebut adalah perkara biasa dan semua orang 
telah biasa dengannya," katanya yang juga seorang suri rumah.
Dia juga sering mendengar bunyi bising di bahagian atas siling pada 
waktu malam yang mungkin disebabkan oleh bunyi tikus bergaduh. Suri rumah, yang enggan dikenali itu berkata, dia sering melihat 
tikus menghidu topeng plastik oksigen anaknya dan akhirnya dia terpaksa 
meminta jururawat menukar topeng baharu untuk anaknya.
Seorang lagi makcik kepada bayi berusia 11 bulan yang dimasukkan ke 
hospital kerana pnemonia berkata dia melihat tikus baring di atas 
kerusi, katil bayi dan di atas lantai. Wanita yang enggan dikenali itu berkata: "Saya telah memberitahu 
doktor mengenai perkara ini dan mereka yang ketawa dan memaklumkan 
kepada saya, tikus di wad ini ibarat haiwan peliharaan."
Pakar kawalan serangga perosak yang mempunyai pengalaman selama 30 
tahun, Ang Tan Loong berkata tikus yang membiak di hospital berkenaan 
mungkin daripada keluarga Muculus atau tikus rumah. Beliau menambah tidak mungkin hospital berkenan dibanjiri dengan tikus betung atau  Rattus Novegicus kerana keluarga Rattus adalah tikus tanah.
Ang berkata formula pengiraan secara kasar mengenai populasi tikus 
rumah di sesuatu tempat adalah darab dengan 10 bagi setiap ekor tikus 
yang dilihat. "Tikus rumah mempunyai jangka hayat selamat lima tahun dan tikus 
betina boleh menghasilkan empat ekor anak tikus dalam tempoh empat 
bulan," kata Ang.
Ang berkata tikus betung boleh melakukan kemusnahan pada sistem 
pendawaian elektrik, sistem penghawa dingin selain menyebarkan penyakit 
leptospirosis melalui air kencingya. Selain daripada ditemui di wad, tikus turut berada di kafeteria utama
 kompleks hospital tersebut menurut jurucakap hospital berkenaan.
"Daripada siasatan yang dijalankan tikus ini menyorok dalam sistem 
pembentungan menjumpai jalan ke hospital ini melalui pusat perniagaan 
berhampiran," katanya. "Kita telah cuba untuk menyelesaikan masalah ini dengan memotong 
bahagian siling yang menjadi tempat keluar masuk mereka namun ia tidak 
berjaya.
"Kita juga telah menghubungi syarikat kawalan serangga perosak untuk menghapuskan tikus di hospital ini." Jurucakap tersebut turut memaklumkan bahawa pihak hospital turut 
meminta bantuan daripada kampus utama USM di Pulau Pinang untuk mengkaji
 masalah berkenaan dan mencadangkan tindakan susulan yang boleh diambil 
bagi mengatasi masalah tersebut.
Sumber: mStar Online | 8 Okt. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan