![]()  | 
| Umi Kalsom Wan Awang melawat gerai pada Majlis Perasmian Pasar Tani Kem Desa Pahlawan dekat Kota Bharu, semalam. | 
KOTA BHARU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 
Kelantan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) buat julung 
kalinya membuka pasar tani di Kem Desa Pahlawan dekat sini.
Pembukaan rasmi pasar tani itu telah disempurnakan Pengerusi Jemaah 
Tertinggi Badan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat) Darat, Datin Seri Umi
 Kalsom Wan Awang hari ini.
Umi Kalsom berkata, pembukaan pasar tani itu bertujuan memberi 
peluang kepada pesara tentera untuk terlibat dalam sektor perniagaan 
bagi menambah pendapatan keluarga.
Beliau berkata, selain FAMA, pembukaan pasar tani itu turut mendapat 
kerjasama Perwira Niaga Malaysia (Pernama) iaitu anak syarikat Lembaga 
Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
"Pasar tani ini bertujuan memberi peluang pekerjaan khususnya kepada 
ahli keluarga tentera termasuk anggota yang sudah bersara. Ini kerana 
ATM berhasrat untuk menambah pendapatan isi rumah, membekalkan kemahiran
 dan juga memberi peluang pekerjaan dalam perniagaan kepada anggotanya,"
 katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pasar 
Tani Kem Desa Pahlawan di Dataran Pernama Kem Desa Pahlawan dekat sini 
hari ini.
Yang turut hadir, Pegawai Turus Pentadbiran Markas Station Staf Kem 
Desa Pahlawan, Leftenan Kolonel Aziz Mamat serta Pengarah Pasar Tani 
berkenaan, Rosilawati Abu Hassan.
Menurut Umi Kalsom, terdapat sebanyak 57 gerai di pasar tani terbabit
 yang akan menjual pelbagai barangan keperluan harian dengan 
kebanyakannya dihasilkan sendiri para peniaga.
"Dengan adanya pasar tani ini, para peniaga berpeluang memperoleh 
keuntungan lebih seterusnya membantu meningkatkan pendapatan mereka dan 
keluarga secara berterusan," katanya.
Tambah beliau, usaha FAMA dan ATM ini dilihat mampu mengubah 
kehidupan anggota tentera yang terlibat dalam perniagaan sehingga mampu 
menjadi usahawan tani berjaya pada masa hadapan.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 27 Okt. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan