PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan mengarahkan pihak
pengurusan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk mengambil
tindakan segera bagi menghapuskan tempat pembiakan tikus di kompleks 12
tingkat yang terletak di Kota Bharu itu.
Timbalan Menteri, P. Kamalanathan berkata, kebanjiran tikus
sepatutnya tidak berlaku dan langkah-langkah sewajarnya perlu diambil
bagi menyelesaikan masalah ini dan memastikan ia tidak berulang. "Saya amat terkejut dan bimbang bahawa masalah seperti itu berlaku dan tidak diselesaikan.
"Satu penyelesaian yang proaktif perlu dilaksanakan," katanya
merujuk kepada serangan haiwan perosak yang berlarutan sejak 10 tahun
lalu. Kamalanathan berkata, pihak kementerian akan sentiasa melakukan pemantauan untuk memastikan masalah itu akan diselesaikan.
"Kami akan meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan majlis perbandaran negeri," katanya. Ketua Pemuda MCA Kelantan, Gan Han Chuan turut membidas pihak
pengurusan hospital terbabit kerana memandangkan ringan masalah itu.
Beliau berkata, kampus kesihatan itu dikenali di peringkat antarabangsa dan masalah itu perlu diselesaikan segera. "Jika tidak imej hospital itu akan terjejas dan ia akan menjadi bahan jenaka di kalangan pengamal perubatan," katanya.
Gan mempertikaikan sikap pihak pengurusan hospital kerana tidak
melakukan sesuatu untuk menangani masalah itu dengan berkata: “Sudah
pasti, mereka menerima aduan mengenai kebanjiran tikus di kawasan itu
daripada orang awam.
Sumber: mStar Online | 9 Okt. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan