![]()  | 
| Sean Hill (duduk, empat dari kiri) dan Jafri Malin Abdullah (duduk, tengah) bersama peserta taklimat mengenai INCF di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan, kelmarin. | 
KOTA BHARU: Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains 
(P3Neuro) Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini, 
mencipta sejarah selepas menjalin hubungan dua hala dengan Pertubuhan 
Fasiliti Penyelaras Neuroimformatik Antarabangsa (INCF) yang 
berpengkalan di Stockholm, Sweden melibatkan kerja-kerja penyelidikan 
dalam bidang neurosains.
Hubungan dua hala itu dijalin berikutan pengiktirafan Persekutuan 
Persatuan Pembedahan Neuro Sedunia yang melantik P3Neuro USM sebagai 
Pusat Latihan Pakar Saraf di negara ini berkuat kuasa 3 Oktober lalu.
Dengan pengiktirafan itu, P3Neuro USM akan menjadi salah satu 
daripada 16 pusat latihan saraf antarabangsa yang diiktiraf persekutuan 
berkenaan bagi menjalankan penyelidikan dalam bidang berkenaan.
Presiden INCF, Prof. Sean Hill berkata, hubungan itu juga membolehkan
 pakar-pakar neuro USM berkongsi maklumat dan menyertai pelbagai 
perkembangan penyelidikan dunia berkaitan fungsi serta peranan otak 
manusia.
Menurut beliau, antara peranan INCF adalah membangun alat perisian 
dan menyediakan pangkalan data mengenai neurosains yang standard dan 
diperakui di peringkat dunia.
"INCF juga mengumpulkan perisian informatif di pusat perisian 
pertubuhan itu yang mana sesiapa sahaja boleh memuat turun dokumentasi 
dan maklumat berkaitan neurosains, mereka cipta sejenis perisian 
dikenali sebagai 'a wiki'," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan taklimat mengenai INCF di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian di sini semalam.
Taklimat itu dihadiri kira-kira 30 peserta mewakili enam universiti 
tempatan iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti
 Teknologi Petronas (UTP), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), 
Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) 
dan USM.
Sementara itu, Pengarah P3Neuro USM, Prof. Jafri Malin Abdullah 
berkata, kerjasama dengan INCF membolehkan universiti menjalankan lebih 
banyak penyelidikan berkaitan neurosains setelah mendapat kelulusan 
daripada pesakit dan pihak Jawatankuasa Etika Manusia yang telah 
diwujudkan oleh USM sebelum ini.
"Penyelidikan itu penting untuk negara bagi mendapatkan kaedah 
rawatan terbaharu penyakit berkaitan otak, termasuk masalah berkaitan 
disleksia dan pembelajaran," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 29 Okt. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan