SYARIKAT penerbangan Firefly (Firefly) telah membuka laluan penerbangan Kota Bharu (KBR) - Singapura (SIN) mulai 10 Ogos 2012 (Jumaat) dengan kekerapan empat kali seminggu, iaitu setiap hari Ahad, Isnin, Rabu, dan Jumaat.
Penerbangan KBR - SIN mengambil masa kira-kira 1.5 jam sehingga 2.0 jam. Laluan penerbangan ini merupakan laluan penerbangan antarabangsa pertama dari atau ke Lapangan Terbang Kota Bharu, Kelantan, Malaysia. Walau bagaimanapun, Firefly telah menggantung laluan penerbangan ini mulai 12 Julai 2013 (Jumaat) setelah 11 bulan ia diperkenalkan.
Pergantungan tersebut menyebabkan ramai penumpang yang telah membeli tiket penerbangan bagi perjalanan mulai 12 Julai 2013 dan seterusnya terpaksa menjadualkan penerbangan mereka ke Singapura dan Kota Bharu termasuk mengambil penerbangan transit melalui Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Faktor muatan mungkin menjadi pertimbangan utama mengapa Firefly bertindak menggantung laluan penerbangan ini tetapi dalam masa yang sama Firefly juga perlu mengenal pasti beberapa kelemahan dalam usaha promosi dan meningkatan muatan bagi laluan penerbangan ini. Antaranya adalah seperti berikut:-
- Singapura sering dianggap sebagai sebuah bandar raya berkos tinggi terutamanya untuk penginapan. Jadi, promosi hotel-hotel bertaraf sederhana dan bajet perlu dimasukkan terutamanya dengan kadar di bawah RM200.00 semalam. Penginapan bertaraf sederhana dan bajet mudah didapati di Geylang, Singapura melalui Stesen MRT Aljunied dan Stesen MRT Kallang. Hal ini akan dapat menarik pelancong dari Kelantan ke Singapura.
- Tiada pakej pelancongan yang boleh menarik pelancong ke Kota Bharu, Kelantan oleh Firefly Holiday. Dengan mengambil kira demografi penduduk Singapura, rumah-rumah ibadat agama Buddha yang banyak terdapat di Tumpat, Kelantan boleh menjadi tarikan utama. Antaranya Wat Machimmaram (Sitting Buddha Temple), Wat Pothivihan (Sleeping Buddha Temple), dan Dragon Boat Temple serta Wat Phothikyan Phutthakthan (Standing Buddha Temple) di Kampung Balai, Bachok.
- Firefly sepatutnya mempromosikan Kota Bharu, Kelantan sebagai pintu masuk utama ke Pulau Perhentian secara agresif. Hal ini akan dapat meningkatkan jumlah atau purata muatan. Promosi melalui majalah Going Places akan dapat membantu Firefly mempromosikan laluan penerbangan ini.
Kekerapan Penerbangan
Firefly boleh memperkenalkan semula laluan penerbangan ini dengan mengurangkan kekerapan penerbangan kepada tiga kali seminggu berbanding empat kali seminggu yang sebelum ini. Perkhidmatan penerbangan boleh ditawarkan pada setiap hari Ahad, Rabu, dan Jumaat dengan mengambil kira faktor cuti hujung minggu yang boleh meningkatkan jumlah muatan.
Kempen
Dalam usaha untuk meningkatan sokongan daripada orang awam terutamanya pengembara, dua buah laman Facebook khas telah ditubuhkan, iaitu www.facebook.com/laluankbsingapura dan www.facebook.com/kbsgroute dengan harapan laluan penerbangan ini akan dibuka semula oleh Firefly.
Kesimpulan
Sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2014, maka wajarlah Firefly membuka semula laluan penerbangan ini pada awal tahun 2014 dengan mengambil kira penerimaan pesawat ATR72-600 keduanya pada bulan Oktober 2013 yang meningkatkan angkatan pesawat komersial (jenis turbo-prop) Firefly kepada 14 buah.
Nota: Penulis merupakan graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA) Dengan Kepujian (Pemasaran) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mempunyai minat mendalam dalam bidang pemasaran dan peruncitan.
Nota: Penulis merupakan graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA) Dengan Kepujian (Pemasaran) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mempunyai minat mendalam dalam bidang pemasaran dan peruncitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan