KOTA BHARU: Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM) Kelantan mendesak kerajaan Pas Kelantan supaya
menjelaskan peningkatan mendadak jumlah bil air yang dikeluarkan
syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) kepada pengguna sejak Ogos lalu.
Aktivisnya, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, sejak
kebelakangan ini PPIM menerima banyak rungutan daripada pengguna
mengenai peningkatan jumlah bil bulanan yang didakwa begitu ketara
berbanding sebelumnya.
Katanya, pengguna perlu tahu peningkatan tersebut sama ada disebabkan
kenaikan tarif air yang dilaksanakan oleh AKSB atau sebaliknya. "Kerajaan perlu bersifat lebih profesional dalam perkara ini kerana
ia melibatkan rakyat (pengguna). Kalau naik umumkan kenaikan secara
terbuka biar pengguna tahu, apa nak ditakutkan.
"Kalau buat (naikkan tarif) dengan sembunyi-sembunyi menggambarkan ketidaktelusan sesebuah kerajaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Isu kenaikan tarif air AKSB tersebar luas dan menjadi bahan bicara
masyarakat di segenap warung dan kedai-kedai kopi sekitar bandar ini
sejak kebelakangan ini. Keengganan Exco berkaitan memberi sebarang reaksi berhubung perkara
tersebut semasa dihubungi pihak media terus mencetuskan tanda tanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke salah sebuah
kaunter pembayaran bil AKSB di sini hari ini mendapati tarif tersebut
telah dinaikkan sehingga melebihi 30 peratus.
"Tarif air naik bermula bulan lapan (Ogos) baru ini. Kira-kira lebih
30 peratus juga naik," kata seorang pegawai AKSB yang bertugas di salah
sebuah kaunter pembayaran bil di sini. Sementara itu, seorang pengguna, Zabidi Ishar, 44, mendakwa bil airnya meningkat hampir sekali ganda sejak Ogos lalu.
"Dulu saya bayar purata bil air bulanan antara RM14 hingga RM15
sahaja, tapi bermula Ogos lalu hingga sekarang meningkat hampir RM30.
hendak kata penggunaan bertambah tidak munasabah. Penggunaan macam biasa
saja," dakwanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan