![]()  | 
| Fauziah Awang Noh (tengah) bersama dua peguamnya menunjukkan resit harga makanan dan laporan polis dibuatnya sewaktu sidang akhbar di Kota Bharu, Kelantan, semalam. | 
KOTA BHARU: Pemilik sebuah restoran di Jalan Pengkalan Chepa 
di sini hari ini menyangkal dakwaan pihaknya mengenakan bayaran RM6,000 
kepada satu rombongan yang singgah bersarapan di restoran itu, Ahad 
lalu.
Sebaliknya, pemilik restoran berkenaan, Fauziah Awang Noh, 46, 
mendakwa, bayaran yang dikenakan pada hari itu sebenarnya hanya sebanyak
 RM5,500 iaitu melibatkan rombongan 400 orang dengan pelbagai menu.
Dakwanya lagi, laporan beberapa akhbar sebelum ini yang mendakwa 
restorannya telah mengenakan bayaran berkenaan untuk rombongan 50 orang 
makan dengan hanya satu menu sahaja disediakan adalah tidak benar sama 
sekali.
Menceritakan situasi sebenar, Fauziah mendakwa, Sabtu lalu seorang 
wakil rombongan itu datang ke restorannya dan menempah makanan untuk 200
 orang bersarapan keesokannya dan dia bersetuju dengan tempahan itu.
Dakwanya, dia menyediakan 10 jenis hidangan seperti gulai ayam 
kampung, ayam kampung goreng, gulai ikan, gulai itik dan ikan keli 
goreng dengan bayaran RM17 untuk seorang.
"Wakil itu bersetuju dengan hidangan serta bayaran yang dikenakan 
tersebut dan memaklumkan kepada saya bahawa rombongan 200 orang itu akan
 datang antara pukul 8 sehingga 9 pagi.
"Pada hari Ahad, selepas hidangan disediakan, seawal 7.30 pagi 
pelanggan daripada rombongan itu sudah mulai datang sehingga kira-kira 
pukul 9 pagi.
"Rombongan yang datang itu bukannya 200 orang seperti yang 
dimaklumkan wakil tersebut sebelum ini, sebaliknya hampir 400 orang 
termasuk mereka yang membungkus makanan untuk dibawa pulang. Saya 
kemudiannya memberitahu wakil itu bahawa rombongan yang datang melebihi 
daripada apa yang dinyatakan sebelum ini," katanya kepada pemberita di 
sini hari ini.
Akhbar semalam melaporkan sebuah restoran di Jalan Pengkalan Chepa di
 sini telah mengenakan bayaran RM6,000 kepada sekumpulan rombongan 
pelanggan yang singgah makan di restoran berkenaan.
Berikutan itu, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan 
Kepenggunaan Kelantan yang menerima aduan menyerbu restoran terbabit dan
 mengenakan tindakan di bawah Perintah 3(1) Akta Kawalan Harga 
(Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 dengan penalti RM250,000 dan 
kompaun maksimum RM175,000 jika sabit kesalahan.
Tambah Fauziah, wakil berkenaan kemudiannya menyuruh dia membuat bil 
dan memaklumkan tidak kisah dengan bayaran dikenakan selepas melihat 
rombongan yang datang itu melebihi jumlah diberitahu sebelum itu.
"Saya kemudiannya membuat bil iaitu melibatkan 400 orang makan dengan
 harga RM6,000. Wakil itu terkejut dengan harga tersebut dan meminta 
dikurangkan dan saya bersetuju mengurangkan kepada RM5,500. Harga yang 
dikenakan itu sangat berpatutan iaitu seorang hanya dikenakan RM17 
dengan pelbagai hidangan.
"Wakil tersebut bersetuju dengan harga tersebut dan membuat 
pembayaran, di samping mengakui harga yang dikenakan itu berpatutan 
melihat kepada orang ramai yang datang makan pada hari itu," dakwanya.
Sementara itu, Fauziah kini mengakui sangat tertekan, malu serta 
trauma dengan laporan itu dan dalam masa yang sama turut memberi kesan 
kepada restoran yang diusahakannya sejak 2004 itu. 
Dakwanya, ekoran daripada itu, restoran berkenaan yang sentiasa 
dipenuhi pelanggan setiap hari sebelum ini mulai mengalami kemerosotan 
apabila sejak awal pagi tadi hanya beberapa orang sahaja pelanggan yang 
datang.
Sehubungan itu, dia telah membuat laporan polis dan kini meneliti 
mendapatkan bantuan guaman untuk kembali memulihkan reputasi restorannya
 yang terjejas teruk.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 9 Okt. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan