KOTA KINABALU: Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan dua mati dalam nahas pesawat Twin Otter MASwings terhempas di Kudat pada Khamis. Mereka adalah pembantu juruterbang Marc Joel Bansh, 23, dan penumpang Tan Ah Chai, 96.
Bansh meninggal dunia kira-kira 9 malam ini manakala Tan
menghembuskan nafas terakhir kira-kira empat jam lebih awal akibat
kecederaan parah.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MAS yang juga Pengerusi MASwings Ahmad
Jauhari Yahya berkata setakat ini disahkan dua mati dan dua lagi
cedera.
Beliau berkata terdapat seorang warga Filipina manakala lainnya warga
Malaysia dalam pesawat itu yang membawa 14 penumpang dan dua krew.
"Kami amat sedih dengan kejadian pesawat MH3002 yang terhempas, yang berlepas dari Kota Kinabalu ke Kudat pada 2.50 petang.
"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan kepada yang
terbunuh dan mereka yang terlibat dalam nahas ini dan kami sedang
melakukan yang terbaik untuk membantu mereka dalam keadaan yang amat
sukar ini," katanya dalam sidang akhbar di sini malam Khamis.
Ahmad Jauhari berkata MASwings telah membuka pusat panggilan 24 jam
dan anggota keluarga penumpang yang terbabit dalam nahas itu boleh
menghubungi 03-78841234 untuk sebarang pertanyaan dan maklumat.
Sejurus selepas sidang akhbar itu, Ahmad Jauhari berlepas ke Kudat untuk meninjau tempat kejadian dan melawat mangsa.
Terdahulu, pesawat MASwings, MH3002 berlepas dari Lapangan Terbang
Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 2.05 petang dalam perjalanan ke sebuah daerah
utara Sabah yang memakan masa 40 minit.
Pesawat berkenan terhempas ekoran cuaca buruk ketika ia cuba melakukan pendaratan pada aras 900 meter. Laporan awal mendapati angin kencang menolak pesawat daripada mendarat di landasan.
Terdapat 16 orang dalam pesawat tersebut termasuk juruterbang. Ini merupakan nahas pertama membabitkan MASwings di Kudat.
Keluarga penumpang pesawat itu diminta menghubungi 03-78841234 untuk pertanyaan dan maklumat lanjut. MASwings menawarkan perkhidmatan udara di kedua-dua bandar berkenaan.
Sumber: mStar Online | 11 Okt. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan