SYARIKAT penerbangan AirAsia, iaitu syarikat penerbangan tambang murah terbesar di rantau Asia akan memperkenalkan laluan Kota Bharu - Kota Kinabalu mulai 16 November 2013. Laluan ini akan menjadi laluan kedua AirAsia dari atau ke Kota Bharu selepas laluan Kuala Lumpur - Kota Bharu.
Kelantan Pasaran Utama di Pantai Timur
Negeri Kelantan merupakan pasaran utama syarikat penerbangan AirAsia di Pantai Timur dan perkara ini dapat diukur melalui kekerapan penerbangan tertinggi yang ditawarkan bagi laluan Kuala Lumpur - Kota Bharu, iaitu lapan (8) penerbangan sehari, berbanding hanya dua (2) penerbangan sehari yang ditawarkan bagi laluan Kuala Lumpur - Kuala Terengganu.
Dalam pada itu, AirAsia tidak menawarkan perkhidmatan dari atau ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAH), Kuantan, Pahang walaupun AirAsia pernah menawarkan perkhidmatan bagi laluan Kuala Lumpur - Kuantan sebelum ini. AirAsia menggunakan pesawat jenis A320-200 dengan 180 tempat duduk dan penerbangan bagi laluan Kuala Lumpur - Kota Bharu sentiasa mencatatkan muatan yang menguntungkan AirAsia.
Laluan Kota Bharu - Kota Kinabalu
Laluan penerbangan Kota Bharu - Kota Kinabalu akan mula diperkenalkan pada 16 November 2013 dengan kekerapan tiga kali seminggu, iaitu penerbangan pada setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu. Penerbangan dari Kota Bharu ke Kota Kinabalu mengambil masa kira-kira 2 jam 40 minit sahaja.
Laluan penerbangan ini merupakan laluan penerbangan pertama yang menghubungkan sebuah bandar raya di Pantai Timur, Semenanjung Malaysia dengan sebuah bandar raya di Malaysia Timur yang hanya dipisahkan oleh Laut China Selatan yang luas.
Hab AirAsia Pantai Timur
Setakat ini Kelantan masih mendominasi sebagai pasaran utama AirAsia di Pantai Timur. Kerajaan Negeri Terengganu pernah melobi AirAsia beberapa tahun lepas supaya Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu dijadikan hab AirAsia di Pantai Timur (sila klik dan baca: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_06.htm) tetapi tidak mendapat perhatian oleh AirAsia. Hal ini mungkin disebabkan permintaan pasaran yang tidak sehebat LTSIP.
Walau bagaimanapun, hanya LTSIP yang mempunyai potensi untuk menjadi hab penerbangan mana-mana syarikat penerbangan tempatan terutamanya AirAsia dan Firefly kerana kedudukan geografinya yang lebih strategik di rantau Teluk Thailand, iaitu di sebelah selatan Thailand dan timur laut Semenanjung Malaysia. Ia juga disokong oleh jumlah penduduk yang padat di sebelah selatan Thailand dan Kelantan Utara yang menawarkan pasaran yang besar bagi mana-mana syarikat penerbangan yang beroperasi di LTSIP.
Selain AirAsia, syarikat penerbangan Firefly juga berminat untuk menjadikan LTSIP sebagai hab penerbangan antarabangsa ke negara-negara Indochina. Rancangan Firefly ini dijangka dapat direalisasikan pada awal tahun 2014 nanti. Pemilihan LTSIP oleh Firefly mengambil kira kedudukan strategiknya di rantau Teluk Thailand yang begitu hampir dengan negara-negara Indochina seperti Vietnam dan Kemboja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan