Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 3 Oktober 2013

PAS kesal kerajaan lengah projek tebatan banjir Sungai Golok

KUALA LUMPUR: PAS kesal dengan tindakan kerajaan yang dilihat sengaja melengah-lengahkan projek tebatan banjir Sungai Golok, Rantau Panjang, sedangkan projek itu sudah diluluskan sejak Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Malah, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff (gambar), mendakwa kementerian yang bertanggungjawab berkaitan projek itu juga cuba mengelirukan dewan.

Ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat, hari ini, Siti Zailah berkata jawapan yang diberikan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. James Dawos Mawit itu tidak benar.

"Projek dan peruntukan yang dinyatakan timbalan menteri tadi sebenarnya bukan untuk projek tebatan banjir, sebaliknya untuk projek menstabilkan tebing sungai. Mungkin beliau ingat saya tidak tahu," kata beliau yang sudah beberapa kali bertemu dan berbincang dengan pihak JPS berhubung projek tebatan banjir tersebut.

Katanya, kerajaan seharusnya tidak berdolak-dalik mengenai projek tersebut memandangkan masalah banjir di Rantau Panjang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Sebelum itu, beliau ketika sesi soal jawab meminta kementerian menyatakan tentang projek tersebut yang tertangguh sekian lama yang menyebabkan kerugian besar akibat banjir dan bertanya bilakah projek itu akan dilaksanakan.

Menjawab soalan tersebut, James berkata JPS memohon peruntukan di bawah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Golok Fasa 1 yang berjumlah RM345 juta pada 2015, dan akan dimulakan pertengahan tahun 2015 dan dijangka siap pada 2019.

Sebaliknya, Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat berkata peruntukan itu bukan untuk program tebatan banjir, tetapi untuk projek menstabilkan tebing sungai.

Sumber: Harakah Daily | 3 Okt. 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan