Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 3 Oktober 2013

Kencing tikus: Air Terjun Jeram Pasu lengang

Pintu masuk ke Air Terjun Jeram Pasu
PASIR PUTEH: Kawasan peranginan Air Terjun Jeram Pasu, dekat sini, kini lengang selepas berita kematian seorang remaja Tengku Mohd. Azrol Tengku Md. Noor, 19, dari Kampung Merkang akibat dijangkiti virus kencing tikus atau leptospirosis disiarkan media kelmarin.

Mangsa yang disahkan dijangkiti virus maut itu meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu Jumaat lalu. Dia dikatakan dijangkiti virus terbabit selepas berkelah dan mandi di air terjun berkenaan pada 13 September lalu bersama ahli keluarganya. 

Jurucakap Jabatan Kesihatan Pasir Puteh ketika dihubungi hari ini memberitahu, tiga sepanduk amaran wabak leptospirosis dipasang di kawasan air terjun berkenaan sejak kelmarin sebagai makluman kepada pengunjung berwaspada terhadap virus yang boleh membawa maut itu.

Menurutnya, pengunjung yang mengalami simptom atau gejala kekuningan pada kulit dan mata, demam panas, sakit kepala, sakit otot, mata merah, sakit perut, cirit-birit dan ruam perlu merujuk segera ke hospital atau klinik berdekatan untuk pemeriksaan kesihatan.

"Jabatan hanya mampu bertindak memaklumkan kepada pengunjung dengan menyampaikan maklumat menerusi media tertentu dan pemasangan kain rentang berkaitan penyakit itu dilokasi disyaki menjadi punca penyakit berkenaan," katanya di sini.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi berkenaan mendapati semua gerai makanan di kawasan air terjun berkenaan ditutup walaupun jalan utama masuk ke situ masih terus dibuka kepada pengunjung oleh pihak berkenaan.

Hanya beberapa kenderaan dilihat memasuki kawasan pusat peranginan itu termasuk beberapa pasangan remaja yang bermotosikal. Kelmarin, akhbar melaporkan, Tengku Mohd. Azrol menjadi mangsa terbaharu penyakit kencing tikus atau leptospirosis di Kelantan.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Okt. 2013 | Foto ihsan: http://percutian.jomaffiliate.net/percutian-di-air-terjun |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan