KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPM)
Kelantan kecewa dengan sikap pengusaha hotel bajet dan rumah tumpangan
di negeri ini yang masih mengabaikan aspek keselamatan dan pencegahan
kebakaran walaupun pelbagai kempen kesedaran dijalankan pihaknya sebelum
ini.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Azmi Osman berkata, hasil
pemeriksaan yang dijalankan pihaknya mendapati, hampir kesemua premis
berkenaan tidak mempunyai sijil perakuan bomba sebagaimana ditetapkan
pihak jabatan dalam aspek pencegahan kebakaran.
Menurut Azmi, pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana
pengusaha yang melanggar peraturan tersebut dan pemeriksaan secara
berkala akan dijalankan bagi memastikan dipatuhi sepenuhnya.
"Hanya 50 peratus sahaja hotel bajet dan rumah tumpangan yang
mempunyai 21 bilik ke atas mempunyai perakuan daripada pihak kami. Bagi
yang mempunyai 21 bilik ke bawah pula, kesemua premis tidak mempunyai
perakuan tersebut.
"Ini jelas menunjukkan tahap kesedaran dalam kalangan pengusaha
premis berkenaan pada tahap rendah. Jangan hanya pentingkan keuntungan
semata-mata dengan mengabaikan aspek keselamatan yang boleh mendatangkan
bahaya kepada pengguna," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri di sini baru-baru ini. Azmi memberitahu, pengusaha hotel bajet dan rumah tumpangan
sepatutnya peka dengan situasi tersebut kerana negeri ini sering menjadi
tumpuan pelancong setiap kali tiba musim cuti persekolahan atau cuti
umum.
Katanya, sekiranya langkah segera tidak diambil pengusaha berkenaan
dikhuatiri boleh menjejaskan industri pelancongan di negeri ini. "Pihak kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha yang
melakukan kesalahan ini kerana boleh memberikan kesan besar kepada
masyarakat," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Azmi turut mengingatkan pengusaha hotel
bajet atau rumah tumpangan yang ingin membuat pengubahsuaian bangunan
menghantar pelan tersebut kepada pihaknya untuk diperiksa sama ada memenuhi spesifikasi ditetapkan JBPM atau sebaliknya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Okt. 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan