KUALA LUMPUR: Dua anak syarikat kerajaan negeri Kelantan 
iaitu Kelstone Sdn. Bhd. (KSB) dan Ladang Tapis Sdn. Bhd. (LTSB), masih 
mencatatkan prestasi kurang memuaskan walaupun terdapat beberapa 
keputusan positif dalam tahun kewangan masing-masing.
Laporan Ketua Audit Negara di sini semalam menyatakan, pengauditan 
terhadap KSB yang dijalankan antara bulan Julai hingga September 2012 
mendapati secara keseluruhannya, pengurusannya adalah kurang memuaskan 
walaupun kedudukan kerugian terkumpul semakin berkurangan. 
KSB mengalami kerugian terkumpul berjumlah RM1.54 juta pada 2011 iaitu menurun sejumlah RM0.8 juta dari tahun 2010. Keuntungan sebelum cukai KSB pada 2010 juga menurun berbanding 2009, 
bagaimanapun keuntungan sebelum cukai mencatatkan peningkatan pada 2011.
"Selain itu terdapat kelemahan dalam pengurusan aktiviti dan tadbir 
urus korporat seperti operasi perlombongan emas di Sokor belum dimulakan
 dan penilaian tidak dilakukan terhadap kemampuan syarikat pengusaha, 
syarikat usahasama mengalami kerugian dan kelewatan pengusaha memulakan 
kerja perlombongan barite dan bahagian Audit Dalam dan Naziran PKINK 
belum melaksanakan pengauditan terhadap pengurusan KSB,'' ujarnya.
Malah keuntungan sebelum cukai KSB menurun sejumlah RM0.3 juta atau 
45.9 peratus daripada RM0.7 juta pada tahun 2009 kepada RM0.4 juta pada 
2010. Keuntungan sebelum cukai berjumlah RM0.8 juta pada 2011 peningkatan RM0.4 juta berbanding tahun 2010.
Pengauditan LTSB yang dijalankan antara bulan Julai hingga September 
2012 mendapati secara keseluruhannya, pengurusan LTSB adalah kurang 
memuaskan.LTSB mengalami kerugian terkumpul berjumlah RM5.2 juta pada tahun 
2011 iaitu meningkat sejumlah RM0.9 juta dari tahun 2010. Kerugian 
sebelum cukai LTSB menurun pada tahun 2010 berbanding tahun 2009. 
Selain itu, terdapat kelemahan dalam pengurusan aktiviti dan tadbir 
urus korporat seperti pengeluaran buah tandan segar tidak mencapai 
sasaran yang ditetapkan, prestasi kewangan ladang kurang memuaskan dan 
cadangan bayaran bonus tidak dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Kerajaan 
Negeri untuk kelulusan.
Malah Laporan Audit menyatakan prestasi kewangan LTSB juga tidak 
memuaskan kerana kerugian bersih dialami bagi tahun 2009 hingga 2011 dan
 kerugian terkumpul semakin meningkat dari tahun 2009 hingga 2011. 
Manakala nisbah kewangan menunjukkan penurunan bagi tahun 2011 berbanding tahun 2009 dan 2010. LTSB dinasihatkan berusaha mencari jalan bagi meningkatkan 
pengeluaran agar mencapai sasaran yang ditetapkan bagi menambah 
pendapatan kepada syarikat dan memperbaiki prestasi kewangan ladang.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 Okt. 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan